Formula Bersih Hati
oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin
APA khabar keadaan hati kita saat ini. Adakah ia seperti tanah pasir yang senang menyerap air kebaikan atau ia seperti tanah liat yang liat daripada ditembus kebenaran.
Indahnya hati yang banyak fokus melihat aib sendiri, menyembunyikan dosa dan rajin beristighfar.
Hati yang sibuk dengan aib diri akan banyak melihat dan memuji kebaikan orang berbanding mencari-cari kesalahan orang.
Ironinya, kita selalunya, lebih mudah melihat masalah orang dan sering nampak kebaikan diri saja.
Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada godaan syaitan yang sentiasa merebut sekeping hati.
Bacalah ‘taa’wwuz’ iaitu ‘a’uzubillahi minassyaitonirrajim.’ Dahsyatnya ‘taa’wwuz’. Ia ibarat penyapu dan mop pembersih hati.
Jika kita mahukan rumah yang bersih, kita pasti akan sapu dan mop rumah kita sampai hilang segala sampah dan debu.
Begitu juga hati. Jika mahukan hati yang bersih, kita perlu rajin menyapu dan mop hati kita dengan ‘taa’wwuz.’
Biar hilang segala gangguan syaitan dan rasa yang mengganggu bahagia.
Apa manfaat hati yang bersih?
Sama seperti manfaat rumah yang bersih. Analoginya, tikus hanya akan masuk dan mencuri makanan dalam rumah yang kotor.
Jika semuanya bersih dan terjaga, tikus mungkin hanya melaluinya saja namun tidak selesa untuk tinggal lama di dalamnya.
Bersihkan lagi hati kita dengan ‘pencuci’ daripada al-Quran ini.
Fahami firman-Nya: “Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hambaKu, kecuali ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.” Surah al-Hijr (Ayat 42).
Dalam firman Allah SWT yang lain bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya.” Surah al-Nahl (Ayat 99).
Apa pelan tindakan kita?
Banyakkan ‘taa’wuuz’ dan tenang-tenang selalu. Ingat pesan Nabi SAW. daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: “Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan.” Riwayat al-Baihaqi (No. 20270)
Fikiran kita setiap hari akan diserbu masuk oleh 1,001 kerisauan. Jika tidak dikawal, 80 peratus daripada fikiran itu biasanya diterjah fikiran negatif.
Jom, setting awal-awal cara fikir kita. Mujur Allah SWT mendedahkan kerja bisikan dalaman ini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jika engkau diganggu syaitan dengan sesuatu gangguan, hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” Surah al-A’raf (Ayat 200).
Allah juga memujuk kita betapa Dia sangat dekat. Baik kan Allah SWT.
Tengoklah ayat ni. Dia kata Dia tahu apa yang dibisikkan dalam diri kita tu.
Lalu, Dia memujuk indah dengan Surah Qaf bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Ayat 16)
Dia lebih dekat dari urat semerih. Sebak tak rasa?
Al-Was-was (dengan fathah pada huruf al-waw pertama) menurut Kitab Jaddid Solataka oleh Mukmin Fathi al-Hadad bermaksud syaitan dan setiap apa yang dibicarakan dan dibisikkan kepadamu.
Oleh sebab itu, sama-sama ya kita banyakkan ‘taa’wwuz’. Halau semua fikiran negatif. Ia cuma melemahkan. Bukan menguatkan.
Dengan ‘taa’wwuz’’, kita meminta perlindungan daripada Yang Maha Kuat. Ia perisai kita.
Gunakan perisai itu. Rasailah betapa semua selain Allah, rapuh belaka.
Hanya Dia Yang Maha Kuat, tempat kita memohon pertolongan selama-lamanya.
Begitulah hidup. Syaitan akan terus menyibukkan kita dengan banyak persoalan.
Persoalan yang mendapat bimbingan Allah SWT akan membuatkan kita makin kenal dan sayang Allah. Persoalan yang mendapat petunjuk syaitan akan menambahkan keserabutan hingga kita tertekan.
Abu Hurairah R.A. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan akan menghampirimu dan bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini dan itu?” Sehingga akhirnya dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Tuhanmu ini?” Apabila sudah sampai di situ, maka berlindunglah kepada Allah SWT (mengucapkan): “Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.”’ (Riwayat Muslim)
Allah SWT sudah membongkarkan kemahiran mengalahkan syaitan yang sebenarnya amat lemah. Syaitan tidak berdaya langsung memaksa kita masuk ke dunia kekecewaan, kesedihan dan putus asa apabila kita sendiri memilih untuk berjuang dan hidup bersama kekuatan dari Yang Maha Kuat.
Pujuklah hati dengan pujukan-Nya.
Menerusi Surah An-Nahl bermaksud: “Apabila engkau membaca al-Quran, maka ucapkanlah ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan Syaitan yang direjam’ Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai kekuatan dapat memaksa orang-orang beriman yang bertawakkal kepada Allah.”’ (An Nahl: 98 – 99)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/01/28/formula-bersih-hati/