Covid19 Airbnb Bantu Barisan Hadapan Dengan Menyediakan Penginapan Percuma
Berikutan pengumuman terbaru Airbnb mengenai pelancaran inisiatif global Frontline Stays, mereka kini membuat persediaan untuk membantu barisan hadapan Covid-19 di Malaysia dengan menawarkan penginapan yang selamat dan selesa.
Penginapan ini akan diberikan kepada 100,000 petugas profesional penjagaan kesihatan, pekerja bantuan, dan pekerja perubatan di seluruh dunia.
Dengan kerjasama antara Airbnb dan hos Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), program ini dijangka akan mula dilancarkan pada bulan April ini.
Airbnb juga berkemungkinan akan bekerjasama dengan masyarakat awam tempatan dan organisasi bukan untung lain untuk turut serta dalam menyokong inisiatif ini.
Memperkenalkan program global yang didorong oleh rakan kongsi tempatan
Selepas pelancaran global Frontline Stays, komuniti hos Airbnb menawarkan 100,000 tempat penginapan untuk responden pandemik Covid-19. Melalui program ini, kakitangan barisan hadapan boleh menempah penginapan percuma dan berbayar di 160 negara dan rantau.
Frontline Stays juga telah dikembangkan supaya pekerja individu perubatan boleh menempah terus di platform Airbnb. Ini membolehkan hos membantu lebih ramai orang yang memerlukan tempat penginapan secara serta-merta.
Airbnb akan terus mengetepikan semua yuran untuk 100,000 penginapan pertama yang ditempah melalui program ini. Hos juga boleh memilih untuk menyertai program ini dan mempunyai pilihan untuk membuka kediaman mereka secara percuma melalui platform Open Homes Airbnb.
Menurut Mich Goh, Ketua Dasar Awam (Asia Tenggara) Airbnb, komuniti Airbnb mempunyai sejarah yang panjang dalam menyediakan penginapan untuk mereka yang memerlukan apabila perkara yang paling teruk berlaku.
“Di tengah-tengah pandemik global ini, kami di Airbnb tahu bahawa pekerja perubatan berada di barisan hadapan untuk menyelamatkan nyawa dan kami komited untuk bekerjasama dengan komuniti kami untuk melakukan apa sahaja yang boleh untuk menyokong mereka,” katanya.
Tambah Mich lagi, mereka telah mendapat ilham oleh kemurahan hati hos Malaysia dan organisasi bukan untung yang telah menghubungi mereka untuk mencari jalan untuk menyokong barisan hadapan Covid-19.
Malah, dalam masa yang sama juga, mereka gembira dapat bekerjasama dengan KKM untuk menyediakan penginapan secara kolektif kepada wira tempatan yang meletakkan diri mereka dalam risiko untuk semua pada setiap hari.
Mendukung komitmen terhadap kesihatan dan keselamatan
Penginapan untuk pekerja bantuan dan perubatan yang lebih terdedah kepada Covid-19 memerlukan amalan pencegahan yang mantap dan standard keselamatan yang ketat.
Justeru, Airbnb memandang serius tentang kesihatan dan keselamatan komunitinya dan telah bekerjasama dengan pakar dan pegawai terkemuka untuk membangunkan protokol untuk hos yang menyokong usaha kesihatan kolektif ini.
Protokol ini juga akan dikemas kini semula dengan menggabungkan syarat baharu daripada pihak berkuasa tempatan dan nasional serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Antaranya ialah:
Meningkatkan tahap kebersihan
Penjarakkan sosial dengan tetamu
Memperuntukkan 72 jam antara penginapan.
Menyokong barisan hadapan
Untuk menyediakan lebih banyak penginapan untuk pekerja bantuan, Airbnb juga telah melancarkan alat sumbangan. Daripada hasil kutipan tersebut, 100 peratus akan disalurkan terus kepada organisasi bukan untung yang membantu dalam usaha bantuan Covid-19.
Untuk menderma, anda boleh layari https://www.airbnb.com/openhomes/covid19relief?donate.
Hospital dan organisasi juga boleh menggunakan Airbnb untuk mencari penginapan bagi petugas profesional penjagaan kesihatan, pekerja bantuan, dan pekerja perubatan di barisan hadapan Covid-19.
Sumber Gambar: Airbnb
Baca juga: #Covid19: Sektor Ekonomi Ini Dibenarkan Kerajaan Untuk Beropersi
The post #Covid19: Airbnb Bantu Barisan Hadapan Dengan Menyediakan Penginapan Percuma appeared first on Her Inspirasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://herinspirasi.com/gaya-hidup/covid19-airbnb-bantu-barisan-hadapan-dengan-menyediakan-penginapan-secara-percuma/