Dakwaan Muhyiddin Tidak Ambil Vaksin Tunai Umrah Tidak Benar
Oleh Afiq Mohd. Shah
Muhyiddin dan isteri dibenarkan memasuki Kaabah semasa mengerjakan umrah pada Mac tahun lalu. - Foto Pejabat Perdana Menteri DAKWAAN seorang penceramah bebas bahawa Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengambil suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis semasa mengerjakan ibadah umrah adalah tidak benar.
Pegawai Khas Muhyiddin, Mohd. Naaim Mahmod dalam kenyataan memaklumkan, Muhyiddin dan semua delegasi telah pun menerima suntikan dos pertama COVID-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi pada bulan Mac 2021.
Menurut beliau, Muhyiddin kemudiannya menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air.
Mohd. Naaim memaklumkan vaksin Meningococcal Meningitis pula tidak diwajibkan.
“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook Muhyiddin, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Naaim memberitahu, lawatan kerja tasmi Muhyddin sebagai Perdana Menteri Kelapan ke Arab Saudi itu diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi.
Katanya, lawatan kerja itu juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan.
“Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif COVID-19.
“Pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi dalam suatu gelembung perjalanan yang telah ditetapkan,” jelas beliau.
Kelmarin, seorang penceramah bebas kontroversi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya menyiasat Muhyiddin dan rombongan.
Penceramah itu mendakwa Muhyiddin dan rombongannya telah mengerjakan ibadah umrah tanpa mengambil vaksin.
Sebelum ini, penceramah berkenaan pernah mencetuskan kontroversi apabila mengakui tidak mengambil vaksin dan membawa jemaah yang juga tidak menerima vaksin menunaikan ibadah tersebut.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/dakwaan-muhyiddin-tidak-ambil-vaksin.html