Enggan Tarik Kenyataan Didakwa Islamofobia Wakil Pn Diarah Keluar Dewan
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary diarah keluar Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) diarah keluar Dewan selepas enggan menarik balik kenyataan mengaitkan hantaran Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Facebook dengan Islamofobia.
Terdahulu, beliau mencelah penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar, dengan meminta penjelasan sama ada pihaknya setuju menteri diberi penerangan mengenai Islam bagi mengelak berlaku Islamofobia sebelum meminta rakyat memahaminya.
“Kekeliruan terhadap Islamofobia disebabkan salah anggap dan tak faham bukan sahaja masyarakat di luar bahkah dalam kalangan menteri contohnya Teluk Intan (Nga Kor Ming).
“Berapa kali buat ‘posting’ dulu sebut Taliban dan sebagainya dan ada beberapa lagi adakah YB menteri (Na’im) berusaha beri kefahaman dalam kalangan menteri Kabinet dulu,” kata Ahli Parlimen PAS itu.
Na’im sebelum itu menjelaskan mengenai Qunut Nazilah dan takbir yang menjadi isu ketika ini bukan disebabkan Islamofobia sebaliknya salah faham dan perlu diberikan penerangan.
Tidak berpuas hati dengan apa dibangkitkan Marzuk, Howard Lee (PH-Ipoh Timur) dan beberapa Ahli Parlimen DAP lain bangkit meminta wakil rakyat PAS menarik balik tuduhan itu sehingga mencetuskan kekecohan.
“Ini tuduhan berniat jahat, tarik balik,” kata Lee.
Marzuk menafikan menghina Nga dan menjelaskan beliau hanya merujuk hantaran pengerusi DAP Perak itu di media sosial pada 28 Okt.
“Saya merujuk satu ‘posting’ Facebook daripada Nga di mana dia menyebut sekolah bukan tempat konflik fahaman ekstremis dan fahaman keganasan…ini salah faham, gambar yang ditunjuk itu pakaian pejuang Palestin yang berjuang menuntut kemerdekaan,” katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong, meminta Marzuk menarik balik kenyataan mengaitkan Nga.
Bagaimanapun, Marzuk enggan berbuat demikian dengan mendakwa tidak dimaklumkan perkataan tertentu untuk beliau menarik balik sambil membidas Lee sebagai biadab kerana berterusan melakukan provokasi terhadapnya.
“Saya berhak untuk tidak bersetuju dengan ‘ruling’ speaker…saya tak akan tarik balik dan saya akan buat usul,” katanya.
Alice kemudian mengarahkan Marzuk keluar Dewan dan meminta membuat usul jika tidak berpuas hati dengan arahannya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/11/enggan-tarik-kenyataan-didakwa.html