Child S Play Chucky Versi Hodoh Secara Semulajadi
Child’s Play – 1988.
Child’s Play yang difilemkan pada tahun 1988 mempunyai jalan cerita yang sesuai dengan zamannya. Kenapa saya kata begitu? Kerana anak patung ‘berhantu’ tersebut telah dihantui oleh roh Charles Lee Ray, pembunuh bersiri yang hampir mati akibat ditembak.
Kemudian hadirnya filem remake tahun 2019 ini, ia juga difilemkan dengan jalan cerita yang sesuai dengan zamannya.
Buddi, anak patung buatan syarikat Kaslan Corporation itu asal-usulnya tidaklah ‘berhantu’ dek kerana dirasuk roh pembunuh bersiri.
Sebaliknya ia ‘hidup’ dengan kepintaran buatan yang berhubung dengan kesemua produk-produk Kaslan.
Pada asalnya ia sama sahaja dengan patung lain, iaitu tidak berbahaya dan menghiburkan. Tetapi akibat perbuatan seorang pekerja di kilang yang berdendam dengan orang atasannya, semua protokol keselamatan pada Buddi telah dibuang.
Di sinilah lahirnya Chucky, patung yang tidak lagi mengikut arahan/peraturan keselamatan untuk manusia dan akan menggunakan bahasa kesat sesuka hati.
Child’s Play – 2019.
Apa Yang Menarik?
Kalau anda tanya saya, selaku anak tahun 80an, Child’s Play remake/reboot ini adalah lebih menakutkan dan juga lebih mengerikan, berbanding filem yang asal.
Ia jadi ‘menakutkan’ bukan kerana patung tersebut punyai roh jahat, tetapi kerana ia tidak ada roh-lah yang menjadikan ia lebih tidak dapat dijangka. Kepintaran buatan hanya akan mengikut kepada apa yang telah dikodkan kepadanya.
Proses pembelajaran mesin atau machine learning pula akan berlaku dari semasa ke semasa. Anda boleh bayangkan sendiri jika protokol keselamatan dibuang, dan ia belajar pula ‘keseronokan’ dengan cara yang salah, sudah tentulah segala yang dilakukan adalah membahayakan pemilik dan orang di sekitarnya.
Cara Chucky membunuh mangsa-mangsanya juga jauh lebih ngeri. Saya tidak mahu menyatakan caranya, kerana ia akan jadi spoiler. Kasihan kepada anda yang belum menonton. Cukup sekadar saya nyatakan ia sama ngeri dengan kematian dalam filem-filem Final Destination dan Saw.
Suara Mark Hamill adalah sangat ikonik. Pada saya Mark adalah pengganti Brad Dourif yang tidak dapat disangkal lagi. Intonasi suaranya memberikan mood baru kepada filem ini, sekaligus membuatkan ia lebih dapat diingati.
Secara keseluruhannya Child’s Play 2019 telah membuatkan saya selaku ‘generasi hibrid’ berasa amat berpuas hati. Chucky dalam filem remake ini tidak akan ‘mati’ secara pasti, kerana ia tidak ada sebarang roh hidup. Apa yang ada hanyalah ‘kod-kod’ yang akan terus belajar, dan dalam kes Chucky ini semestinya belajar perkara-perkara yang buruk.
Apabila ia akan ‘dibunuh’, dengan mudah ia dapat berpindah kepada produk-produk Kaslan yang lain. Ini bererti, mana-mana patung Buddi terutamanya Buddi 2 iaitu versi baharu akan dapat ‘digunakan’ oleh Chucky.
Saya berharap sangat agar filem ini akan ada sekuelnya. Saya pasti akan jadi penonton terawal kerana setelah membesar dengan Charles Lee Ray, saya amat perlukan sesuatu yang baru sebagai penyegar minda.
Oleh itu, jika anda masih belum pergi menonton dan tertanya-tanya sama ada berbaloi atau tidak menontonnya di layar besar, saranan saya pergilah. Anda akan rasa puas dengan jalan ceritanya.
*Saya tidak mahu komen mengenai mutu lakonan, skrip, atau pemilihan pelakon. Cukup sekadar saya katakan proses ‘bonding’ antara Andy dan Chucky agak bagus, tidak terlalu tergesa-gesa dan perkenalan dengan rakan-rakan baru Andy juga terasa natural.
Penarafan Durian Buruk: 8/10.
The Buddi Song by Mark Hamill
Anda boleh cuba ‘layan’ lagu ‘The Buddi Song’ yang dinyanyikan dengan merdunya oleh Mark Hamill pada video di bawah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/childs-play-chucky-versi-hodoh-secara-semulajadi/