Elak Umat Islam Jadi Penumpang
PEMBANGUNAN harta wakaf turut dijadikan fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ketika membentangkan RMK12 pada 27 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, sebagai inisiatif untuk mengembangkan lagi ekonomi Islam, konsep wakaf akan diperluas sebagai strategi mempelbagaikan sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera.
Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap.
Terdapat beberapa kebaikan daripada aktiviti wakaf. Pertama, membangunkan ekonomi negara secara seimbang.
Keadilan ekonomi yang ditegakkan menatijahkan setiap individu akan mendapatkan hak sesuai dengan sumbangan masing-masing kepada masyarakat.
Setiap individu juga harus dibebaskan daripada eksploitasi individu lain. Islam melarang seseorang melakukan perbuatan merugikan orang lain.
Melalui instrumen wakaf, pembangunan ekonomi dapat dibangunkan tanpa wujud eksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.
Kedua, mewujudkan pemilikan aset masyarakat Islam. Realiti menunjukkan ketidaksaksamaan pendapatan dan kekayaan berlaku dalam masyarakat pada hari ini.
Sekiranya masyarakat Islam tidak mementingkan pegangan ekuiti dengan menjual tanah untuk mendapatkan keuntungan, masyarakat Islam akan mula beransur-ansur menjadi penumpang di negara sendiri.
Wakaf merupakan satu alternatif untuk mengekalkan pemilikan harta agar tetap menjadi hak milik masyarakat Islam.
Justeru, sesiapa yang mewakafkan harta di jalan Allah akan mendapat ganjaran yang besar dan berpanjangan di dunia dan akhirat.
Ketiga, menganjurkan perbuatan saling membantu yang merupakan sesuatu yang amat penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat.
Kerjasama ke arah kebaikan yang dianjurkan oleh Islam adalah berdasarkan perhubungan sosial, ekonomi dan politik tanpa melihat taraf hidup dan warna kulit.
Melalui amalan wakaf, masyarakat Islam dianjurkan menghidupkan konsep saling membantu. Harta yang diwakafkan dapat digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti pembinaan masjid, rumah anak yatim, tanah perkuburan dan tempat pengajian.
Keempat, wakaf membolehkan umat Islam menjalinkan hubungan sosial yang lebih baik dan erat. Menerusi wakaf, hubungan sosial menurut Islam dapat dihayati dan dibangunkan.
Semua harta dan rezeki yang dikurniakan Allah SWT dapat dikongsi dan digunakan bersama. Ini kerana Islam tidak hanya menjaga hubungan dengan Allah SWT, malah turut menjaga hubungan sesama manusia.
Kesimpulannya, pembangunan wakaf boleh dijayakan melalui sinergi dan kerjasama yang mantap daripada pelbagai pihak antaranya Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Yayasan Wakaf Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan institusi pengajian tinggi.
DR. AZRI BHARI, Pakar Rujuk Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, UiTM Shah Alam, Selangor.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tungkaranhati.blogspot.com/2021/10/elak-umat-islam-jadi-penumpang.html