Dia Sumbat Tahi Kucing Dalam Mulut Simbah Saya Dengan Air Panas Pelajar Tahfiz Melecur Angkara Pembuli
https://ift.tt/2PXjtTP
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang baru enam bulan belajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah mengalami kecederaan melecur akibat disimbah dengan air panas.
Dalam kejadian yang berlaku pada 16 Oktober lalu, mangsa, Muhammad Al-Yusof Muhaimi Mohamad Amir, mendakwa dia dibuli di pusat itu sehingga menerima rawatan di ICU Kebakaran HKL selama 10 hari.
(2017, 23 pelajar Tahfiz di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah terkorban dalam kebakaran, dipercayai akibat perbuatan khianat)
Mangsa mendakwa dia disimbah ketika sedang tidur pada jam 4 pagi di asrama tahfiz itu sehingga bahagian badan dan paha kirinya melecur.
"Dulu masa bulan tiga, kami pernah bergaduh. Dia suka kacau saya. Jadi saya mampu ejek dia sebab nak lawan balik tak boleh, dia kuat.
"Petang Isnin selepas Asar, dia panggil saya pergi ke tingkat bawah asrama. Lepas itu dia tumbuk muka saya. Kat tingkat bawah ini memang selalu ada kucing berak. Dia ambil tahi kucing, sumbat dalam mulut saya.
"Pagi Rabu waktu tengah tidur, tiba-tiba ada orang tumbuk. Lepas itu saya terkejut sebab kena simbah air panas," katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
Sementara ibu mangsa, Siti Satariah Ahmad, 36, berkata, badan anaknya melecur 13 peratus dan perlu menjalani rawatan fisioterapi apabila tulang sendi bahu terjejas akibat kejadian itu.
Siti mendedahkan, anaknya pernah lari dari pusat tahfiz itu pada jam 1 pagi (bulan Mac) kerana tidak tahan dikacau dan ditumbuk.
"Malam Isnin (dua hari sebelum kejadian simbah air panas), saya ke tahfiz untuk berjumpa dengan Yusof dan mendapati ada kesan lebam di tepi mata kiri. Dia kata kena pukul.
"Saya maklumkan kepada pengetua dan pengetua beritahu dia akan selesaikan perkara tersebut. Saya hubungi ibu bapa pelaku melalui WhatsApp dan sedia berjumpa pada malam esok, tetapi mereka tidak datang pun.
"Selama 10 hari Yusof di ICU, tiada seorang ustaz dari pusat tahfiz itu datang tengok. Bil hospital lebih RM400 kami tanggung sendiri," katanya.
Difahamkan, pelajar yang membuli mangsa hanya dikenakan hukuman rotan di hadapan pelajar lain.
Ibu bapa pelajar itu pula menawarkan ganti rugi kos sebanyak RM3,000. Namun, Siti dan suaminya nekad menuntut keadilan untuk anak mereka dan membawa kes itu ke mahkamah.
6 November lalu, pengetua pusat tahfiz itu menjelaskan bahawa kejadian itu bukan kes buli, sebaliknya hanya perselisihan faham di antara kedua-dua pihak dan saling ejek mengejek yang kemudian mereka dinasihat dan ditegur dalam kelas pengajian.
Kedua-dua ibu bapa pelajar berkenaan dipanggil dan pihak tahfiz menyangka perbalahan itu selesai selepas pertemuan itu. Namun, tidak menyangka pelaku bertindak menyimbah air panas pada mangsa sehingga menyebabkan badan mangsa melecur.
Pihak tahfiz menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.
"Pelaku sebelum ini tidak ada sebarang masalah disiplin. Insiden ini adalah di luar kawalan kami," katanya.
Bapa mangsa juga telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Suspek telah ditahan dan dilepaskan dengan jaminan polis yang kini masih menunggu keputusan pihak timbalan pendakwa raya.
Sumber: Sinar Harian
from The Reporter https://ift.tt/2NKPzzd
via IFTTT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kongsibro.blogspot.com/2019/11/dia-sumbat-tahi-kucing-dalam-mulut.html