Detik Cemas Di Pantai Melawi
Hari ini, 24 Feb 2023, ambo (saya) bersama adik beradik (termasuk keluarga masing-masing) berkumpul di Pantai Melawi, Bachok. Kami bertolak dari rumah tidak serentak. Sampai di pantai, adik ambo telah sampai lebih awal. Terus sahaja bawa makanan ke meja yang dia telah pilih awal-awal.
Ketika sedang menyusun makanan, kedengaran suara ‘riuh’ di satu penjuru yang mana mereka mengatakan ada orang lemas dan menunjukkan ke arah laut. Ambo melihat ke laut dan memang ada dua individu yang berada dalam jarak kira-kira 30 meter antara satu sama lain seperti seakan-akan lemas. Ambo lihat ada seorang lelaki yang kemudian berlari menuju ke laut. Dengan niat membantu, ambo sempat tinggalkan telefon bimbit dan beberapa barang lain kepada isteri dan kemudian terus berlari ke arah laut. Belum sampai 50 meter berlari, ambo berhenti sekejap dan kemudian berjalan laju menuju ke laut. Itulah hakikat keadaan ambo sekarang yang tidak boleh melakukan sesuatu secara tergesa-gesa dan menggunakan banyak tenaga. Ambo telah tua. Tenaga tidak segagah dahulu lagi. Hendak melakukan sesuatu perlu berhati-hati. Tidak boleh laju-laju dan menggunakan banyak tenaga. Sebab itu, kita kena tahu keupayaan diri sendiri. Jangan hendak berlagak hero. Buatlah ikut kemampuan dan kawal diri dalam keadaan tenang. Ketika ambo sudah mula berjalan, adik ambo yang tahu sangat tentang keupayaan ambo yang tidak berasa selamat untuk melakukan kerja menyelamat terus berlari ke arah ambo. Sekadar untuk memastikan tidak ada perkara buruk berlaku kepada diri ambo. Ambo berusaha untuk menyelamatkan budak itu kerana berasa ia satu tuntutan tanggungjawab. Membantu sekadar mampu. Tambahan, ambo sejak sekolah lagi menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah. Jadi, tahulah sedikit sebanyak cara-cara menyelamat di air dan bantuan kepada mangsa lemas. Sebelum ini pun ambo pernah menyelamatkan mangsa lemas. Jadi, ambo terus ke tepi laut dan masuk ke bahagian air biarpun pemuda yang berlari awal telah sempat mencapai budak itu dan mendukungnya untuk dibawa ke darat. Ambo melihat keadaan budak itu “selamat” dan tidak perlu tindakan kecemasan. Mungkin dia sebenarnya pandai berenang dan tidak panik, tahu untuk mengawal keadaan diri dalam keadaan terapung dipukul ombak dan membawanya semakin jauh. Seorang lagi yang kelihatan di tengah laut sebenarnya ibu kepada kanak-kanak tersebut. Dia dalam usaha untuk mengejar menyelamatkan anaknya. Namun, disebabkan ombak besar dia sukar untuk bergerak mendapatkan anaknya yang semakin dibawa ombak semakin jauh. Setelah melihat anaknya telah diselamatkan, wanita itu yang seakan-akan telah habis tenaga tidak dapat berjalan menuju ke darat. Pun begitu dia boleh bergerak sendiri setelah keadaan diri semakin stabil dan terus bergerak mendapatkan anaknya. Peristiwa itu ada dua pengajaran. Pertamanya, jangan benarkan anak-anak bermain air laut ketika ombak besar. Atau dalam keadaan tertentu anak perlu dikawal dan dikumpulkan setempat untuk bermain ombak di gigi pantai. Lebih baik hanya bermain pasir di kawasan darat. Pengajaran kedua, dalam apa-apa kecemasan di air, pastikan individu yang ingin menyelamat perlu menyedari keupayaan diri sendiri. Banyak kes individu yang berusaha menyelamat turut menjadi mangsa lemas. Bahkan, ada kes yang mana mangsa lemas pertama dapat diselamatkan, sedangkan individu yang ingin menyelamatkannya pula menjadi korban.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lokmanismail.blogspot.com/2023/02/drf.html