Dia Seorang Sahahat
BELASUNGKAWA
Allahyarham menerima buku
saya Noktah Sebuah Penantian.MOHD Soberi Shafii insan kerdil kepada sesetengah orang, bahkan ada yang tidak pun mengenali siapa sosok ini. Tetapi beliau adalah istimewa buat saya sebagai seorang rakan dan sahabat.
Yang mengenali dan bersahabat dengannya sejak awal 1980-an, kenal dan tahu sangat nilai budi, fiil dan perjuangannya. Manakala yang mengenal di luar dirinya, kenal beliau dengan pelbagai nama dan watak antogonis.
Soberi seorang yang tenang tidak tahu marah. Seorang yang sedia mendengar dan akur. Kehebatannya menahan kemarahan dan tidak tahu menyimpan dendam. Punya PR - hubungan persahabatan yang cukup baik kerana itu beliau punyai ramai kawan dan sahabat. Soberi dikenali dengan "Boh Yie", menggambarkan beliau seorang yang dihormati dan boleh menguruskan manusia.
Selain itu beliau juga punyai harga diri dan nilai diri tersendiri. Punya prinsip tersendiri yang sukar digugat. Bagi saya beliau seorang yang berjasa dan meninggalkan kenangan hidup yang indah serta membanggakan. Ini saya kembali melihat hubungan persahabatan dengannya. Pantang terdengar khabar saya sakit atau masuk hospital beliau akan bertanya khabar dan bertatih menjengok saya, walaupun keadaannya tidak begitu kondusif.
Dalam kancah politik era tahun 80-an 90-an kehadiran sosok ini; kesetiaannya kepada pemimpin dan perjuangan sangat istimewa khasnya di Kelantan. Walaupun beliau tidak dinobatkan sebagai wakil rakyat, tetapi seorang politis yang cukup signifikan di negeri Kelantan. Peranannya dalam menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada rakyat mengalahkan wakil rakyat.
Diperingkat nasional juga apa dilaluinya, tidak ramai yang tahu, hanya mereka yang hampir dan rapat dengannya saja mengetahui cerita dan balada di sebaliknya. Salah satu misalnya sewaktu Umno diharam tahun 1987 dalam usaha untuk menghidupkan Umno Baru oleh regim Dr Mahathir Mohamad, beliau adalah antara peribadi menjadi hamba atau kuli kepada pimpinan Umno untuk menghidupkan parti keramat itu.
Beliau yang ketika itu merupakan anak didik atau bermajikan kepada Hussein Ahmad (Allahyarham) selaku Ketua Penerangan Umno Malaysia, menjadi pembantu setia Allahyarham Hussein Ahmad di ibu pejabat Umno di PWTC. Saat itu beliau berkerja dalam keadaan dicemuh oleh orang-orang yang membenci Dr Mahathir sebaliknya mendukung Tengku Razaleigh Hamzah.
Tidak ramai orang tahu akan jasa dan budinya dalam hal ini kepada Umno. Pengorbanan dan usahanya itu ironi apabila akhirnya beliau meninggalkan Umno setelah kecewa dengan permainan politik Umno di bahagiannya Ketereh. Saya masih ingat saat beliau ingin mengumumkan keputusan yang perit untuk keluar daripada parti di sebuah hotel di Kuala Lumpur, saya mengasaknya "apakah demo sudah buat keputusan nekad Yie?" Mengacing butang baju Allahyarham
biar smart.
Kekecewaan dialaminya kerana permainan politik peringkat bahagian menyebabkan beliau nekad dengan keputusannya itu. Serentak itu beliau meminta jasa baik saya agar membawanya menghadirkan diri untuk bertemu dengan Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Suatu Subuh hening saya membawanya berjumpa dengan Tok Guru di Pulau Melaka. Di atas masjid Tokguru di Pulau Melaka itu selepas solat Subuh beliau menyatakan hasratnya untuk menyertai Pas.
