Di Antara Laporan Audit Dan Pendakwaan Di Mahkamah
Nim Hasyudeen
Apabila laporan-laporan Ketua Audit Negara (KAN) dibentangkan di Parlimen, satu negara biasanya kecoh. Ini adalah kerana dapatan yang dilaporkan itu membolehkan rakyat tahu bagaimana wang rakyat digunakan dengan kaedah yang tidak berhemah.
Maka ramailah pengulas-pengulas akan membuat pelbagai ulasan termasuk mahu pendakwaan dibuat ke atas kes-kes yang dianggap telah menyalahi undang-undang dari perspektif pengulas. Walau bagaimana pun, jika kita lihat kembali ke belakang kerana laporan KAN telah dibuat puluhan tahun, tak banyak kes-kes pendakwaan dibuat walaupun laporan-laporan KAN nampak sensasi dan menjadi bahan umpatan.
Mengapa kesemua kes tidak semestinya didakwa? Ada beberapa sebab yang mungkin ramai orang tak faham:
1. Audit itu sendiri bukannya satu siasatan yang menyeluruh. Ianya boleh jadi audit pengurusan yang bertujuan untuk menilai kecekapan pengurusan atau pun audit pematuhan yang bertujuan menilai pematuhan organisasi ke atas peraturan atau piawaian yang berkenaan.
Jadi, walaupun hasilnya sensasi, kerja-kerja audit yang dibuat tidak menyeluruh dan mengumpul bukti yang cukup untuk pendakwaan.
2. Kes-kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti Polis atau pun SPRM kena disiasat terlebih dahulu oleh agensi-agensi berkenaan. Ini adalah kerana mereka kena kumpul bahan bukti yang cukup untuk membuktikan jenayah telah berlaku melangkau keraguan yang munasabah di mahkamah.
Ini bermakna pegawai-pegawai yang menyiasat kena mempunyai kemahiran untuk menyiasat kes-kes yang dirujuk berkenaan.
3. Selepas disiasat oleh agensi penguatkuasa, mereka kena merujuk kes berkenaan kepada Pendakwaraya.
Pendakwaraya kena berpuas hati dengan bahan bukti yang telah dikemukakan kepadanya dan jelas undang-undang mana yang telah dilanggar.
Sekiranya syarat untuk pendakwaan tidak dipenuhi, maka kes berkenaan tidak boleh didakwa ke mahkamah juga.
4. Perkara utama di dalam menentukan pendakwaan ialah kena ada undang-undang yang dilanggar menyebabkan jenayah berlaku.
Anda mungkin pernah dengar berkenaan isu penyata kewangan Tabung Haji yang ada kerugian RM 10 bilion di dalamnya. Namun, Akta 240 berkenaan laporan tahunan dan penyata kewangan sektor awam tidak menjadikan pelanggaran akta berkenaan sebagai jenayah sama seperti dalam Akta Syarikat atau Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan. Sekiranya didapati ada masalah di dalam penyediaan penyata kewangan, pihak agensi penguatkuasa kena cari undang-undang lain yang ada jika mahu membawa kes ni ke mahkamah. Itu bukannya mudah.
Kita juga mungkin pernah mendengar pelbagai hasil audit forensik yang dibuat di sektor swasta. Di dalam audit forensik, tujuannya lebih fokus kepada mengumpulkan bahan bukti bagi tujuan untuk mengesahkan bahan bukti yang cukup untuk menjadi kes. Ada akauntan dan peguam yang mahir yang terlibat.
Walau bagaimana pun, laporan-laporan audit forensik yang lebih terperinci itu pun kena melalui proses di atas juga. Sekiranya dianggap tidak cukup bukti oleh agensi penguatkuasa mahu pun Pendakwaraya, tidak akan ada kes yang akan dibawa ke mahkamah juga.
Satu lagi kaedah yang boleh diambil oleh institusi kerajaan yang mana ada salah laku telah berlaku ialah tindakan sivil di mahkamah. Kes sivil memerlukan tahap pembuktian kes sivil lebih rendah, balance of probability atau imbangan kebarangkalian sahaja. Namun, institusi berkenaan kena tanggung sendiri kos tindakan mahkamah tersebut. Tu pun tak semestinya menang.
Diharapkan penerangan di atas memberi penjelasan kepada pembaca mengapa di sebalik riuh rendah yang wujud selepas laporan KAN dibentangkan di parlimen, tidak semua isu yang dilaporkan tidak akan dibawa ke mahkamah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/07/di-antara-laporan-audit-dan-pendakwaan.html