Emosi Bukan Fakta Penceritaan Bukan Gambaran Sebenar
Awal pagi sabtu saya batalkan aktiviti rutin bersenam. Perlu bersiap untuk turun ke lapangan, siasat masalah yang sedang hangat berlaku di tempat pelanggan yang kami jaga.
Kejadian berlaku di Hospital yang menjadi salah satu dari pelanggan khidmat pest control saya. Salah seorang pesakit, ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut melihat seekor tikus melintas di depannya.
Buat rakaman video dah jadi amalan biasa sekarang. Peluang melihat tikus di hospital sebegitu mendorong pelanggan tersebut keluarkan telefon pintarnya. Dirakamkan kejadian tikus melintas itu. Rakaman itu lalu dihantar ke pihak atasan sebagai satu aduan.
Maka terus jadi satu isu besar. memberikan gambaran tikus serang teruk hospital. Membawa kepada persepsi yang pihak pengurusan hospital gagal dan suis kecemasan ditekan untuk segera selesaikan ancaman tersebut.
Apa yang berlaku membuka lampu terang. Menyuluh tepat kepada syarikat yang menguruskan pest control di hospital. Syarikat saya lah tu. Perlu berikan jawapan kenapa tikus boleh berada di dalam hospital?
Cerita sebenar tentang tikusTikus bukanlah makhluk pelik di negara kita. Ada terlalu banyak di merata tempat. Asalnya mereka makhluk hutan. Tapi sekarang dah tinggal di bandar.
Seperti makhluk lain, tikus juga perlu makan. Yang tak bestnya adalah tikus makan apa yang manusia makan. Kita kongsi jenis makanan yang agak sama. Ringkasnya, di mana ada manusia, disitu ada makanan untuk tikus.
Sebab itu anda boleh lihat tikus di merata tempat di kawasan bandar. Terutamanya di kawasan yang ada kedai makan. Di situ berlebihan mewah makanan buat tikus. Sehingga mereka bersarang beranak-pinak di sekitar kawasan longkang yang ada di semua tempat yang ada kedai makan.
Di kawasan perumahan juga perkara sama berlaku. Tikus ada terlalu banyak di mana saja ada longkang di kawasan perumahan di negara kita. Cuba perlu semak longkang di depan atau belakang rumah anda dan lihat samada wujud lubang atau tidak. Saya yakin jika ada lubang, ada tikus juga di sekitar kawasan itu.
Tikus ada di mana-mana saja bangunan yang ada manusia. Itu rumusannya.
Oleh itu tidak pelik jika tikus juga ada banyak di kawasan hospital. Ada segala sumber makanan dan minuman yang diperlukan oleh tikus di seluruh tempat di bangunan hospital di negara kita.
Atasi masalah tikus di rumahLangkah pertama kawal tikus adalah halang dia masuk dan pastikan tiada sumber makanan dan minuman mudah, pada tempat yang kita tak mahu tikus ada. Itu asas utamanya. Sangat mudah!
Bagi anda yang rumah diperbuat dari batu, lebih mudah untuk kawal atau halang tikus dari masuk ke dalam.
Tutup sahaja segala laluan yang membolehkan tikus masuk. Habis cerita. Jangan lali buka pintu dan tingkap terutamanya di sebelah belakang dapur rumah anda.
Untuk semua saluran air dari tandas atau bilik air menuju ke longkang, perlu tutup juga dengan wire mesh. Biarkan air sahaja yang dapat lalu tapi bukan tikus.
Dengan berbuat begitu, tikus besar yang dipanggil Tikus Coklat (Rattus Norvegicus) tak dapat masuk ke dalam rumah.
Tapi ada satu lagi jenis yang dipanggil Tikus Hitam (Rattus Rattus). Ini sangat lincah. Boleh melompat dan boleh memanjat naik turun ikut paip, kayu, masuk tingkap dan panjant siling.
Untuk halang tikus tersebut, sama juga aktiviti penutupan akses masuk ke dalam rumah anda perlu di kawal. Tutup kesemua lubang yang membolehkan dia masuk ke dalam rumah untuk cari makan.
Ada rumah yang dia masuk dari siling. Tapi jika dari siling turun ke dapur, di mana adanya stok makanan, tak ada laluan, memang dia tak jadi gangguan untuk anda juga. Dia pun tak mahu duduk di kawasan yang tak ada sumber makanan.
Berbalik kepada masalah tikus di hospital tadi.
