Gadis Bawah Umur Antara 188 Individu Dicekup Dalam Op Sarang
Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB RAMLI Mohamed Yusoof (kiri) hadir di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini, hari ini, bagi melihat hasil serbuan dan tangkapan Op Sarang yang berakhir hari ini. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHABKUANTAN: Gadis bawah umur antara 188 individu ditahan dalam Op Sarang 2021 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri yang diadakan di lima daerah melibatkan Kuantan, Pekan, Rompin, Bera dan Bentong.
Operasi bermula 15 Oktober lalu dan berakhir hari ini memberi tumpuan di 12 ‘port panas’ terutama di kawasan Felda antaranya Bukit Goh, Bukit Kuantan, Lepar 1 dan 2, Bukit Gambang, Mempaga, Kemasol, Kemahal, Ladang Kelapa Sawit sempadan Felda Kumai-Rentam, Keratong dan Chini 3.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu yang ditahan melibatkan dua wanita dan 186 lelaki berusia antara 15 hingga 65 tahun.
“Hasil soal siasat awal mendapati remaja di bawah umur berkenaan yang turut ditangkap dalam Op Sarang siri keenam ini mula terbabit ketika berusia 13 tahun. Menurut remaja yang memiliki enam adik-beradik itu, ibu bapa juga turut terlibat dalam aktiviti penagihan dadah hingga mengakibatkannya turut sama dalam penyalahgunaan dadah.
“Ini merupakan satu keadaan sangat malang yang terpaksa dilalui remaja berkenaan jika tidak ditangkap dan mendapat pemulihan yang segera. Dia akan terus membesar dalam keadaan bergelumang dengan dadah yang tidak memberi manfaat kepada diri dan keluarganya,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Ramli berkata, operasi yang dilakukan untuk menggempur sarang pengedar dan penagih dadah dengan melakukan serbuan dari rumah ke rumah.
“Hasil daripada operasi ini, polis berjaya menahan 10 orang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin dan syabu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.
“Seramai empat orang ditahan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin dan syabu, tujuh individu lagi mengikut Seksyen 39 A(1) ADB 1952 dan 35 individu mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
“Bagi kesalahan positif air kencing, seramai 123 individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dan kita berjaya menahan tujuh individu dikehendaki polis yang terlibat dengan kes jenayah berat dan dua tangkapan membabitkan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana disyaki memiliki cecair ketum,” katanya.
Bagi memastikan kes penyalahgunaan dadah dapat dibanteras sepenuhnya di negeri ini, beliau berkata, Ops Sarang tidak akan berhenti dan akan dilakukan dalam beberapa siri lagi.
“Dalam serbuan di port dan rumah-rumah yang sudah dikenal pasti itu, pihak polis merampas 361.09 gram heroin, 91.26 gram syabu, 1.5 liter air ketum dan nilai anggaran keseluruhan dadah yang dirampas pula berjumlah RM21,779.
“Semakan terhadap tangkapan, semua penagih ini didapati memiliki rekod jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penagih dadah berulang.
“Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober lalu, JSJN Pahang merekodkan 7,582 kes berkaitan dadah dengan 8,736 tangkapan manakala berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan RM3.4 juta serta RM4.8 juta nilai sitaan harta,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/gadis-bawah-umur-antara-188-individu.html