Dia Panjat Saya Saya Peluk Dodoi Dia Gugur Air Mata Ayah Saat Akhir Sebelum Kehilangan Baby Jude
Masuk hari kelapan kehilangan baby Jude Angel, bayi berusia 18 bulan yang hilang di Beafourt, Sabah. Masih belum ada tanda-tanda penemuan bayi comel ini walaupun gerakan mencari dipergiatkan.
Berita Terdahulu: “Dah Masuk Hari Ke-6 Pencarian” Bayi 18 Bulan Hilang Di Sabah, Mohon Doa Semua
Bapa kepada baby Jude, Jeremy Sundang menahan sebak apabila mengenangkan kali terakhir dia bersama anak perempuannya itu.
Petani berusia 39 tahun itu hendak meninggalkan rumah mereka di daerah Beaufort barat daya pada awal pagi Sabtu (9 Julai) untuk bekerja apabila Jude tiba-tiba menangis.
“Dia memanjat seluruh badan saya jadi saya dapati ia agak pelik kerana dia biasanya tidak melakukannya.
“Jadi, saya membedungnya dalam pelukan sebelum mendodoinya perlahan-lahan untuk tidur,” katanya sambil menarik leher bajunya untuk mengesat air mata yang mengalir di mukanya.
“Jika difikirkan kembali, itu mungkin semacam petanda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Saliwangan Baru pada Khamis (14 Julai).
Bagaimanapun, dia enggan berputus asa untuk mencari anak perempuannya walaupun berhadapan dengan tekanan keluarga serta penyelamat pulang dengan tangan kosong walaupun operasi mencari memasuki hari keenam ketika itu.
“Harapan saya masih tinggi…rasa saya dia masih hidup,” katanya.
Jude, anak bongsu daripada tiga beradik, pertama kali dilaporkan hilang kira-kira jam 11 pagi Sabtu (9/7/22) selepas keluarga gagal mengesannya. Mereka sebelum itu mendapati pintu depan rumah mereka terbuka.
Kanak-kanak itu dikhuatiri sama ada terjatuh ke dalam Sungai Padas berhampiran atau sesat di dalam hutan sekitar rumah mereka, yang agak terpencil.
Jeremy berkata dia telah meninggalkan rumah untuk bekerja pada jam 6 pagi dan beberapa jam selepas itu adalah mimpi ngerinya yang paling teruk buatnya kerana kehilangan anak pada jam lebih kurang 11 pagi.
Dia berkata isterinya, juga seorang petani, telah pergi lebih awal untuk menaiki kereta api ke bandar Beaufort, kira-kira 30km jauhnya, untuk menjual hasil mereka di tamu daerah mingguan (pasar tradisional) dan Jeremy sudah menunggu isterinya di sana ketika itu dengan kereta.
“Saya sedang duduk di dalam kereta menunggunya selepas jam 8 pagi, isteri saya tergesa-gesa menyuruh pulang, dia memberitahu saya ‘balik-balik cepat’ (jom pulang cepat).
“Ada orang menghubungi kami, mengatakan Jude telah hilang. Kami segera pulang dan meninggalkan jualan kami,” katanya.
Setibanya di rumah, Jeremy berkata naluri pertamanya ialah mencari melalui kolam kecil yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.
“Saya menyelam beberapa kali di dalam kolam tetapi saya tidak menemui sebarang kesan.
“Dia tidak pernah merayau jauh sebelum ini. Paling jauh dia pergi adalah ke sebuah pondok di sebelah rumah kami,” katanya.
Beliau melahirkan rasa puas hati terhadap semua pihak yang mencari termasuk anggota polis, Bomba, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam serta sukarelawan dan penduduk kampung lain atas usaha mereka.
Ada juga yang menawarkan bantuan dengan “cara ghaib”, katanya, tetapi mereka terpaksa menolak dengan sopan kerana mahu berpegang pada kepercayaan mereka sendiri dalam mencari Jude.
“Ada yang datang dari jauh, cuba menggunakan pengetahuan mereka untuk mencari Jude dan mahu kembali semula selepas gagal mengesannya.
“Tetapi kami terpaksa berkata tidak. Bukan kami tidak mahu bantuan mereka, kami menghormati niat suci mereka dan berterima kasih kepada mereka untuk itu.
“Tetapi selepas bercakap dengan gereja kami, kami lebih suka berpegang pada iman kami. Kami berasa sedih untuk menolak tawaran mereka tetapi mereka juga memohon maaf, mengatakan mereka tidak mahu memaksa ini kepada kami,” kata Jeremy.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
The post “Dia Panjat Saya, Saya Peluk & Dodoi Dia” Gugur Air Mata Ayah, Saat Akhir Sebelum Kehilangan Baby Jude appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/dia-panjat-saya-saya-peluk-dodoi-dia-gugur-air-mata-ayah-saat-akhir-sebelum-kehilangan-baby-jude/