Dato Sri Ismail Sabri Biodata Pencapaian Kronologi Kes Sprm
Ismail Sabri Yaakob merupakan figura penting dalam landskap politik Malaysia, terutamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021.
Dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan berpengalaman, Ismail Sabri memainkan peranan utama dalam mengemudi Malaysia ketika menghadapi cabaran besar seperti pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi.
Untuk artikel pada kali ini, kami akan membawa anda mengenali dengan lebih rapat dengan sosok individu cukup dikenali ramai, Ismail Sabri.
Baca juga: Lupakan Buffering – Masa untuk Internet Laju dengan Time Fibre Home!
Latar Belakang
NamaDato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Nama PanggilanIsmail Sabri, Dato’ Ismail SabriTarikh Lahir18 Januari 1960Tempat LahirTemerloh, PahangPendidikanSekolah Kebangsaan Bangau (1967)
Sekolah Menengah Air Putih (1973)
Sekolah Menengah Teknik Kuantan (1967)
Jaya Akademik (Tingkatan 6)
Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang (LLB)PekerjaanAhli politikAkaun Media SosialInstagram @ismailsabri60
Facebook @ismailsabri60
TikTok @ismailsabrirasmi
X @IsmailSabri60
Baca juga: Lazada 3.3 Sale 2025 : Mega Brands Sale (Shopping Guide)
Kehidupan Peribadi
Dato’ Sri Ismail Sabri merupakan anak bongsu dalam keluarga. Beliau memiliki enam orang adik beradik dan digelar dengan nama “Paksu” dalam keluarga”.
Ismail Sabri telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Seri Muhaini Zainal Abidin. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan empat orang anak iaitu Nina Sabrina, Gadaffi (Dafi), Nashriq dan Iqbal.

Kredit: Instagram @ninaismailsabri

Kredit: Instagram @ismailsabri60
Kerjaya Politik & Profesional
Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memulakan kerjayanya sebagai peguam pada tahun 1985 ketika berusia 25 tahun. Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh pada 1987 dan seterusnya menjadi Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada 1996.
Pada tahun 1995, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik. Pada tahun yang sama, beliau turut menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tenggara Pahang (DARA) serta Ahli Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
Sebelum menyertai Parlimen pada tahun 2004, Dato’ Sri Ismail Sabri berkhidmat sebagai Pengerusi Kompleks Sukan Negara. Dari segi penglibatan dalam politik, beliau mula aktif dalam UMNO dengan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada 1987. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh. Kredibiliti dan kepimpinannya terus diiktiraf apabila beliau dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian pada 1993, Timbalan Ketua Bahagian pada 2001, dan akhirnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 2004 ketika berusia 44 tahun.
Dalam Pilihan Raya Umum 2004, beliau berjaya dipilih sebagai Ahli Parlimen pertama bagi kawasan baharu Bera. Kejayaannya diteruskan dalam pilihan raya 2008, di mana beliau sekali lagi memenangi kerusi tersebut dan dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam kabinet Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi tempoh 2008-2009.
Pada April 2009, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak, Dato’ Sri Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, jawatan yang disandang sehingga 2013. Selepas mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum 2013, beliau diberikan tanggungjawab baharu sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2013 hingga 2015, sebelum bertukar portfolio menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dari 2015 hingga 2018.
Pada Mac 2020, di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau dilantik sebagai Menteri Kanan Malaysia bagi Kluster Keselamatan serta Menteri Pertahanan. Pada Julai 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, sambil mengekalkan jawatan sebagai Menteri Pertahanan.
Pada 21 Ogos 2021, Dato’ Sri Ismail Sabri telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Pelantikannya dibuat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada 16 Ogos 2021 setelah gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.
Pencapaian & Sumbangan Kepada Negara
Berikut adalah sumbangan Dato’ Sri Ismail Sabri kepada negara:
1. Memperkenalkan Konsep ‘Keluarga Malaysia
Diumumkan pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri.
Bertujuan menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira agama, etnik, dan kaum.
Mempromosikan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
Berpaksikan tiga teras utama – Kemasukan, Kebersamaan, dan Kesyukuran.Disokong oleh 20 nilai untuk memperkukuh kepimpinan negara pasca pandemik Covid-19.
2. Memartabatkan Bahasa Malaysia di Peringkat Antarabangsa
Menekankan kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.
Mencadangkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN bersama Bahasa Inggeris.
Pada 24 September 2022, menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menyampaikan ucapan dalam Bahasa Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
3. Membubarkan Parlimen bagi Memberi Laluan kepada PRU15
Pada 10 Oktober 2022, mengumumkan pembubaran Parlimen untuk membolehkan rakyat memilih kerajaan baharu.
4. Mengekalkan Kerusi Parlimen Bera dalam PRU15
Memperoleh 31,762 undi dengan majoriti 16,695.Memastikan kesinambungan kepimpinannya dalam Parlimen.
5. Peranan dalam Pembentukan Kerajaan Pasca PRU15
Gabungan Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya memenangi 30 kerusi dalam PRU15.
Memandangkan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah, BN menerima pelawaan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ismail Sabri Disiasat SPRM – Kronologi Kes
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Berikut adalah kronologi kes:
11 Disember 2024: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Ismail Sabri untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
10 Februari 2025: Ismail Sabri secara rasmi mengemukakan pengisytiharan harta kepada SPRM.
19 Februari 2025: Beliau hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
21 Februari 2025: Empat pegawai kanan yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Ismail Sabri ditahan oleh SPRM berkaitan siasatan rasuah melibatkan kontrak promosi konsep “Keluarga Malaysia”.
10 Februari 2025: SPRM menjalankan penggeledahan di sebuah kondominium dan tiga lokasi lain, menemui wang tunai bernilai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai RM7 juta.
3 Mac 2025: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Ismail Sabri adalah suspek dalam kes ini dan akan dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut pada 5 Mac 2025 (Rabu), bergantung kepada tahap kesihatan beliau. Beliau juga menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional dan bebas, tanpa arahan daripada mana-mana pihak atau motif politik.
Siasatan ini tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara, dengan nilai projek dianggarkan sekitar RM700 juta.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta. Akaun milik Ismail Sabri belum dibekukan, dan siasatan terhadap akaun tersebut sedang dijalankan.
SPRM menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
Kredit: Berita Harian
KENYATAAN MEDIA : SIASATAN SPRM BERKAITAN DENGAN BEKAS PERDANA MENTERI DATO’ SRI ISMAIL SABRI
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara. Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Sehubungan dengan itu, bekas Perdana Menteri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024. Pengisytiharan harta tersebut telah dibuat secara rasmi pada 10 Februari 2025.
Berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, SPRM telah menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah bekas Perdana Menteri tersebut. Susulan daripada siasatan lanjut terhadap keempat-empat individu berkenaan, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai “safehouse”.
Hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Untuk makluman, Dato’ Sri Ismail Sabri telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari 2025. SPRM tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa. SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
2 MAC 2025

