Fitnah Sebagai Akal Badi Melayu
Salah satu ‘akal badi’ Melayu yang paling buruk dan nista, tidak lain tidak bukan ialah fitnah. Maksud fitnah dalam kalangan orang Melayu adalah perihal tuduhan, menggulirkan khabar, berbuat kisah, yang sengaja diada-adakan (atau dibuat-buat) demi memburukkan atau membencanakan seseorang. Satu tikaman bahasa orang Melayu yang paling tepat dalam memperihalkan fitnah adalah ‘bau busuk tiada bangkainya’. Dalam erti kata lain, ketara bau menerkam hidung sesuatu yang tidak sedap, tetapi dicari-cari tidak berjumpa.
Satu yang paling dekat dengan busuk fitnah ini adalah busuk hati. Dua-duanya busuk dari tempat yang sama, yang akan saya nyatakan dalam perbincangan seterusnya.
Dalam erti kata lain; fitnah ini susah sekali untuk dijejaki asal usul, sumber datang, peri hulu dan induknya. Ia diterbitkan untuk bertujuan menjatuhkan seseorang atau satu golongan lain. Fitnah ini tentu sahajalah datang dari perihal dengki.
Dengki, fitnah dan tohmah adalah satu kepakaran orang Melayu. Akan tetapi bila saya sebutkan ‘pakar’, ia bukan bermaksud satu kehandalan yang boleh dipuja. Sebaliknya ia adalah satu kebolehan yang sia-sia, terlaknat, dan berdosa. Justeru dapatlah kita hujahkan fitnah ini adalah satu ‘kepandaian’ atau ‘kerja mengakal-akal’ yang maksud akhirnya adalah untuk mendatangkan bala, kesusahan, keterperukan, kesusahan yang semua itu adalah satu badi.
Badi ini pula satu kesan buruk dialami oleh seseorang ekoran bermacam-macam akal yang celaka seperti sihir, tuju-tuju, santau dan dalam hal ini adalah fitnah.
Mengapa Melayu seronok melakukan fitnah?
Kita kembali kepada hulu atau asal usul fitnah iaitu dengki. Ada seorang ulama Melayu zaman lampau bernama Raja Ali Haji yang dalam karyanya ‘Thamarat al-Muhimmah‘ ada menasihatkan begini;
“Bermula hasad yakni dengki itu satu sifat yang maha besar kecelaannya barang yang di dalam hati wajib segala manusia apalagi Raja-raja dan Orang Besar-besar maka ia itu min bab al-awla, kerana sifat dengki itu membawa kepada kebinasaan dirinya hingga sampai membinasakan orang yang lainnya…”
Perhatikan keterangan beliau di atas, yang mana dengki adalah ‘tercela’, ‘membinasa diri’ dan ‘membinasa orang lain’. Akan tetapi yang paling menarik untuk diperhatikan adalah gejala dengki ini bukannya disorot dalam kalangan orang kecil seperti kita.
Sebaliknya ia disorot berlaku dalam kalangan ‘raja-raja’, ‘orang besar-besar’, ‘pengurusan tertinggi’ atau mungkin dalam konteks hari ini pemuka masyarakat seperti ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan. Raja Ali Haji dalam karyanya itu tidak menyebutkan dengki ini perangai orang Cina, atau orang India; padahal bukannya tidak ada Cina dan India ketika itu.
Raja Ali Haji tahu dengki ini adalah penyakit khas badi Melayu. Ia bukan budi, tetapi badi.
Mengapakah Raja Ali Haji memperihalkan dengki mendengki dalam kalangan orang besar-besar? Tidakkah mereka itu puas dengan segala kebesaran yang ada untuk berdengki-dengkian? Kita yang penjawat awam bawah ini terfikir, gaji dan elaun bukan sama banyakkah punya masing-masing untuk direbutkan lagi?
Ingatan Raja Ali Haji bahawa dengki dalam kalangan pembesar ini ialah kerana kedengkian akan membawa kepada fitnah. Dalam konteks ini fitnah bukan sahaja bermakna tohmahan tetapi juga bermaksud kekacauan (jika hulu maknanya dikaji dalam bahasa Arab).
