Fasa Pemulihan Pasca Covid 19 Industri Pelancongan Di Negeri Selangor
Pemberian Baucar Pelancongan Dan Insentif Pemandu Pelancong Berjumlah RM 2.6 Juta Bukti Kerajaan Negeri Selangor Komited Dalam Membangunkan Semula Industri Pelancongan Negeri
Impak Covid-19 ke atas Industri Pelancongan di Negeri Selangor
Pandemik Covid-19 sememangnya telah memberikan impak kepada industri perkhidmatan dan perniagaan di seluruh dunia. Antara industri yang paling terkesan dan terjejas teruk adalah industri pelancongan. Menurut data yang diterima oleh pihak Tourism Selangor, sekurang-kurangnya tiga buah hotel di Negeri Selangor telah menghentikan operasi manakala beberapa buah hotel memilih untuk memberhentikan sementara operasi sehingga penghujung tahun ini. Para operator hotel yang memilih untuk meneruskan operasi pasca Covid-19 ini kebanyakkannya pula beroperasi tanpa mendapat keuntungan dengan jangkaan jumlah penginap hanya 40% dari kapasiti penuh hotel sehingga penghujung tahun ini.
Industri pelancongan adalah sebuah industri yang prominen dengan Negeri Selangor merekodkan jumlah kedatangan pelancong seramai 7.62 juta orang pada tahun 2019 dengan peningkatan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya.
Manakala, merujuk kepada Laporan Kaji Selidik Pelancongan Domestik 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor berada di tangga pertama dalam menerima kedatangan pelawat domestik pada tahun 2019 iaitu seramai 33.6 juta pelawat, diikuti oleh W.P Kuala Lumpur (22.6 juta), Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).
“Reset Tourism”
Kerajaan Negeri Selangor melalui Badan Promosi Pelancongan Rasmi, Tourism Selangor sedang mempergiatkan usaha membangunkan semula industri pelancongan Negeri pasca Covid-19 dengan visi “Reset Tourism”. Antara inisiatif yang diambil bagi mencapai visi ini adalah pelaksanaan Kempen Pelancongan Domestik, ‘Pusing Selangor Dulu’.
Kempen ini memberikan penekanan kepada pasaran pelancongan domestik susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula 10 Jun lalu oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Antara perancangan bagi memperkasa pelaksanaan Kempen ialah penggunaan optima landasan digital dan laman sosial media untuk hebahan promosi serba mampan, kolaborasi bersama pihak Media tempatan dan antarabangsa khususnya melalui penganjuran Program Media FAM Trip, kolaborasi bersama penggiat industri bagi mempromosikan pakej-pakej pelancongan dan diskaun, pengiklanan outdoor billboard dan unipole bagi pasaran domestik, pembangunan pakej-pakej pelancongan baharu dengan nilai tambah yang unik, dan penganjuran acara-acara pelancongan Negeri Selangor dengan skala dan kapasiti yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Insentif dan Pakej Ransangan Ekonomi Pasca Covid-19
Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 13 Julai telah mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi 2020 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 55.85 bilion. Fasa Ketiga yang diumumkan pada Isnin melibatkan tiga komponen iaitu jaminan bekalan makanan atau food security, kemampanan ekonomi atau economic sustainability, dan pembangunan keupayaan ataupun capacity building.
Dato’ Seri Amirudin Shari dalam hujah pembentangan beliau dalam Sidang DUN Negeri Selangor pada 13 Julai berkata, “Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 terhadap sektor pelancongan Negeri Selangor amat dirasai terutamanya kepada pemain industri pelancongan seperti pengusaha hotel, inap desa (homestay), taman tema, syarikat penerbangan, syarikat perkapalan pelancongan dan agensi pelancongan. Dalam usaha menggiatkan semula ekonomi Negeri, kita harus memainkan peranan berganding bahu bersama-sama menyemarakkan semula industri pelancongan domestik Negeri Selangor, sekaligus meletakkan Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi”.
“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyalurkan subsidi baucar pelancongan bagi kegunaan di premis perhotelan, taman tema dan homestay berlesen di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor berjumlah RM 2 juta. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju meluluskan insentif khas one-off RM1,000 kepada pemandu pelancong, pengusaha homestay dan Hos Komuniti yang berjumlah RM 600 ribu bagi membantu mereka yang bergantung pendapatan dalam sektor pelancongan”, tambah Dato’ Seri Amirudin Shari.
Manakala, Encik Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Pihak Tourism Selangor menyambut baik pengumuman insentif pemandu pelancong, Hos Komuniti dan pengusaha homestay berlesen yang diumumkan oleh Y.B Dato’ Menteri Besar Selangor. Manakala, keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor dalam membangunkan semula industri pelancongan Negeri melalui pemberian baucar pelancongan sejumlah RM 2 juta, dijangka akan menarik minat pelancong domestik untuk melancong ke Negeri ini”.
“Kempen Pelancongan Domestik, ‘Pusing Selangor Dulu’ juga semakin mendapat perhatian dan reaksi positif daripada orang awam khususnya pelancong domestik. Dengan inisiatif-inisiatif serba mampan yang diusahakan pihak Tourism Selangor, khususnya di landasan digital, adalah diharapkan agar Kempen ini memberikan impak yang signifikan kepada pertubuhan positif industri pelancongan Negeri”, tambah Encik Azrul Shah.
Tourism Selangor telah menetapkan sasaran baharu untuk jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Selangor seramai 6 juta orang untuk tahun 2020 selaras dengan visi “Reset Tourism”. Dengan pelaksanaan Kempen Pusing Selangor Dulu yang sedang giat dijalankan, sasaran baharu tersebut dijangka dapat direalisasikan dengan sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh jumlah kedatangan pelancong domestik.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.zulyusmar.com/2020/07/fasa-pemulihan-pasca-covid-19-industri.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+ZulyusmarcomMalaysianLifestyleFoodBeveragesTravelTechnologyAndN