Dua Juruwang Pasrah Meringkuk Di Penjara Wang Syarikat Rm1 5 Juta Lesap
Lily (kanan) dan Mawar (kiri) terpaksa meringkuk di penjara selepas didapati bersalah dalam kes pecah amanah wang syarikat.
(📸 ©sinarharian.com.my/ASYIKIN ASMIN)
Wang syarikat lesap, dua juruwang pasrah meringkuk di penjara
Bayangkan terpaksa mengaku dan menanggung kesalahan orang lain akibat kecuaian sendiri.
KOTA KINABALU - Terperdaya dengan dokumen yang diterima seolah-olah tulen, seorang wanita tidak menyangka kerjayanya sebagai ketua juruwang di sebuah syarikat peruncitan berakhir di penjara selepas didapati bersalah dalam kes pecah amanah melibatkan wang RM1.5 juta.
Lily (bukan nama sebenar), 43, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama lapan tahun dan lapan bulan itu terpaksa mengaku dan menanggung kesalahan orang lain akibat kecuaiannya.
Berkongsi pengalaman buruk itu, dia yang sudah bekerja selama 10 tahun memaklumkan kejadian itu berlaku pada tahun lalu apabila pihak akaun mendapati ada transaksi aliran keluar dari akaun bank miliknya.
"Saya cuma menurut arahan daripada orang atasan selepas menerima dokumen yang seolah-olah tulen sebagai bukti arahan untuk mengeluarkan wang tersebut untuk dimasukkan ke akaun saya sebelum melakukan pemindahan ke akaun lain.
"Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila didapati nilai wang di akaun syarikat tidak selari dengan nilai dalam akaun bank dan terdapat kehilangan wang sebanyak RM1.5 juta,"
katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Jalinan Kasih Krismas dan Tahun Baharu Cina di Penjara Wanita Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Lily berkata, buntu dengan keadaan itu ditambah pula wang dikeluarkan dari akaun bank miliknya menyebabkan dia terpaksa membuat pengakuan bersalah sebelum dijatuhkan hukuman penjara.
"Kini saya sedar saya telah dipergunakan tetapi kesilapan saya adalah terlalu percaya bahawa dokumen yang diterima adalah tulen tanpa membuat pemeriksaan lanjut.
"Dalam penjara ini, banyak saya pelajari dan ambil pengajaran terutama dalam isu percaya dengan orang lain termasuk lebih berhati-hati, lagi-lagi melibatkan wang," katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas ketua juruwang dikenali sebagai Mawar, 30, turut menerima nasib yang sama apabila dia dituduh melakukan pecah amanah melibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM241,000.
"Saya bertanggungjawab sebagai individu yang menerima slip bank setiap kali wang hasil jualan syarikat dimasukkan ke akaun bank syarikat.
"Semasa kejadian, ia berlaku selama tujuh hari berturut-turut apabila saya menerima slip bank dengan cop yang seolah-olah tulen untuk difailkan sebelum diserahkan kepada ibu pejabat," katanya.
Bagaimanapun, Mawar berkata, hasil semakan pada rekod bank mendapati wang yang dimasukkan kurang daripada jumlah yang direkodkan dalam slip bank.
"Saya sendiri tidak tahu ke mana wang itu pergi, saya cuma menerima slip bank yang seperti tulen tetapi tidak sangka rupanya sudah dipalsukan.
"Saya kemudian disiasat dan berusaha lawan di mahkamah dengan menggunakan khidmat peguam tetapi malangnya disebabkan saya pernah menurunkan tandatangan bahawa saya bertanggungjawab atas apa saja yang berlaku menyebabkan saya kalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun enam bulan," katanya.
Mawar berkata, dia yang kini reda dengan nasibnya berusaha untuk memperbaiki diri sepanjang berada di dalam penjara tersebut.
"Kerjaya saya hancur kerana ketika itu baru saja bertukar kerja dan saya terpaksa meninggalkan suami selepas dijatuhkan hukuman pada Mei tahun lalu.
"Di dalam penjara ini walaupun tidak sama seperti di luar tetapi saya lebih selamat apabila tidak terperdaya dengan penipuan daripada orang sekeliling.
"Tetapi saya juga mengambil sikap positif selepas sentiasa mendengar ceramah agama untuk reda dengan nasib yang menimpa dan tidak berdendam dengan apa yang berlaku," katanya.
SOURCE:
sinarharian.com.my
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2025/01/dua-juruwang-pasrah-meringkuk-di.html