Covid 19 Pandang Serius Isu Kesihatan Pegawai Imigresen Di Depoh Tahanan
MALAYSIAKINI
Pihak berwajib diharap dapat mewujudkan satu klinik medan di depoh imigresen yang terkesan dengan kes Covid-19 untuk dijadikan rujukan serta nasihat keselamatan dan kesihatan oleh pegawai Imigresen.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Norhisham Murujan dalam satu kenyataan berkata selain itu, penyediaan peralatan keselamatan penyahjangkit dan juga pembekalan peralatan perlindungan diri (PPE) perlu dipastikan mencukupi untuk kegunaan pegawai yang bertugas.
"KPISM sentiasa memandang serius keselamatan dan kesihatan pegawai Imigresen yang bertugas di seluruh negara termasuk depot.
“KPISM juga sentiasa menekankan kesiapsiagaan ahlinya yang merupakan warga kerja Jabatan Imigresen di segenap lapisan bagi memartabatkan pertanggungjawaban yang diberikan serta dilaksanakan secara terbaik dengan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata KPISM, yang mewakili 14,000 pegawai Imigresen di seluruh negara, berpuas hati dengan langkah yang dilaksanakan oleh jabatan itu dalam memastikan pegawai yang bertugas di Depoh Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA (Sepang) diberi perhatian utama dari segi penyediaan prosedur operasi standard (SOP), keselamatan dan kebajikan pegawai.
"Depoh tersebut yang telah disahkan terdapat kluster jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan turut dibantu oleh pegawai Imigresen dari ibu pejabat dan negeri memandangkan pegawai yang bertugas di depot tersebut turut dikuarantin selama 14 hari," katanya.
Selain itu, Norhisham berkata KPISM juga merasakan adalah tidak adil dengan pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan operasi Jabatan Imigresen yang menjalankan tugas, tanggungjawab dan amanahnya untuk membanteras pendatang haram di negara ini mengikut lunas undang-undang dan peraturan di beberapa kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Lambakan pendatang haram di kawasan tersebut sudah tentunya memberi pelbagai kesan keselamatan apabila lambakan mereka yang tidak dikawal yang mengakibatkan mereka berada di dalam komuniti tempatan selepas tamat PKPD seterusnya mengancam keselamatan masyarakat dan kestabilan negara ini.
“Tindakan Jabatan Imigresen adalah demi menjaga kedaulatan dan keselamatan rakyat dan negara ini dari sebarang ancaman," katanya.
Beliau berkata pertanggungjawaban mendaulatkan keselamatan dan kesejahteraan negara akan terus dipikul dan dilaksanakan oleh pegawai di Jabatan Imigresen bagi menentukan negara berdaulat serta mempastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan terjamin.
"KPISM menyokong usaha yang dilaksanakan jabatan terutama melibatkan penyediaan SOP serta langkah kebajikan dan keselamatan warganya semasa menjalankan tugas. Selain itu, KPISM menyokong usaha Jabatan Imigresen membanteras pendatang haram di negara ini diteruskan tanpa kompromi," katanya.- Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/covid-19-pandang-serius-isu-kesihatan.html