Dengarlah Dari Pihak Yang Lebih Berwibawa
DR SUHAZELI ABDULLAH
MENTERI Kesihatan membuat keputusan untuk memberikan vaksin dos booster dan vaksin terhadap kanak-kanak bukan dibuat berdasarkan fikiran dia sendiri. Tetapi sudah tentu keputusan yang telah pun dikemukakan dan telah pun diputuskan dalam beberapa peringkat mesyuarat sama ada Jawatankuasa teknikal dan Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin mahu pun telah dibincangkan di peringkat Badan Berkuasa Ubat (NPRA).
Mereka bukannya kutip fakta dan laporan picisan daripada individu-individu yang tidak mempunyai kredibiliti langsung dalam pengurusan COVID-19 dalam negara mahupun seluruh dunia. Jauh sekali mereka mengambil kata-kata daripada orang yang bukan ahlinya seperti penceramah bebas atau TikToker yang menuduh pelbagai jenis tuduhan terhadap Kementerian Kesihatan. Tambah-tambah lagi segelintir mereka yang menuduh KKM adalah ejen Dajal bersekongkol dengan konspirasi Yahudi dan banyak lagi.
Adalah tidak pelik jika tersebar surat khas kepada Perdana Menteri dan Pengerusi MKN supaya memberhentikan program vaksinasi dalam negara. Kita kenal individu-individu yang bergabung di bawah gabungan seperti senarai tersebut. Sebahagian dari mereka telah pun diketahui sikapnya terhadap program pengurusan COVID-19 Kebangsaan sejak bermulanya pandemik COVID-19 lagi.
Sejak awal lagi kumpulan yang sama inilah lantang mengatakan bahawa COVID-19 ini tidak wujud (hanya agenda plandemik), COVID-19 itu adalah hanya selesema biasa dan cara merawat COVID-19 hanya boleh menggunakan supplemen. Begitu juga dengan perjuangan mereka untuk memberikan Ivermectin kepada pesakit COVID-19 yang telah pun kita ketahui bahawa Ivermectin tidak disokong dengan bukti kukuh.
Kini mereka muncul lagi dengan memberikan kekeliruan kepada masyarakat atas dasar masyarakat tidak mengetahui dengan lebih jelas berkaitan dengan selok belok ilmu kajian dalam perubatan. Mereka hanya memanipulasi laporan dan mengambil maklumat secara berat sebelah (cherry picking). Mereka hanya mengambil yang memihak kepada kepercayaan yang mereka telah bina sebelum daripada ini – tolak vaksin.
Tidak dinafikan terdapat perbahasan di dalam perawatan COVID-19. Terdapat pro dan kontra yang ahli-ahli dalam perubatan berbahas berkaitan dengan itu. Pakar-pakar berusaha siang malam memikirkan dan menilai bagaimanakah keadaan terbaik untuk menguruskan COVID-19 dalam dunia. Ya mungkin terdapat segelintir kecil doktor yang menentang program vaksinasi dalam setiap negara termasuk dalam negara kita. Bahkan di negara luar pun terdapat segelintir doktor yang juga menentang, tetapi suara mereka adalah suara-suara yang sumbang. Kebanyakan mereka juga tidak diiktiraf dalam negara masing-masing. Jika diteliti balik kumpulan mereka ini, mereka dibayangi dan disokong oleh gerakan anti vaksin.
Di sini kita perlu lihat kredibiliti di dalam sesebuah badan yang mengutarakan pandangan. Jika sekiranya mereka tidak mempunyai kredibiliti langsung dalam merawat COVID-19, hanya pandai menulis di media-media sosial, menghina dan memperburukkan orang lain, merendahkan orang lain, di sini kita boleh melihat sendiri betapa bobroknya sikap mereka.
Boleh lihat satu persatu nama-nama yang telah dipaparkan dalam kumpulan mereka. Terdapat nama di kalangan itu yang tidak pun memperbaharui lesen amalan tahunan perubatan. Maknanya dari sudut etika kedoktoran, mereka itu telah melanggari etika dan undang-undang. Bahkan terdapat di kalangan mereka yang menjual produk-produk kesihatan dan menggunakan rawatan perubatan secara alternatif yang tiada bukti kukuh secara saintifik. Sekali lagi ianya menyalahi Kod Amalan Perubatan.
Artikel ini ditulis bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau individu, tetapi semata-mata ingin memberi kesedaran kepada masyarakat dalam memilih antara kaca atau permata, dalam memilih seurat rambut uban di dalam susu putih sebelanga. Di sinilah masyarakat perlu membuka mata hati, menggunakan neraca ilmu dan disiplin akhlak dalam menilai mana yang terbaik buat diri. Lihat siapakah yang membawa sesuatu berita itu. Apakah motif yang mereka bawa. Apakah dalil yang mereka buktikan itu kuat atau tidak atau sengaja menyeret masyarakat dalam kepercayaan falasi mereka sendiri.
Sedangkan kumpulan yang lebih besar yang mempunyai bukti yang lebih nyata dan jelas, telah pun menyatakan kebenaran mereka. Kerajaan bertindak atas dasar amanah dan tanggungjawab. Ini adalah salah satu daripada maksud syariah yang sebenar. Demi menjaga nyawa, akal dan harta, agar masyarakat tidak terus terbelenggu dengan kemelut wabak yang melanda negara.
Setiap keputusan yang kerajaan berikan adalah setelah musyawwarah bersama pakar-pakar di dalam bidangnya. Sudah pasti mereka terlebih dahulu akan melihat data-data yang terkini, laporan-laporan yang lebih yakin dalam menentukan pengurusan sesuatu wabak.
(*) DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/dengarlah-dari-pihak-yang-lebih.html