Bila berlaku kekacauan akan berlaku porak peranda, kehilangan kestabilan, kebantutan perkembangan dan kemajuan dan seterusnya kalau tidak kena cara tercetusnya permusuhan, dan paling besar peperangan yang memati dan memusnahkan.
Ambil sahaja contoh Qabil, anak Nabi Adam mendengkikan hasil mahsul Habil yang indah. Kebencian dan kedengkian itu membawa kepada satu fitnah iaitu pembunuhan Habil. Ia menjadi pertumpahan darah pertama manusia. Fitnah tersebut sangat dahsyat sehingga dari keturunan Qabil inilah lahirnya penjahat, pengganas, penzalim dan manusia haiwan.
Atau ambil pula Iblis yang juga dengkikan Nabi Adam lalu berbuat angkuh dan sombong. Kedengkian itu membawa kepada kerja memperdayakan Adam dan isterinya Hawa, yang kemudian membuatkan kita terlantar di dunia ini.
Nah, dengki adalah musuh atau kelemahan utama manusia nampaknya.
Cara dengki beroperasi ialah dengan menjadikan fitnah itu selaku satu alatnya. Dalam erti kata lain fitnah adalah senjata dengki Iblis, senjata dengki Qabil, senjata dengki Firaun, senjata dengki Abu Lahab, dan senjata dengki penjahat-penjahat sepanjang zaman.
Matlamat akhir dengki dan salah satu produknya iaitu fitnah nanti ialah penafian hak, dan penafian kebenaran. Ini adalah satu malapetaka besar untuk manusia dan umat. Jika kebenaran tidak tiba kepada manusia, maka bagaimanakah manusia akan selamat dari perdaya syaitan yang mahu mengheret kita semua ke neraka?
Jika orang Melayu gemar berdengki, seperti kata Raja Ali Haji malah yang mendengki itu ialah dalam kalangan pembesar, maka tidakkah itu akan membawa kita semua Melayu terus tergusur jatuh dalam gaung dan jurang neraka? Sebab kita semua setia dan taksub dengan pembesar kesayangan masing-masing. Mungkinkah ramai Melayu kelak dalam neraka?
Bagaimana kalau yang berdengki dan memfitnah itu adalah orang besar, dan juga alim ulama? Tidakkah ngeri membayangkan ramainya pengikut pembesar sekaligus ulama ini masuk neraka sekali dengan pujaan hatinya, terendam beramai-ramai dalam lahar api bersama ifrit dan Iblis buat selama-lamanya.
Minggu ini ada banyak perihal dengki dan fitnah yang dapat dikaitkan dengan orang Melayu berkumandang. Misalnya, bekas naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia meletakkan jawatan dan menurut beliau semuanya berpunca dari fitnah. Kita belum tahu apa yang berlaku dalam kalangan pengurusan tertinggi universiti itu (persis seperti ingatan Raja Ali Haji).
Pun minggu yang sama juga Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengutamakan kualiti perbahasan demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara. Baginda juga bertitah, Parlimen gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal, dan bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.
Hari ini ahli Dewan Rakyat adalah kelompok orang besar-besar seperti yang dinyatakan oleh Raja Ali Haji dalam ‘Thamarat al-Muhimmah‘. Bayangkan pembesar Melayu kita di satu tempat yang kita letakkan mereka untuk berbincang hal kesejahteraan dan kebajikan kita; tetapi tidak pun berbuat sedemikian. Sebaliknya kerja mereka ialah berdengki dan memfitnah. Apakah kemajuan yang dapat diharap dan digarap dari keadaan genting dan sengit dari orang besar atau pemimpin begini?
Dengki dan fitnah satu perbuatan akal badi Melayu yang memual dan memalukan. Memang memalukan untuk dilihat oleh Netanyahu dan Trump akan perangai Melayu yang suka memfitnah satu sama lain. Sampai bila pula kita hendak terus menyaksikan saja badi berterusan menenggelamkan kerja dan upaya budi dan kearifan Melayu.
Bila mengenangkan perihal fitnah dan Melayu, kadang-kala memang malu mengaku Melayu. Sebab bukannya Melayu harum, sebaliknya hancing busuk kerana fitnah.
Kadang lebih baiklah mengaku sepupu Yeos, dari mengaku Melayu. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/fitnah-sebagai-akal-badi-melayu.html