Sumber: Facebook Rasmi SPRM
Kredit: Youtube KiniTV
Fakta Menarik Tetang Ismail Sabri
Tempoh perkhidmatan Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selama 15 bulan dan sebagai Timbalan Perdana Menteri selama 40 hari merupakan yang paling singkat jika dibandingkan dengan semua mantan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Beliau memiliki lebih 20 ekor kucing hasil dari usahanya yang suka menyelamatkan kucing jalanan untuk dipelihara di rumah.
Sudah mengenali isterinya sejak masih berusia 19 tahun lagi.
Beliau merupakan satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang bukan dari parti utama dalam kerajaan campuran tetapi hanya seorang Naib Presiden UMNO ketika dilantik.
Sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia dari Mac 2019 hingga Februari 2020.
Berbanding pemimpin lain seperti Anwar Ibrahim dan Najib Razak yang sering mencuri perhatian, Ismail Sabri lebih dikenali sebagai pemimpin berprofil rendah sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri.
Anaknya, Dafi (nama sebenar Gaddafi Ismail Sabri), adalah seorang penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-5.
Seorang lagi anaknya, Nina Sabrina, merupakan pengasas jenama fesyen terkenal “Sasha Rowena”.
Beliau adalah antara pemimpin Malaysia yang aktif menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk berkomunikasi dengan rakyat.
Kesimpulannya, Ismail Sabri adalah tokoh politik yang menarik dengan pelbagai pencapaian dan kontroversi. Kini, beliau berdepan dengan siasatan SPRM berkaitan isu rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang menjadi perhatian rakyat Malaysia.
Sumber:
SPRM Pamer Wang Tunai RM170 juta Emas Dirampas Daripada Bekas Pegawai Kanan Ismail Sabri. Berita Harian
Perdana Leadership Foundation Yayasan Kepimpinan Perdana. Ismail Sabri
Facebook Rasmi SPRM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/ismail-sabri/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=ismail-sabri