Tokguru menerima dengan penuh tawaduk dengan lapaz Alhamdulilah hasrat murninya itu. Kalangan rakannya dari Umno mentertawakan tindakannya dan menuduh beliau sebagai kecewa. Tiada usaha memujuk dan memintanya untuk membatalkan niatnya itu, bahkan tindakannya keluar parti tidak pun diberi apa-apa respon dari ketua Umno bahagian Ketereh. Sebaliknya ada rakan-rakan mentertawakannya. Tidak siapa tahu apa terjadi selepas itu, alih-alih orang yang mentertawakannya itu sendiri menyertai Pas, selepas 10 tahun Soberi mengambil tindakan itu
Perpecahan dalam Pas sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara mengecewakan Sobree. Beliau seperti pause dalam politik sekejap tanpa mengambil sikap politik, tetapi tetap mendokong PH. Kebersamaan Pas dengan PKR menerusi PH memberi ruang perjuangan baru kepadanaya apabila dilantik menjadi Sekretrait PH Kelantan. Dengan bakat, pengalaman, kegigihannya dan PR yang menyenangkan anak-anak muda beliau gerakkan PH di Kelantan menjelang pilihan raya tahun 2014. Beliau ikhlas bekerja walaupun tidak pernah diberikan apa-apa imbalan. Kemenangan kerajaan PH tidak menghadiahkan apa-apa buatnya, namun beliau setia dengan PH tanpa parti yang jelas
Mengirang Tok Guru semasa di Sarawak.Sebagai ahli asal Umno, jasa dan budinya tidak perlu disebut. Ketika era Umno berada di kemuncak tahun 70-an hingga 80-an, beliau adalah antara pemuda Umno yang hebat dan lasak di Kelantan. Jasa besarnya yang tidak diikhtiraf ialah mendokong Anwar Ibrahim yang baru menyertai Umno untuk jadi ketua pemuda Umno. Ketika itu Anwar sedang mengatur langkah untuk mencabar Suhaimi Kamaruddin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno.
Soberi adalah antara ketua Pemuda bahagian yang memberanikan diri atau dikatakan sebagai menentang arus mengambil sikap mendokong Anwar bersama beberapa Exco lain seperti Tamrin Ghafar, sedangkan sebahagian besar ketua bahagain Umno di Kelantan berpihak kepada Suhaimi. Sayang dan kasihnya kepada Anwar bukan sahaja setakat itu, sewaktu Anwar menerima rawatan sakit belakang di Munich Jerman beliau adalah antara rakyat Malaysia yang datang menziarahi Anwar
Disepanjang penglibatannya dalam politik Umno beliau pernah diberi peluang sekali bertanding dalam pilihan raya bagi DUN Salor, tetapi kalah. Selepas itu beliau tidak diberi lalu namun tetap istiqamah dalam perjuangan Umno sehinggalah beliau bertindak meninggalkan parti itu selepas dirasa dipermainkan.
Sedikit sejarah ringkas pengenalan saya dengan beliau, kami mula berkawan awal tahun 1980-an, ketika kami sama-sama berada dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Pada masa itu beliau sudah aktif dalam pergerakan pemuda Umno dengan menjabat jawatan ketua Pemuda Ketereh dan dilantik menjadi Penyelia Kemas.
Dalam skuad keselamatan parti beliau adalah skuad Pemuda bertindak menjadi pengintip di ceramah Pas untuk dilaporkan kepada pihak atasan bagi diambil tindakan. Semasa bertemu Tokguru Nik Aziz beliau mengakui yang pernah mengintip suatu ceramah Tokguru dan merakamnya kemudian bahan-bahan ceramah itu disampaikan kepada pihak Umno
Sebagai seorang pejuang dan hamba Allah Soberi tidak terkecuali menghadapi ujian hidup daripada Ilahi. Hampir separuh pengenalan saya, diujung usia beliau sering dimpa sakit dengan berbagai-bagai. Bermula dengan pembedahan jantung, mengalami gangren kaki sekembali dari menunaikan umrah. Gangren itu semakin serius sehinggalah membawa kepada pembedahan sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong
Disamping itu beliau juga mengalami kegagalan buah pinggang yang terpaksa menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Sejak sebulan lepas beliau terlantar di hospital sehinggalah membawa kepada pembedahan untuk memotong kaki kiri
Kebetulan sewaktu beliau ditidurkan 25 September saya pula ditahan di ward, untuk beberapa hari hanya mampu komunkasi dari katil hospital dengan isterinya Kak Ani dan anak-anak Renny bertanya khabar. Malam tadi berhajat untuk menziarahi sebaik saya keluar daripada hospital, tetapi bila diberi tahu Soberi akan jalani diliis saya batalkan untuk menjenguknya
Sebahagian rakan dan sahabat menyolati jenazah
Allahyarham.Sebaik Subuh tadi saya menerima panggilan daripada isteri dan whatsaap daripada anaknya mengatakan Soberi dalam keadaan kritikal apabila kadar oksigen dalam badannya merosot. Tanpa berlengah saya ke HKL, melihatnya yang sudah begitu tenat. Sebahagian anak-anak dan keluarga terdekatnya sudah berkerumun di katilnya. Saya sempat mengelus elus kepala sahabat saya beberapa kali sambil membisikkan kalimah mulia di kedua cuping telinganya.
Seluruh kaki Boh Yie sudah dingin dan sejuk. Matanya sudah tertutup rapat. Jam 7:45 pagi Boh Ye berangkat dengan tenang ke sisi Rabbnya. Beliau tutup usia dalam usia 71 tahun, meninggalkan seorang isteri, lima anak, lapan cucu dan seorang cicit. [wm.kl. 7:24 pm 30/09/2025]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2025/09/dia-seorang-sahahat.html