Dua Wanita Dikompaun Rm5 000 Rentas Daerah Beli Emas
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
SOFFIAN Santong (kiri) ketika mengetuai Op Pemantauan Pematuhan SOP PKP di Kompleks Bukit Jambul, Sungai Nibong, Pulau Pinang.GEORGETOWN: Dua wanita yang merentas daerah semata-mata mahu mengunjungi sebuah kedai barangan kemas di Kompleks Bukit Jambul, Sungai Nibong di sini menerima padah apabila mereka dikompaun sebanyak RM5,000.
Wanita berusia 20-an dan 50-an itu antara sembilan individu yang ditahan dalam Operasi Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) mulai pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua wanita tersebut datang secara berasingan iaitu dari Balik Pulau dan Bayan Lepas di daerah Barat Daya.
Menurutnya, mereka gagal memberikan sebarang alasan munasabah kepada pihak polis berhubung kehadiran mereka ke premis berkenaan.
“Semasa operasi dijalankan, dua wanita terbabit sedang berurusan dengan jurujual premis berkenaan.
“Mereka tidak melarikan diri tetapi mungkin tidak menyangka polis akan bertanya mengenai lokasi mereka datang selain melakukan pemeriksaan imbasan MySejahtera serta pemakaian pelitup muka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kompaun dikenakan mengikut kesalahan di bawah peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 iaitu ingkar arahan kawalan pergerakan (merentas daerah tanpa kebenaran).
Dalam pada itu jelasnya, turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 adalah tujuh lagi individu termasuk empat warga asing selepas didapati tidak memakai pelitup muka serta mengimbas kod MySejahtera.
“Mereka yang tidak mengimbas kod MySejahtera itu berada di premis yang beroperasi di luar pasar raya berkenaan.
“Mereka mengakui sudah melakukan SOP yang ditetapkan pengusaha premis, namun apabila diperiksa sebenarnya tidak berbuat demikian,” ujarnya. – UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/dua-wanita-dikompaun-rm5000-rentas.html