Dilema Chindian Di Malaysia
KAHWIN campur ialah salah satu cara yang selalu disarankan bagi mencapai konsep Bangsa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.
Amalan ini memang suatu kebiasaan dalam kalangan penduduk di Sabah dan Sarawak.
Secara teori, kahwin campur memang salah satu penyelesaian mudah kepada pelbagai isu berkaitan kaum dan keturunan di negara kita. Akan tetapi, secara praktikal, memang ada banyak kekangan dan persoalan yang perlu dihadapi oleh individu yang mahu kahwin campur.
Dalam kalangan rakan-rakan kita, sama ada di sekolah, tempat kerja atau kawasan perumahan, mungkin ada keluarga yang dikenali sebagai Chindian. Gelaran ini biasa dirujuk kepada keluarga yang terhasil daripada perkahwinan individu kaum Cina dan India.
Orang Cina di Malaysia sebenarnya terdiri daripada pelbagai keturunan seperti Hakka, Hokkien, Kantonis dan Hainan. Orang India pula termasuk keturunan Tamil, Telugu, Malayali dan Punjabi. Bagi memudahkan perbincangan, kita gunakan istilah Cina dan India sahaja.
Gelaran Chindian memang biasa digunakan di Malaysia dan Singapura. Akan tetapi, dari segi perundangan, kategori itu tidak wujud secara rasmi. Maknanya, seseorang tidak boleh mendaftar keturunan Chindian pada sijil kelahiran atau sebarang dokumen rasmi.
Sebaliknya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menetapkan bahawa keturunan anak perlu berdasarkan keturunan si bapa. Maknanya, jika seorang lelaki India mengahwini wanita Cina, anak-anak mereka dianggap keturunan India. Jika wanita India berkahwin dengan lelaki Cina, anak-anak dianggap keturunan Cina.
Realiti kehidupan menjadi lebih rumit apabila kita menyentuh soal bahasa ibunda bagi anak-anak Chindian. Secara umum, jika ibu keturunan Cina, tentulah salah satu bahasa (dialek) Cina menjadi bahasa ibunda. Maka, anak berkenaan akan membesar sebagai orang India (ikut keturunan bapa) yang bahasa ibundanya ialah bahasa Cina!
CINTA
Sebenarnya, banyak dilema dan masalah yang terpaksa dihadapi oleh orang Chindian pada usia kanak-kanak, remaja dan dewasa. Aspek bahasa yang dinyatakan tadi biasanya diatasi dengan cara menggunakan bahasa Inggeris secara meluas sebagai bahasa komunikasi dalam kalangan ahli keluarga.
Namun begitu, hal berkenaan membawa pula kepada beberapa isu lain yang terpaksa dihadapi oleh individu Chindian. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita bolehlah cuba memahami beberapa dilema dan persoalan yang terpaksa mereka hadapi dalam kehidupan seharian.
Apabila keluarga Chindian memilih untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dalam keluarga, maka bahasa ibunda dari sebelah si ibu dan si bapa kurang diberi perhatian. Bahasa adalah salah satu ciri budaya. Maka, keluarga Chindian itu berdepan kemungkinan dituduh tidak mementingkan identiti budaya iaitu bahasa.
Hakikat ini dapat dibaca secara terperinci dalam buku bertajuk Blurring Boundaries (2016) tulisan Rona Chandran. Sejumlah 31 orang Chindian berkongsi dilema, cabaran dan masalah identiti yang mereka hadapi dalam kehidupan. Apabila hal-hal yang diketengahkan dalam buku itu dibandingkan dengan kisah rakan-rakan Chindian, ternyata cabaran yang dihadapi bukan kes-kes terpencil.
Perkahwinan campur antara individu kaum India dan Cina mungkin turut melibatkan perbezaan agama. Jika kedua-duanya beragama Kristian atau Buddha, tidak timbul masalah bagi melangsungkan perkahwinan dan memulakan hidup baharu.
Kaum India di Malaysia lazimnya beragama Hindu manakala kaum Cina beragama Buddha, Kristian, Tao atau Confucius. Anutan agama selalu berkait rapat dengan perayaan, amalan, adat dan kepercayaan. Agama mempengaruhi aspek kehidupan seharian.
Dengan itu, jika individu Cina dan India yang berbeza agama mahu berkahwin, hal agama juga perlu diberi perhatian serius. Biasanya, perkahwinan campur berlaku atas dasar cinta. Maka, pasangan itu boleh berbincang dan mencari penyelesaian terbaik dalam soal ini.
KOMPROMI
Akan tetapi, pandangan dan bantahan keluarga pula perlu diambil kira. Pasangan itu mungkin memutuskan untuk kekal dengan agama masing-masing selepas berkahwin. Ibu bapa dan saudara-mara mungkin kurang bersetuju kerana belum bersedia menerima penganut agama lain dalam keluarga.
Pada pemerhatian saya, pasangan India dan Cina yang berkahwin mampu berkompromi dan hidup bahagia sambil masing-masing mengamalkan ajaran agama asal.
Mereka saling menghormati amalan agama pasangan. Anak-anak pula dididik dengan kedua-dua agama.
Apabila anak-anak Chindian itu mencapai usia 18 tahun, mereka diberi kebebasan memilih sama ada mengikut agama ibu atau bapa. Malah, ada juga kes di mana si anak memilih agama lain dan pilihan itu biasanya direstui ibu bapa.
Nama orang Chindian agak unik kerana biasanya menggabungkan nama Cina dan India. Nama mereka juga mungkin menimbulkan masalah! Misalnya, katakan seorang remaja mempunyai iras muka India atau nama berunsur India, tetapi dia tidak tahu bahasa Tamil.
Dia mungkin diejek dan dipulaukan rakan-rakan kaum India. Kes seperti ini memang banyak berlaku. Kita perlu bersikap empati dan cuba memahami dilema serta kesan psikologi yang dialami rakan-rakan Chindian yang berdepan masalah seperti ini. Usah pula kita turut meminggirkan mereka kerana mereka ‘berbeza’.
Suatu ciri unik yang saya perhatikan pada rakan-rakan Chindian ialah kemampuan mereka menyesuaikan diri dengan semua keadaan. Mereka biasanya boleh bergaul dengan rakan-rakan semua kaum dan agama.
Dalam hal perayaan, pakaian tradisional, adat resam, makanan dan pelbagai aspek budaya lain, mereka boleh menerima kesemuanya tanpa prejudis.
Budaya orang Chindian, Chetti Melaka, Baba Nyonya serta etnik kahwin campur di Sabah dan Sarawak memang sangat unik dan menarik. Mereka mampu meraikan kepelbagaian selain menjadi semacam jambatan yang boleh menghubungkan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.
Oleh: Uthaya Sankar SB
Pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tungkaranhati.blogspot.com/2021/05/dilema-chindian-di-malaysia.html