Cikgu Sapu Duit Pibg Sekolah
Cikgu sapu duit PIBG sekolah| Sebenarnya kisah cikgu guna duit PIBG sekolah untuk bercuti ini telah berlalu beberapa minggu lalu. Cuma saya baru sempat untuk membuat ulasan berkenaan perkara ini. Maklumlah kuota internet sudah maksimum minggu lalu, bertabah sahaja sementara ada bajet lebihan untuk menukar plan internet yang baharu.
Satu kisah lalu, apabila saya bersama rakan-rakan menyertai aktiviti sukan bola sepak, cikgu telah belanja kami makan. Apabila sudah bekerja, saya tahu cikgu tidak akan dapat tuntut semula duit tersebut. Banyak lagi episod cikgu belanja makan apabila kami menyertai aktiviti luar. Tentunya semua itu tidak dibenarkan untuk dituntut semula
Apabila terlibat dalam pengurusan seumpama PIBG Sekolah, saya tahu cikgu selalu terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan menggunakan duit sendiri bagi menyokong keperluan sistem pendidikan dalam negara ini. Walau tidak banyak, entah ibu bapa tahu atau tidak. Oleh itu, tidak elok bercakap pada perkara yang bukan dalam penguasaan pengetahuan kita. Mudarat kesannya
Hakikatnya, cikgu kerap kali terperangkap semasa menjalankan tugas mendidik dan naluri insan mereka sendiri. Hendak diabaikan murid yang satu, kasihan pula. Mahu atau tidak, terpaksa membantu agar semua anak didiknya menerima ilmu pada kadar sama rata. Tiada pilih kasih. Kamu beradab, cikgu sayang, kamu biadap cikgu makan hati. Hendak dihukum, ibu bapa menyerang. Tidak dihukum, musnah masa hadapan. Bukan senang mahu menjadi cikgu sedang kita juga kerap gagal mendidik anak sendiri
Tugas mendidik sangat mulia. Daripada kita tidak tahu membaca hingga menggengam segulung ijazah, cikgu tetap akan berada dikedudukannya sehingga bersara. Ilmu yang telah dicurahkan akan berpindah dari satu otak ke satu otak yang lain sehingga kiamat. Jika baik ilmu yang disampaikan, maka berlipat gandalah ganjaran kebaikannya. Manfaat yang diterima anak didik seorang cikgu sangat terulung. Apakah wajar ibu bapa mempertikai bagaimana seorang guru memanjakan diri sendiri dengan hadir pada jamuan yang dibiayai sendiri
Jangan berkira dengan nilai sumbangan pada jalan ilmu. Sumbangan ibu bapa kepada sekolah adalah sumbangan ibu bapa pada anaknya sendiri. Ibu bapa mungkin sukar untuk mencurahkan ilmu pada anak sendiri, tetapi cikgu boleh. Jika tidak percaya pada cikgu, didiklah anak sendiri dan daftarkan untuk menduduki peperiksaan sahaja. Boleh
Nilai hormat ibu bapa kepada cikgu perlu dipertingkatkan lagi. Berhubung rapat dengan cikgu untuk mengikuti perkembangan anak-anak di sekolah. Anak kita, bila di rumah perangainya lain, semasa di sekolah perangainya lain. Jangan tidak tahu. Betapa sukarnya daya cikgu untuk mendidik, hanya mereka sahaja yang mampu menahan beban. Salah cara mendidik tentu ke balai polis, bagus didikannya hanya ucapan terima kasih diterima oleh mereka. Tiada pula ibu bapa menghadiahkan seunit banglo kepada cikgu-cikgu yang telah berjaya membantu anak didiknya berjaya dalam peperiksaan. Mana datangnya untung selain daripada gaji yang diterima oleh cikgu? Bagaimana pula kerugian yang ditanggung oleh cikgu apabila membeli dengan duit sendiri perkakasan bantu mengajar demi anak bangsa
Saya bukan seorang cikgu tetapi saya sangat menimbang untuk memahami tugas cikgu di sekolah. Apatah lagi saya tidak dibayar untuk memuji cikgu pada entri kali ini. Tetapi saya sangat sedih apabila peranan cikgu diperlekehkan oleh segelintir ibu bapa pada masa kini. Benar cikgu telah dibayar gaji dengan duit cukai yang dikutip daripada rakyat di negara ini tetapi itu bukan alasan cikgu layak dijadikan hamba kerana cikgu sebenarnya mendidik seseorang yang mampu membayar cukai pada masa hadapan. Baca juga Jangan sampai macam tu cikgu! Wallahualam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.bilalelakiberbicara.com/2017/12/cikgu-sapu-duit-pibg-sekolah.html