Covid19 Cegah Penularan Melalui Vaksin Dituntut Agama
BH ONLINE
Pengambilan vaksin adalah penting dan satu langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama, bagi menghalang penularan penyakit atau wabak seperti COVID-19 yang boleh menjejaskan populasi manusia. FOTO/AFP KUALA LUMPUR: Pengambilan vaksin adalah penting dan satu langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama, bagi menghalang penularan penyakit atau wabak seperti COVID-19 yang boleh menjejaskan populasi manusia.
Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah, berkata pandemik COVID-19 berisiko tinggi untuk membawa mudarat kepada orang Islam, justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan orang lain.
"Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus supaya pengambilan vaksin (bila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang. Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa ia adalah keperluan, dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.
"Kalau pengambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti COVID-19. Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan itu dituntut dalam agama," katanya kepada BERNAMA.
Disyorkan Untuk Anda Korban 3 penyakit pembunuh boleh bertambah ratusan ribu - KajianCOVID-19 jadi iktibar, pengawasan jangka panjangMalaysia perkenal sijil halal vaksin tahun depanWHO kumpul pakar antarabangsa cari punca zoonotik COVID-19 Mengulas lanjut, Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu daripada bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.
"Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha untuk mencipta vaksin 100 peratus daripada bahan atau sumber yang halal, supaya ia tidak lagi menjadi perdebatan. Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.
"Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin," katanya.
Jelasnya, penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.
Dalam pada itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Datuk R S Mohan Shan, berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan, kerana ia adalah amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.
"Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik adalah mereka yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak pentingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara dari diri sendiri.
"Janganlah mati sia-sia disebabkan COVID-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik," katanya.
Presiden, Persatuan Dhammaduta Malaysia (BMSM) Sister Loh Pai Ling, berkata menurut Buddha, amalan berbuat baik dan elakkan kejahatan itu penting, termasuk pengambilan vaksin yang mana ia memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat.
Jelasnya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik COVID-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk diduduki.
"Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.
"Bagaimanapun, mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa juga alasan ), mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP), baik untuk diri mereka sendiri dan komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka," tegasnya.
Bagi Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh, dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk memelihara diri daripada ancaman COVID-19.
"Adalah penting juga bagi masyarakat ambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan, serta keselamatan masyarakat. Jika kita tidak mahu mengambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga," tambahnya. – BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/covid19-cegah-penularan-melalui-vaksin.html