Dituduh Abai Banyak Haiwan Peliharaan Agensi Park Eunseok Tampil Beri Penjelasan
Pelakon Park Eun-seok yang kian popular kerana watak Logan Lee dalam “The Penthouse” kini terpalit dengan kontroversi yang mengatakan bahawa dia telah mengabaikan haiwan peliharaannya.
Kisah bermula apabila lelaki itu menampilkan anjing peliharaannya bernama Molly yang baru sahaja mencecah usia 3 bulan dalam rancangan “I Live Alone”. Walaubagaimanapun, selepas tayangan tersebut, beberapa netizen telah tampil dan mengungkit mengenai haiwan peliharaannya sebelum ini yang hilang tanpa khabar berita.
Seorang netizen yang kononnya merupakan rakan sekelas Park Eun-seok di Seoul Institute Of The Arts mendedahkan bahawa lelaki itu akan menukar haiwan peliharaan jika teman wanitanya tidak menyukainya.
Teman wanitanya tidak menyukai anjing peliharaannya ketika itu, kemudian dia menukarnya kepada beagle kecil.
Netizen tersebut meluahkan rasa risau sekiranya Park Eun-seok hanya menggunakan haiwan peliharaan tersebut sebagai ‘persembahan’ sahaja.
Bahkan salah seorang netizen yang mengakui bahawa dia merupakan peminat lama pelakon itu turut meluahkan spekulasinya. Katanya, sudah berapa banyak haiwan peliharaan milik Park Eun-seok yang sudah tidak kelihatan bersamanya mahupun di media sosial miliknya.
Tak tahulah mana dua kucing yang tinggal di rumah separuh bawah tanah dengannya dahulu. Pada tahun 2016, dia membela seekor toy poodle bernama Rosie dan pada tahun 2011, dia membela Shar Pei bernama Isabelle. Dia juga pernah memiliki seekor anjing besar bernama Daisy. Bahkan seekor hedgehog juga suatu ketika dahulu.
Takutnya apabila memikirkan dia hanya membela haiwan selama satu ke dua tahun sahaja.
Bukan itu sahaja, seorang netizen yang pernah cuba mendapatkan kucing daripada lelaki itu turut menyatakan bahawa haiwan peliharaan tersebut pada ketika itu nampak seperti tak terjaga.
Sebelum dia popular, saya cuba mengambil kucingnya sebagai haiwan peliharaan saya. Tapi saya putus asa dengan proses pengambilan tersebut kerana kucing itu tidak divaksin dengan elok. Dia kelihatan seperti tidak peduli dengan haiwan tersebut dan mempunyai personaliti yang dingin.
Awak kata awak sibuk meskipun masih belum popular. Awak mesti sibuk sekarang tetapi masih membela dua kucing dan anjing. Saya harap awak menjaga mereka sehingga ke akhirnya.
Walaubagaimanapun, agensi naungannya mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan dakwaan yang berterusan merosakkan nama pelakon tersebut.
Pertama sekali, terima kasih kerana memberikan sepenuh perhatian kepada Park Eun-seok. Kami mohon maaf atas situasi yang berbangkit ini.
Walaubagaimanapun, selepas mengesahkan informasi tersebut, kami akan menjelaskan keadaan sebenar mengenai haiwan peliharaannya.
Poodle ialah haiwan peliharaan pertama Park Eun-seok semasa pulang ke Korea. Semasa tinggal dengan neneknya, mereka menjaga haiwan tersebut bersama-sama.
Kemudian, dia hidup sendiri, dan telah membela seekor English Sheepdog tua dan dua ekor kucing. Pada masa yang sama, dia telah berpindah ke dorm milik syarikat atas situasinya yang genting dan membuatkan dia tidak mampu membela haiwan peliharaan lagi.
Selepas diteliti, Park Eun-seok menjumpai tuan baru yang mempunyai laman yang luas dan kemudiannya meninggalkan anjing tua itu bersama mereka. Kucing-kucing tersebut juga menerima nasib yang sama. Pada ketika itu, salah seorang kenalan Park Eun-seok yang tahu mengenai situasinya meminta untuk menjaga kucing tersebut. Sehingga kini, pelakon itu masih lagi mengambil tahu mengenai keadaan haiwan peliharaan tersebut.
Selepas itu, Park Eun-seok tinggalkan dorm milik syarikat dan mula tinggal di rumah separuh bawah tanah. Pada ketika itu, disebabkan neneknya semakin tua, dia kembali menjaga poodle yang disebut sebelum ini. Pun begitu, persekitaran bawah tanah itu membuatkan haiwan tersebut tidak boleh duduk lama di dalamnya. Jadi, Park Eun-seok menghantar haiwan tersebut kepada saudara perempuannya dan masih lagi dijaga dengan baik sehingga kini.
Park Eun-seok ialah merupakan seorang pelakon yang sangat menyayangi haiwan, lebih daripada orang lain. Dia tahu yang dia perlu bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan tersebut sehingga ke akhirnya, namun dia berasa bersalah kerana tidak mampu menjaga semuanya kerana kekangan situasi dan keadaan. Dia masih lagi berhubung rapat dengan kenalan dan saudara yang menjaga haiwan peliharaan lamanya.
Sekali lagi, kami memohon maaf dan Park Eun-seok mengatakan bahawa dia akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan keadaan yang sama berlaku pada masa hadapan.
Kalau korang nak tahu, isu pengambilan haiwan peliharaan ini adalah sangat sensitif di Korea sebabnya banyak haiwan seperti anjing dan kucing yang dibuang apabila dah tak diperlukan. Bahkan dorang pun banyak kempen minta supaya ambil haiwan peliharaan daripada pusat jagaan haiwan dan bukannya membeli haiwan baka supaya dapat kurangkan masalah ini.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kimchidaily.my/dituduh-abai-banyak-haiwan-peliharaan-agensi-park-eunseok-tampil-beri-penjelasan/