Doj Dan Peguam Jho Low Setuju Jual Hartanah
MALAYSIAKINI
      Beberapa hartanah termasuk dua kediaman mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low akan dijual.
Ia  susulan usul bersama oleh pihak yang terlibat dalam saman sita hartanah  berkenaan yang meminta mahkamah AS untuk menangguhkan prosiding bagi  membolehkan penjualan interlokutori hartanah itu.
Hartanah yang  terlibat termasuklah kediaman di Time Warner Penthouse bernilai AS$30.55  juta (RM128.2 juta) di New York yang dituntut oleh 80 Columbus Circle  (NYC) LLC dan kondominium di New York bernilai AS$13.8 million (RM58  juta) yang dituntut oleh 118 Greene Street (NYC) LLC.
Perkara itu dimaklumkan dalam dokumen pemfailan mahkamah bertarikh 29 Mei yang turut dilihat Malaysiakini.
Dokumen itu bagaimanapun tidak menyatakan syarat atau sebab penjualan berkenaan.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) sebelum ini mendakwa hartanah berkenaan dibeli menggunakan wang 1MDB yang diseleweng.
Mahkamah  juga memberikan kebenaran kepada DOJ bagi prosiding pada 2017 untuk  tidak mencampuri siasatan jenayah yang sedang dijalankan oleh Biro  Siasatan Persekutuan (FBI) AS.
Sementara itu, mahkamah sama juga  meluluskan permohonan untuk penjualan interlokutori banglo bernilai  AS$39 juta di Los Angeles, California yang dituntut oleh Oriole Drive  (LA) LLC.
Hakim Dale S Fischer menandatangani arahan mahkamah itu pada 7 Mei lalu.
Bagaimanapun,  DOJ dan Oriole Drive (LA) LLC semalam memohon untuk meminda terma  penjualan untuk memasukkan cukai yang perlu dibayar melalui hasil  penjualan hartanah berkenaan.
Terma baru itu juga membolehkan penuntut untuk dibayar balik kos cukai dan penyelenggaraan.
Seperti  sebelum ini, penjualan berkenaan tidak bererti Jho Low, yang mencabar  penyitaan berkenaan melepaskan tuntutan ke atas hartanah berkenaan.
Menurut  pemfailan mahkamah, penjualan itu dilakukan kerana banglo Oriole  berkemungkinan rosak sekiranya tidak dijual kepada pihak ketiga untuk  didiami sementara menunggu proses mahkamah.
Pemfailan itu juga  menyatakan bahawa kos penyelenggaraan hartanah itu terlalu tinggi dan  kemungkinan tidak sesuai dengan harga pasarannya.
Hasil penjualan itu - selepas menolak cukai dan perbelanjaan lain - akan dijadikan subjek penyitaan hartanah berkenaan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/doj-dan-peguam-jho-low-setuju-jual.html