Deepavali Suram Bagi Rakyat Malaysia Terkandas Di Luar Negara
 Faye Kwan

Paul  Dinesh bersama isterinya, Gayatri Vangadasalam dan anak perempuannya, Nadelyn Sharvina ketika sambutan Deepavali tahun lalu.PETALING JAYA: Sambutan Deepavali tahun ini suram bagi kebanyakan  warganegara Malaysia yang terkandas di negara lain akibat sekatan  perjalanan bagi membendung penularan Covid-19.
Seorang daripada mereka, Ganandran Rothinam, pengawal keselamatan di Singapura berharap dapat menemui isteri dan 3 anaknya.
Beliau berulang-alik dari rumahnya di Kulai ke Singapura setiap hari  sejak 29 tahun lalu, untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Namun,  sekatan perjalanan menyebabkan beliau tidak dapat pulang ke Johor.
“Saya tidak tahu ia akan berlarutan selama ini. Saya jangka 14 hari  dan berfikir ‘ini bukan masalah, saya boleh tinggal di Singapura’,  tetapi saya berada di sini sejak 18 Mac lalu,” katanya kepada FMT.
Lelaki berumur 58 tahun itu sedih tidak dapat bersatu dengan  keluarganya, tetapi katanya, lebih baik tidak pulang kerana usianya  menjadikan beliau berisiko lebih tinggi dijangkiti.
Beliau berkata, kerja juga penting kerana anak bongsunya masih belajar di universiti dan perlu membayar yuran pengajiannya.
“Saya agak sedih kerana rindu berjumpa anak saya. Semua orang berada  di rumah akibat Covid-19, tetapi saya tidak berada di sana, saya  terkandas di sini.
“Isteri saya menguruskan rumah dengan baik, jadi saya hanya  bertanggungjawab menghantar wang untuk membayar sewa dan makanan. Saya  bekerja di sini untuk mencari wang bagi keluarga saya.”
Deepavali tahun ini, beliau akan bekerja seperti hari biasa.
Katanya, beliau sedang menyimpan cuti tahunannya untuk pulang ke  rumah dan menjalani kuarantin dengan berbaki beberapa hari berehat.
“Berjumpa keluarga saya ialah satu perkara, tetapi saya juga perlu  memperbaharui pasport saya. Perkara lain ialah menyelenggara motosikal  saya dan tidak sabar menghantarkannya ke bengkel kegemaran saya,”  katanya sambil ketawa.
Di Hanoi, Vietnam, Paul Dinesh tidak berjumpa isteri dan anak  perempuannya berumur 5 tahun sejak perintah kawalan pergerakan (PKP)  dilaksanakan 8 bulan lalu.
Dinesh yang bekerja dengan sebuah syarikat pengeluar kereta Vietnam  memberitahu FMT, beliau pulang ke Klang, Selangor dengan pesawat setiap 2  minggu.
“Saya menerima pekerjaan itu kerana hanya 3 jam penerbangan. Saya  akan menaiki pesawat pada Sabtu dan meluangkan hujung minggu dengan  keluarga saya dan kemudian pulang pada pagi Isnin.
“Paling teruk, saya fikir isu Covid-19 akan berakhir akhir tahun ini,  tetapi sekarang nampaknya ia akan berterusan hingga tahun depan.”
Walaupun kes Covid-19 di Vietnam terkawal dengan satu angka kes  harian, Dinesh berkata, syarikatnya melaksanakan larangan perjalanan ke  atas pekerjanya untuk mengelakkan risiko jangkitan.
Katanya, kuarantin wajib 2 minggu apabila tiba di Malaysia dan pulang ke Vietnam menjadikannya sukar pulang ke Malaysia.
Walaupun beliau bersyukur teknologi memudahkannya menghubungi  keluarga pada Deepavali, beliau berkata, ia masih sukar untuknya tidak  meraikan pesta cahaya dengan keluarga tahun ini.
“Kami sentiasa menantikan Deepavali – berkumpul sebagai sebuah  keluarga, bermain bunga api dan bergembira bersama. Saya tidak dapat  berada di sana ketika anak saya membesar dan itu perkara yang saya  terlepas.”
Pun begitu, Paul bercadang bersama rakyat Malaysia lain dan menikmati  makanan India di Kedutaan Malaysia di Hanoi hujung minggu ini.
Beliau berkata, syarikatnya akhirnya membenarkan beliau pulang untuk  memperbaharui pasportnya dan beliau berharap dapat menikmati nasi lemak  dan roti canai kegemarannya tidak lama lagi.
Ganandran dan Paul bukan satu-satunya orang yang kecewa tidak dapat  meraikan Deepavali. Ramai rakyat Malaysia yang berharap dapat bersama  orang tersayang pada Deepavali ini menyuarakan sentimen sama di media  sosial.
Ada yang “kecewa” tidak dapat menikmati kari di rumah terbuka,  manakala yang lain sedih tidak dapat membeli pakaian baru dengan  keluarga tahun ini.
Ada pula yang mempersoalkan makna perayaan tanpa berkumpul dengan  keluarga dan menyifatkannya “Deepavali yang sunyi” bagi mereka.
Ramai yang berharap perintah kawalan pergerakan bersyarat akan  dibatalkan lebih awal supaya mereka boleh pulang ke kampung tidak lama  lagi.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/deepavali-suram-bagi-rakyat-malaysia.html