Gadai Nyawa Akibat Terdesak
KUALA LUMPUR: Bagi melarikan diri, beberapa wanita warga asing sanggup membahayakan diri dengan berdiri pada sengkuap apabila pihak berkuasa menyerbu sebuah bangunan di Jalan Pudu di sini, kelmarin.
Dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula jam 3.30 petang itu, 65 bilik dipercayai disewa warga asing diperiksa.
Ketika serbuan, warga asing terbabit bertempiaran lari termasuk ada yang bersembunyi dalam almari serta tong sampah selain keluar melalui tingkap untuk bersembunyi pada sengkuap.
Tindakan mereka menyebabkan anggota penguat kuasa JIM menghubungi pasukan bomba bagi membantu membawa turun wanita warga asing terbabit kerana ada di antara mereka cuba terjun ke bawah.
Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, 435 warga asing diperiksa dalam serbuan di bangunan 11 tingkat itu.
“Daripada jumlah itu, 271 warga asing berusia antara 21 hingga 60 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 197 wanita dan 74 lelaki dari Vietnam, Myanmar, China, Indonesia, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan India,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
KUALA LUMPUR 15 JULAI 2019 ANTARA warga asing yang ditemui bersembunyi dalam serbuan di sebuah bangunan di Jalan Pudu, kelmarin. NSTP/EMAIL
Difahamkan, wanita warga asing ditahan dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di bangunan terbabit, manakala ada lelaki warga asing yang ditahan tinggal di situ, selain didapati melanggan pelacur.
Turut dirampas dalam serbuan itu adalah kondom, gel pelincir dan kad rekod jumlah pelanggan serta pendapatan diraih pelacur setiap hari.
Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tindakan beberapa wanita warga asing bersembunyi pada sengkuap ketika serbuan itu turut tular di media sosial sejak kelmarin berikutan kejadian turut dirakam orang awam. – HARIAN METRO
The post Gadai nyawa akibat terdesak appeared first on Media Serius.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mediaserius.my/gadai-nyawa-akibat-terdesak/