Genap Usia 96 Tahun Tun M Sedia Berkhidmat Kongsi Tips Sihat Jaga Makan
                    Oleh UtusanTV                                                      

                 KEADAAN kesihatan bekas Perdana Menteri , Tun Dr. Mahathir Mohamad  sememang mengagumkan semua pihak, termasuk pemimpin kerajaan,  pembangkang atau juga pemimpin dunia.
   Pada usianya yang genap 96 tahun hari ini, beliau kelihatan masih  sihat dengan mengadakan lawatan ke kawasan Parlimennya di Langkawi untuk  meninjau proses vaksinasi penduduk.
   Ketika ditemu bual pemberita di Pulau Tuba, Langkawi, Dr. Mahathir  menyatakan kesediaannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat selagi  berupaya.
       Beliau dalam masa sama turut menzahirkan kesyukuran kerana masih lagi  dikurniakan nikmat sihat tubuh badan, selain masih mampu memberikan  sumbangan kepada rakyat Malaysia.
   Berkongsi formula penjagaan kesihatan, Dr. Mahathir yang pernah dua  kali menyandang jawatan Perdana Menteri menasihati rakyat Malaysia  supaya sentiasa memberi fokus kepada penjagaan pemakanan dengan memilih  menu yang sihat.   
   “Saya bersyukur boleh berkhidmat lagi (walaupun sudah 96 tahun) dan  selagi saya boleh bergerak, saya akan cuba bagi apa sumbangan yang boleh  saya buat.
   “Nasihat saya makan kena jaga-jaga, saya makan semua, cuma tak makan  banyak… makan sikit sahaja, daging apa semua balas (makan), cuma (ada)  limit.
   “(Makanan berminyak) tidak makan banyak sangat, saya nak jaga tak  bagi badan gemuk, kalau kita makan nasi banyak badan naik, jadi (makan)  nasi sikit sahaja,” kata beliau.
   Dr Mahathir berkata demikian selepas meninjau Program Outreach  Vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau  Tuba, Langkawi, hari ini.
   Beliau yang dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar pada 10  Julai 1925 menjadi individu pertama di Malaysia yang menjawat jawatan  Perdana Menteri sebanyak dua kali iaitu bermula 16 Julai 1981 hingga 30  Oktober 2003 sebagai Perdana Menteri keempat serta menjadi Perdana  Menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
   Beliau juga menjadi individu penting dalam membawa kemenangan kepada  Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 apabila menumpaskan  Barisan Nasional yang tidak pernah kalah dalam mana-mana PRU dalam  tempoh 61 tahun.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/genap-usia-96-tahun-tun-m-sedia.html