Demi Keharmonian Annuar Musa Perlu Ditonjol Jadi Presiden Umno
Di antara pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri, Annuar Musa adalah yang paling ke depan berbanding lain-lainnya dari segi mahukan parti itu terus bekerjasama dengan Pas dan Bersatu bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Hujah Annuar ialah hanya melalui kerjasama tiga parti itu saja yang dapat menjamin kemenangan UMNO serta memungkinkannya terus kekal sebagai kerajaan.
Dalam waktu yang sama, walaupun ketika menjadi pembangkang sebelum ini beliau pernah memuji Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri yang layak dan tidak menolak kemungkinan UMNO perlu bekerjasama dengan DAP serta menyarankan parti tidak terlalu rigid mengenainya, sebaliknya ratib beliau sekarang ini ialah “No Anwar No DAP”.
Pendirian “No Anwar No DAP” itu, disertai kegigihannya bersuara tentang keperluan UMNO, Pas dan Bersatu terus bekerjasama secara tidak langsung bermakna beliau lebih mahukan Muhyiddin Yassin terus kekal sebagai Perdana Menteri dan tidak mana-mana pemimpin UMNO yang menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.
Barangkali juga Annuar dalam hal ini tidak yakin kepimpinan utama UMNO yang ada sekarang layak menjadi Perdana Menteri serta mempunyai kemampuan yang setanding atau melebihi Muhyiddin.
Mengenai perjalanan politik Annuar, selain terkenal dengan lantang dan kepetahan berpidato, beliau juga seorang yang tidak gentar melawan arus.
Ketika sentimen orang Kelantan menyokong Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan Presiden UMNO pada 1987, Annuar memilih jalan menyokong Tun Mahathir Mohamad ketika itu.
Beliau juga lantang dalam mengkritik dan menegur Raja-Raja dalam beberapa isu ketika UMNO bertelagah dengan Istana di era kepimpinan Tun Mahathir Mohamad.
Malah di suatu ketika, beliau dengan beraninya menobatkan Tengku Ibrahim Petra sebagai Sultan Kelantan pilihannya.
Di sebalik wataknya yang lantang dan popular itu, Annuar sebaliknya tidak pernah menang bertanding sebarang jawatan utama dalam UMNO.
Ketika Najib Razak memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan beliau waktu itu baru diangkat sebagai Menteri Belia dan Sukan selepas PRU 1990, namanya pernah disebut-sebut dan ditonjol-tonjolkan untuk bertanding jawatan tersebut.
Bagamanapun, dalam pemilihan UMNO berikutnya iaitu 1993, Annuar tidak bertanding jawatan tersebut di mana akhirnya Rahim Tamby Chik berjaya memenangi jawatan itu dengan menewaskan Isa Samad.
Annuar hanya menyertai pertandingan Ketua Pemuda UMNO pada 1996 di mana dalam pertandingan empat penjuru – Rahim Tamby Chik, Isa Samad, Ahmad Zahid Hamidi dan Annuar sendiri – Ahmad Zahid berjaya muncul pemenangnya.
Selepas itu, Annuar hanya bertanding jawatan MT saja dan baru dalam pemilihan UMNO 2018 baru-baru ini, beliau menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Sekali lagi, beliau tewas kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan.
Ketika tidak berada dalam kabinet, Annuar menerajui bolasepak Kelantan dan berjaya mempopularkan pasukan negeri Pantai Timur itu dengan beberapa kejayaan yang membanggakan.
Dengan itu, meskipun tidak berada dalam kerajaan, namanya terus popular dan menjadi sebutan.
Dalam perkembangan politik semasa, selain pendiriannya yang dilihat pro Bersatu dan mahukan UMNO terus mengekalkan kerjasama dengan Pas dan Bersatu, harus diakui Annuar telah berjaya meraih populariti diri melalui pendirian yang diyakininya.
Selain Bersatu dan Pas yang tentu suka kepadanya, dalam UMNO sendiri tidak kurang ramai yang bersama sealiran pemikiran dengannya.
Kerana pendiriannya itu sehingga beliau dilucutkan sebagai Setiausaha Agung UMNO, itulah sebenarnya yang mendorong wujud sentimen penolakan serta desakan agar Ahmad Zahid berundur sebagai Presiden.
Sebelumnya, Annuar turut dengan beberapa serangan terhadap Ahmad Zahid, termasuk mendedahkan ketulenan surat sokongan Presiden UMNO itu kepada Agong bagi menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Sentimen menolak dan menggesa Presiden UMNO berundur ini bukan dicetuskan oleh Hishammuddin Hussein, bukan oleh Khairy Jamaluddin dan bukan oleh sesiapa yang lain, tetapi oleh Annuar.
Sehingga ini pula, pihak yang dilihat bersama Annuar terus melakukan pelbagai serangan dan tekanan kepada Ahmad Zahid.
Untuk itu, mereka yang ingin menolak dan menjatuhkan Ahmad Zahid, selain meragui kemampuannya, lebih-lebih lagi kerana beban kes mahkamah yang sedang dihadapinya, seharusnya melebar serta meluaskan lagi sentimen tersebut sehingga ke tarikh pemilihan UMNO akan datang.
Dan atas jasanya mencetuskan sentimen itu, Annuar bukan saja tidak harus diketepikan, bahkan lebih sesuai serta lebih layak ditonjolkan bertanding jawatan Presiden UMNO, bukannya Hishammuddin, bukan KJ dan bukan juga Mohamad Hasan.
Bersama jawatan Menteri Wilayah Persekutuan yang menampakkan beliau benar-benar bekerja untuk rakyat, Annuar juga ternampak lebih berfungsi dan dirasai kehadirannya berbanding semua pemimpin UMNO yang lain yang ada jawatan dalam kerajaan.
Lebih penting, dengan Annuar menjadi Presiden, hubungan UMNO, Pas dan Bersatu dalam kerajaan PN dan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, bukan saja aman tenteram dan harmoni, malah tidak lagi tergugat sampai bila-bila.
Meski Annuar tidak pernah menang bertanding sebarang jawatan utama dalam UMNO sebelum ini, mana tahu rezeki jawatan Presiden UMNO memang Tuhan simpan untuknya buat kali ini.
(Shahbudindotcom 26/01/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/01/demi-keharmonian-annuar-musa-perlu.html