Data Dalam Padu Telah Lama Wujud Kerajaan Mahu Kemaskini
Pihak tidak bertanggungjawab yang memesongkan fakta mengenai Pangkalan Data Utama (PADU) dan berkempen menolak untuk mendaftar telah memperbodohkan rakyat.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mereka yang mendakwa PADU tidak selamat dan data berisiko untuk bocor sebenarnya tidak tahu bahawa data mereka telah pun wujud di pelbagai jabatan kerajaan, dan telah pun dimasukkan ke dalam PADU.
Cuma, kata Rafizi, kerajaan melalui PADU mahukan data yang dikemaskini untuk mengenalpasti rakyat yang layak mendapat bantuan, dan keadaan semasa kehidupan mereka seperti alamat terbaharu atau sebagainya.
“Memang kamu dah bagi pun (data). Cuma untuk membantu kita, bila kita nak beri bantuan bersasar itu nanti, kita beri menyeluruh dan lebih mudah dilaksanakan.
“Kita perlukan data dikemaskini. Kalau dulu alamat di Kelantan di Kad Pengenalan tetapi kini duduk di Putrajaya. Sebab itu kita perlu kemaskini
“Saya tak nak bagi data kepada kerajaan kerana nanti akan hilang. Kita (tidak sedar telah) beri data semasa main game, masa tengok FB, bagi kat google, bank segala. Saya pun orang IT dan faham data ini
“Tetapi dalam kita nak jaga data kita, jangan sampai orang yang sepatutnya dapat bantuan dia (dihasut) tidak mendaftar pula,” katanya dalam sesi townhall di Selangor, petang tadi.
Mengenai persoalan sama ada sistem PADU selamat atau tidak, kata Rafzi, sistem tersebut telah pun melepasi piawaian antarabangsa dari segi pengoperasian dan keselamatan.
Katanya, terdapat pertanyaan yang pelbagai sehingga ke tahap terperinci berkenaan sistem berkenaan untuk menunjukkan kelemahan sistem tersebut.
Bagaimanapun, katanya, tidak mungkin kerajaan memberikan semua maklumat kerana hal itu akan mendedahkan keselamatan PADU.
“Sebab itu tengok rekod kebocoran. Dari dilancarkan 2 Januari lalu hingga 23 Mac memang ada percubaan pecah masuk.
“Ada guna DDOS, ada cuba akses dari Amerika Syarikat, cubaan banyak tetapi sampai sekarang masih lagi kekal selamat.
“Bila kita bercakap kebocoran data, saya faham kebimbangan itu kerana ada kebocoran sebelum ini. Tetapi kalau yang bocor itu dari syarikat telekomunikasi jangan kerajaan pula dimarah,” katanya.
Tambah Rafizi, sistem PADU dibuat berlapis lapis supaya tidak boleh dipecah masuk. Sebab itu pengguna sistem, katanya, perlu mengisi pelbagai data dan tidak boleh akses data yang telah wujud misalnya di jabatan percukaian dan menyetujuinya sekiranya tiada perubahan semasa.
The post ‘Data dalam PADU telah lama wujud, kerajaan mahu kemaskini’ first appeared on Suara Pakatan Daily.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/37071?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=data-dalam-padu-telah-lama-wujud-kerajaan-mahu-kemaskini