Cipta Lesung Pipit Buatan Supaya Tampak Lebih Cantik Mufti Wp Perjelas Hukumnya
Mempunyai lesung pipit diwajah menampakkan seseorang itu terlihat manis. Namun, ada juga yang melakukan prosedur kecantikan untuk membuat lesung pipit palsu. Sejak kebelakangan ini, lesung pipit palsu memang menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat tidak kira lelaki mahupun perempuan.
Namun, masih ada yang keliru mengenai hukum jika seseorang itu membuat lesung pipit palsu pada wajahnya bertujuan untuk terlihat menawan. Ikuti penulisan dibawah untuk pencerahan.
SOALAN:
Apakah hukum lesung pipit buatan? Mohon pencerahan S.S Mufti, Terima kasih
Ringkasan Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahupun pembedahan adalah haram. Lesung pipit yang dibuat semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang kerana ia mengubah ciptaan Allah yang jelas bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).
Huraian Jawapan :
Lesung pipit ialah lekukan kecil semulajadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum. Sementara lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua [1]
Menurut kajian, mereka yang memiliki lesung pipit dikatakan mempunyai kecacatan otot yang sangat menawan selain menjadi tarikan penyeri wajah ketika tersenyum. [2] Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat mereka yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty) ataupun tindik untuk mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu. Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty) ialah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku[3]. Walaubagaimanpun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.
Pada asalnya, pembedahan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak. Ini berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya : Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”.
Riwayat Muslim 2125
Ancaman laknat “ لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya ( Lihat Fath al-Bari 10/377) . Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah
وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم
Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada pengharaman. Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata. Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syah Sahih Muslim,14/107). Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.
Konklusinya, berdasarkan nas yang dibentangkan, kami menyatakan bahawa mencipta lesung pipit melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan adalah haram. Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan di pipi dilarang kerana mengubahsuai ciptaanNya serta terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli. Bahkan, pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi bahaya seperti merosakkan otot pipi. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).
Akhir kalam, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya.
Sumber: Mufti WP
The post Cipta Lesung Pipit Buatan Supaya Tampak Lebih Cantik, Mufti WP Perjelas Hukumnya appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/07/23/cipta-lesung-pipit-buatan-supaya-tampak-lebih-cantik-mufti-wp-perjelas-hukumnya/