Covid 10 Hanya Empat Kes Import Tiada Kes Warga Tempatan Kkm
Kumara Sabapatty                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Ketua  Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap  pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian  Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI             PUTRAJAYA – Sebanyak empat kes baharu Covid-19 direkodkan  sehingga pukul 12 tengahari yang mana kesemuanya adalah kes import  manakala terdapat empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari  ini.
Berikutan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu ialah 83 kes.
Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan discaj  daripada wad adalah sebanyak 8,524 kes (97.7 peratus daripada jumlah  keseluruhan kes) dan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah  sebanyak 8,729 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah  berkata, empat kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah kes import  yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga  warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara.
“Sehingga kini, terdapat enam kes positif Covid-19 yang sedang  dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan  pernafasan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan malaysia  di sini hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham,  tiada pertambahan kes kematian berkaitan  Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal 122  kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat dua lagi kes positif  Covid-19 yang telah dikesan dalam kluster pesakit di bawah pemantauan  (PUI) Novgorod.
Tambah beliau , satu kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8673) yang telah dikesan hasil siasatan lanjut.
“Satu lagi kes pula adalah kes baharu yang telah dilaporkan hari ini (iaitu kes import dari Rusia – kes ke-8727).
“Beliau tiba di Malaysia pada 13 Julai 2020 dan dikesan positif  semasa ujian RTK-Antigen di pintu masuk antarabangsa dan kemudiannya  telah diasingkan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
“Hasilnya didapati, beliau juga merupakan kontak rapat kes ke-8673  dan kes ke-8718 di Novgorod, Rusia,” katanya sambil menambah sehingga  jam 12 tengah hari iadi, sebanyak 22 orang telah disaring termasuk lima  kes positif dalam kluster ini.
Ujar Noor Hisham, semua 17 orang kontak rapat setakat ini telah  disampel dan dikesan negatif Covid-19 dan daripada jumlah itu, 13 orang  telah dikenalpasti dari pesawat yang dinaiki dan empat orang ahli  keluarga kepada kes ke-8718 dan kes ke-8724.
“Arahan aktiviti nyah kuman dan pembersihan kapal terbang telah  dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabansga Kuala  Lumpur (KLIA) kepada syarikat penerbangan kapal terbang pada 13 Julai  2020.
“Anak-anak kapal yang berurusan dengan kes positif juga dimaklumkan  supaya menjalani saringan kesihatan dan punca jangkitan kluster ini  adalah masih dalam siasatan,” katanya.-MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/covid-10-hanya-empat-kes-import-tiada.html