Eleena Harris Cinta Monyet Hingga Jenjang Pelamin
Penyanyi Terlalu Rindu, Eleena Harris, 24, kini bergelar isteri apabila memilih perunding Teknologi Maklumat, Muhammad Abbas Shafiq, 27, sebagai suami.
Memilih tarikh cantik, 10.10.2020, majlis akad nikah Eleena dan Muhammad Abbas berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lot banglo di Ruz Daanya Event Space, Sungai Penchala.
Acara akad nikah berlangsung sebelah pagi, diikuti majlis resepsi di lokasi yang sama. Eleena menerima wang hantaran berjumlah RM10,102 berserta mas kahwin RM80. Pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang berbalas lima.
"Sepatutnya kami mendirikan rumah tangga pada 29 Februari lalu, sebelum pandemik COVID-19 memuncak. Tarikh ini juga agak 'rare'. Namun, kita hanya mampu merancang, Allah menentukan. Majlis pernikahan terpaksa ditunda.
"Akhirnya, saya, suami dan keluarga memilih tarikh 10 Oktober. Pada majlis akad nikah, hanya 50 orang tetamu hadir menyaksikan detik penyatuan cinta kami sebagai suami isteri.
"Pada sebelah petang, majlis resepsi pula dihadiri 100 tetamu. Saya hanya dapat mengundang ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat," katanya.
Katanya, seperti tuntutan norma baharu, tetamu yang hadir perlu mematuhi SOP, mendaftar di aplikasi My Sejahtera dan diperiksa suhu badan.
Eleena berkata, dia mendendangkan lagu You Raise Me Up dendangan Josh Groban dituju buat ibu bapanya pada majlis bersejarahnya.
"Tak sangka pula ramai tetamu mengalirkan air mata mendengar nyanyian saya," katanya.
Berkongsi detik perkenalan dengan suami, Eleena berkata, dia mengenali suami sejak 2009.
"Kami satu sekolah. Tak sangka pula jodoh kuat hingga ke jenjang pelamin. Kami kenal pun sebab selalu terserempak. Nak dijadikan cerita, saya pernah berkongsi cerita mengenainya dengan teman baik, Mia.
"Ibu Mia pernah mengusik saya supaya pilih sahaja abang Mia sebagai calon suami. Masin sungguh mulut ibu mentua saya.
"Lucunya, tanpa diduga rupa-rupanya suami adalah abang kandung Mia. Bagaimanapun, hubungan mula serius sejak 2015. Sebelum itu, mungkin sekadar cinta monyet," katanya.
Apa istimewanya, Eleena berkata, hubungan cinta mereka penuh rahsia dan tidak diketahui ramai.
"Bagaimanapun, ia mula 'kantoi' dan diketahui ramai pada 2018. Saya sendiri memang tak suka berkongsi soal perkara yang belum pasti," katanya.
Kata Eleena, jejaka tinggi lampai itu serius mahu memperisterikannya sejak mengenalinya.
"Antara kami beza ketara membabitkan ketinggian. Suami memang tinggi lampai orangnya. Perangai secara luaran nampak seperti garang, sombong dan poyo. Tetapi, jika sudah kenal, karakter jadi sebaliknya.
"Ketika kami belajar di universiti, suami mengumpul duit dan kerja siang malam bagi memastikan masa depan terjamin apabila kami berumah tangga.
"Itu antara sebab yang cukup mengagumkan. Saya tahu macam mana hidup susah dan kena tanggung keluarga. Insya-Allah, kami akan melalui susah dan senang bersama," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/10/eleena-harris-cinta-monyet-hingga.html