Masalah sebenar adalah terdapat laluan yang terlalu banyak untuk tikus merayau dari satu bangunan ke satu bangunan lain. Begitu juga ada laluan dari satu tingkat ke satu tingkat lain.
Bermula dari pembiakan tikus di kawasan sekitar hospital, di mana ada banyak sumber makanan di sekelilingnya, tikus membiak laju dan jumlahnya yang banyak membuatkan dia mula merayau mencari makanan di dalam bangunan naik ke atas pula.
Sama macam rumah tadi, jika pihak hospital berikan tumpuan bersungguh pada menutup semua laluan tikus naik ke atas dan masuk ke dalam wad, maka selesailah masalah tikus.
Tugas syarikat pest control pula bertumpu kepada memantau punca, mengurangkan potensi serangan tikus masuk ke dalam bangunan. Jika ada yang terlepas masuk, aktiviti kawalannya lebih mudah sebab tak banyak untuk ditangkap secara menggunakan gam atau sangkar.
Tapi aktiviti menghalang laluan tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Benda tak nampak kesan terus memang sering diabaikan.
Syarikat pest control dah berikan laporan demi laporan bertahun tapi tiada sebarang tindakan diusahakan atas berbagai alasan.
Bila kes meletup, maka syarikat pest dikambing-hitamkan. Itu lebih mudah untuk kaburkan kesilapan sendiri.
Mereka mula mengambil gambar bagaimana tikus bermain dengan glue board tapi gam itu gagal melekat pada tikus. Video itu dijadikan hujah bahawa syarikat tidak ada kredebiliti kerana gagal tangkap tikus dan menggunakan bahan yang tak berkesan.
Itu cerita yang dikarang.
Tapi cerita bukanlah keadaan sebenar. Perlu dilihat fakta.
Fakta menunjukkan sudah beratus ekor kami tangkap dan buang setiap hari sejak dulu sehingga sekarang. Tandanya teknik yang digunakan adalah berkesan. Tidak boleh dijadikan hanya satu rakaman video sahaja untuk menuduh teknik tak betul.
Ditambah dengan segala maklumat segera dari media sosial maka timbullah pakar segera memberikan nasihat kepada syarikat pest control bagaimana nak selesaikan masalah tikus.
Bahayanya adalah, jika syarikat pest control tidak ikut nasihat mereka, masalah lebih besar akan timbul. Sedangkan syarikat dah berpuluh tahun pengalaman dan tahu cara sebenar mana yang baik mana yang tak boleh dilakukan.
Ada faktor keselamatan dan ada faktor keberkesanan jangka panjang yang syarikat pest perlu pertimbangkan.
Tapi untuk puaskan hati pelanggan, maka apa yang disarankan terpaksa dibuat juga sikit. Buat dan ambil gambar. "Done!".
Maka dapatlah pujian. Good Job!
Bukan sebab keberkesanan. Tapi lebih kepada ikut cadangan dari mereka sahaja. Sedangkan kami tahu cadangan itu tidak berkesan lansung untuk selesaikan masalah.
Emosi bukan faktaSebagai syarikat perniagaan, perlu akur bahawa pelanggan lebih percaya kepada emosi dan bukannya kepada fakta.
Lihat sahaja ubat gigi yang laku keras di pasaran.
Semua ubat gigi ada bahan sejuk atau mint di dalamnya. Dengan ada bahan itu, pengguna rasa segar dan dari kesegaran itu, dirasakan bahawa giginya bersih dan bebas dari kuman.
Hakikat sebenarnya, bahan sejuk itu lansung tidak punya apa-apa peranan untuk bunuh atau bersihkan kekotoran pada gigi. Hanya beri kepuasan emosi sahaja.
Tapi jika ubat gigi tak ada rasa sejuk dan segar, tak ada orang yang akan beli dan gunakan ubat gigi tersebut. Mahu tak mahu, pembuat ubat gigi masukkan juga apa yang dapat puaskan emosi pengguna.
Itu jugalah yang syarikat pest control terpaksa lakukan. Puaskan hati mereka. Legakan rasa atau emosi mereka seperti rasa segar yang ada pada ubat gigi tadi.
Dalam masa yang sama selesaikan berdasarkan fakta. Gunakan teknik yang berkesan selama ini tanpa perlu buktikan masalah diselesaikan dengan cari tersebut. Mereka tak akan faham dan tak ingin faham pun.
Memang susah nak kuasai emosi selain dari bersetuju sahaja dengan apa yang pelanggan rasa.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.hidupringkas.com/2022/07/emosi-bukan-fakta-penceritaan-bukan.html