Gas Entonox Bantuan Ketika Sakit Kontraksi Membantu Ke
Masa tengah menahan sakit kontraksi dalam labour room ‘tu’, ada tak berikan gas? Kalau ada, adakah anda tahu apakah fungsinya? Nak tahu lebih lanjut, bacalah artikel yang ditulis oleh Hello Doktor ini.
Meredakan kesakitan
Setiap individu yang melalui proses kelahiran bayi berdepan dengan pengalaman bersalin berbeza-beza. Terdapat sesetengah individu yang perlu menanggung kesakitan untuk tempoh yang lama sehingga timbulnya rasa serik untuk hamil, dan ada juga yang langsung tidak mengalami sebarang kesakitan.
Ketika anda melalui kesakitan ketika ingin bersalin, terdapat pelbagai kaedah yang boleh menjadi pilihan untuk menjadi pilihan bagi mengurangkan kesakitan tersebut. Antaranya adalah seperti kaedah teknik pernafasan atau dikenali sebagai Lamaze yanag dapat melegakan ketegangan otot pelvis, suntikan ubat-ubat, kaedah epidural dan sedutan gas Entonox, yang berkaitan dengan topik artikel ini.
Apakah sebenarnya gas Entonox ini? Adakah ia berkesan? Bahaya atau tidak?
Gas ini merupakan gas nitrus oxide yang tidak mengikat hemoglobin. Ia menyerap dengan cepat melalui sel membran dan disingkirkan menerusi paru-paru. Anda akan mula merasa kesannya atau istilah perubatan, analgesia, selepas 20 saat penyedutan gas ini. Kesan paling maksimum akan mula dirasai selepas 3 hingga 5 minit.
Fungsi gas Entonox
Gas ini merupakan sejenis gas yang berperanan sebagai penahan kesakitan. Ia berfungsi dengan menghalang deria rasa daripada mengalami kesakitan dan sampai ke otak. Namun, dalam masa yang sama penggunaan yang berlebihan boleh mewujudkan rasa mengantuk dan kurang kecergasan ketika bersalin.
Komposisi kandungan gas yang berbeza mungkin mempunyai perbezaan tahap intensiti bagi kesan analgesik (analgesia). Untuk penggunaan bagi mengurangkan kesakitan kontraksi, komposisi nitrous oksida dan oksigen adalah 50:50.
Entonox biasanya akan diberikan pada peringkat akhir kelahiran, iaitu sebelum bukaan serviks menjadi 10 cm. Penggunaan gas ini boleh dikawal sendiri untuk menyesuaikan penyedutan gas mengikut keperluan diri, terutama ketika berasa sakit kontraksi.
Kebaikan gas Entonox
-Mudah digunakan dan dikawal
-Tidak tersimpan dalam badan untuk tempoh yang lama
-Bantu kurangkan kesakitan ketika kontraksi
-Mengandungi oksigen bermanfaat untuk bayi
Adakah ia berkesan?
Bagi sesetengah individu, penggunaan gas ini mungkin tidak berkesan untuk mengurangkan kesakitan, tetapi bagi sesetengah yang lain pula, Entonox dapat menurunkan rasa kesakitan itu. Malahan terdapat juga individu yang hilang rasa sakit sepenuhnya apabila menggunakan gas ini.
Namun penggunaan gas Entonox ini akan menyebabkan berlakunya beberapa kesan sampingan, seperti:
-Sakit kepala
-Pening, khayal
-Mual atau loya
Penulis sendiri pernah merasa menggunakan Entonox ini ketika ‘nak’ melahirkan ‘si kecik’ yang banyak akal ‘tu’. Bagi penulis, rasa sakit itu berkurangan walaupun penulis terpaksa melalui tempoh kontraksi yang lama kerana bukaan rahim perlahan. ‘Sakanlah’ menahan sakit kontraksi ‘tu’.
Bab efek penggunaan Entonox pula, penulis tidak dapat menafikannya. Sebabnya penulis sendiri meninggal hadiah di dalam bilik bersalin ‘tu’. Hadiah apa? Setelah penulis selamat melahirkan dan baby ‘pun’ sudah dimandikan serta dipakaikan baju, penulis muntah. Nasib baiklah jururawat yang ada di dalam bilik bersalin itu memahami keadaan penulis.
Perkara yang paling penting, penggunaan gas ini tidak memberikan sebarang kesan sampingan kepada bayi. Jadi kepada ibu yang akan melalui proses bersalin, kalau diberikan gas ini, tidak perlu gusar atau khuatir, okay?
Sumber: Hello Health
The post Gas Entonox, Bantuan Ketika Sakit Kontraksi. Membantu Ke? appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/gas-entonox-bantuan-ketika-sakit-kontraksi-membantu-ke/