Cukuplah Kekayaan Seputar Elit
Kuala Lumpur: Sudah cukup peluang ekonomi dan penciptaan kekayaan dikaut golongan elit, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, golongan itu hanya mempersia-siakan peluang yang diberi apabila mereka terbabit dengan kesalahan tadbir urus, mencuri dan terpalit dengan amalan rasuah yang memalukan.
Loading...
Oleh itu, beliau menegaskan, prinsip keadilan menuntut untuk ditetapkan batasan bahawa kita sepatutnya mengelak lebihan selain memastikan pembabitan semua golongan dalam mencipta perusahaan dan kekayaan.
"Malaysia mencapai perubahan demokratik melalui kotak undi yang sekali gus membolehkan kami melaksanakan pilihan untuk golongan miskin. Kami berdiri atas prinsip kesejahteraan dan martabat manusia sebagai nilai paling asas.
“Perubahan penting ini bermakna, ia adalah keperluan buat mereka yang sememangnya memerlukan yang akan menentukan pembahagian bantuan kerajaan, hak dan tindakan afirmatif.
“Cukuplah kita menyalurkan peluang ekonomi dan penciptaan kekayaan dengan bersandarkan kepada golongan elit yang disia-siakan dengan salah urus, kecurian melalui amalan rasuah,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Bosphorus kesembilan bertemakan Melestarikan Keamanan dan Pembangunan Untuk Semua di Istanbul, Turki semalam.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai golongan muda yang perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran.
Katanya, ia supaya golongan itu menjadi insan yang produktif, kreatif serta berwawasan supaya tidak ‘tenggelam’ dalam letusan era teknologi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sebagai usaha untuk memastikan ‘nilai’ anak muda sentiasa dipercayai, bidang pendidikan mampu menjadi nilai mampan yang berterusan untuk memperkasa golongan itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, anak muda mesti menyesuaikan diri dengan alatan yang muncul dalam era sekarang supaya pemikiran mereka turut sama berkembang seiring peredaran zaman.
“Pendidikan adalah satu lagi nilai mampan yang berterus. Jadi, kita perlu menyesuaikan diri dengan dunia digital pada masa hadapan.
“Kita juga mesti bersedia dengan kebangkitan dan kemampuan kecerdasan buatan (AI) yang mampu memenuhi cabaran dengan kesedaran kritikal mengenai manfaat dan potensi kegagalan,” katanya.
-metro online
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.malaysianupdate.com/2018/11/cukuplah-kekayaan-seputar-elit.html