Fakta Kemerdekaan Sebenarnya Allahyarham Sudirman Bukanlah Penyanyi Asal Lagu Keramat Tanggal 31 Ini Kisahnya
Setiap kali menjelang sambutan hari kemerdekaan, salah satu lagu yang sering berkumandang adalah lagu Tanggal 31. Jika ditanya pada rakyat Malaysia siapakah penyanyi lagu Tanggal 31, tidak syak lagi hampir semua orang akan menjawab lagu tersebut adalah nyanyian penghibur versatil, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad.
Lirik Tanggal 31
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka! Merdeka!
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari Merdeka
Merdeka!
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka
Percaya atau pun tidak, sebenarnya lagu Tanggal 31 bukanlah lagu asal nyanyian Sudirman. Lagu tersebut merupakan lagu yang dirakamkan semula oleh Sudirman untuk album patriotik beliau yang berjudul ‘Abadi’ yang dikeluarkan pada tahun 1982.
Lagu asal ‘Tanggal 31’ merupakan ciptaan asal Ahmad Chass Barra atau lebih dikenali sebagai Ahmad C.B. Beliau merupakan seorang penyanyi Melayu era 60-an dan 70-an yang berasal dari Indonesia, tetapi telah menjadi pemastautin tetap Malaysia semenjak tahun 1979.
Berasal dari Medan, nama Ahmad CB adalah singkatan nama sebenarnya Ahmad Chass Baras. Melalui program Seulas Pinang (TV3) pada 1993, Ahmad CB kata lagu Tanggal 31 dicipta dengan tujuan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.
Agak dramatik bagaimana lagu Tanggal 31 ini tercipta. Mengikut cerita mulut ke mulut, Ahmad CB ketika itu berada di Indonesia dan apabila dikhabarkan Malaya (nama ketika itu) akan merdeka, jiwa seni Ahmad CB meronta-ronta mahu turut menabur jasa buat anak bangsa.
Lalu beliau sanggup berkolek (ada yang kata menaiki bot) merentas Selat Melaka ke Singapura untuk merakam suara lagu Tanggal 31. Sebaik proses rakaman selesai, Ahmad CB pulang ke Indonesia. Cuma usah kita bayangkan senario politik Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti sekarang kerana dahulu nusantara Melayu ini bebas untuk warga setempat keluar masuk kerana ini kampung halaman mereka.
Ini bertepatan sebagaimana pernah disuarakan Ahmad CB yang wajar kita jadikan azimat, “Saya dilahirkan di Medan, tetapi dibesarkan di Singapura dan Malaya. Ibarat kata orang, badan di Indonesia tetapi jiwa saya di Semenangjung kerana itulah saya hasilkan lagu Tanggal 31.”
Namun, berbeza dengan lagu Tanggal 31 versi nyanyian Sudirman, versi asal ‘Tanggal 31’ lebih perlahan, dan kedengaran kurang bersemangat. Mungkin kerana ia lebih sesuai dengan perkembangan muzik pada era tersebut.
Atas permintaan Sudirman, komposer S. Atan telah menggubah kembali lagu ‘Tanggal 31’ kepada rentak pop yang lebih pantas, sesuai dengan peredaran zaman. Gabungan gubahan muzik lebih moden dengan lirik asal yang sangat mudah meresap dalam jiwa pendengar menjadikan lagu ‘Tanggal 31’ sentiasa malar segar dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat Malaysia.
Sumber: Metro Ahad , Iamlejen.com
The post FAKTA Kemerdekaan: Sebenarnya Allahyarham Sudirman Bukanlah Penyanyi Asal Lagu Keramat Tanggal 31? ini kisahnya.. appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/09/01/fakta-kemerdekaan-sebenarnya-allahyarham-sudirman-bukanlah-penyanyi-asal-lagu-keramat-tanggal-31-ini-kisahnya/