Cerita Panjang 1bestarinet Dan Kpm Apa Yang Berlaku
1BESTARINET dan KPM, Apa yang Berlaku?
Maszlee Malik
Saya sering ditanyakan apakah permintaan PM ke-7 untuk saya memulangkan jawatan saya kepada beliau adalah disebabkan oleh isu Bestarinet, atau lebih khusus kontrak YTLC dengan KPM yang penuh kontroversi. Saya tidak boleh mengatakan ianya satu-satunya sebab, namun boleh saya katakan itu merupakan antara sebab mengapa PM meminta saya berbuat demikian, di mana menurut beliau di atas permintaan Presiden parti Bersatu Ketika itu.
Sebanyak lima kali saya telah dipanggil oleh PM pada Ketika itu untuk bertemu beliau di pejabatnya untuk berbincang isu ini. Malah saya juga telah hadir sebanyak dua kali dengan pimpinan tertinggi KPM untuk menerangkan kepada beliau perihal keputusan yang dibuat oleh KPM. Di mesyuarat terakhir Bersama beliau, saya ingat lagi, beliau mengatakan, “Presiden Bersatu amat marah dengan anda kerana isu ini…”, tidak lama selepas itu saya menerima keiriman emel dari beliau yang meminta saya memulangkan jawatan yang beliau amanahkan kepada saya pada Jun 2018 semula kepada beliau.
Biarlah apa yang berlalu itu berlalu. Saya yakin, sepertimana dalam ucapan terakhir saya sebelum meninggalkan KPM, di atas arahan dan nasihat dari PM Ketika itu, saya dengan berat hati, tetapi rela, menyerahkan semula jawatan tersebut kepada beliau di atas dasar patuh kepada arahan pimpinan dan yakin kepada pimpinan dan kebijaksanaan beliau. Itu telah menjadi sejarah. Apa yang penting, umum ingin mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku dengan 1Bestarinet dan KPM.
Apa yang saya akan bentangkan di artikel ini bukan sesuatu yang sulit. Ia merupakan fakta yang diketahui oleh kebanyakan warga KPM, pernah didedahkan oleh media tetapi tidak disensasikan seperti isu kasut hitam dan jawi, walaupun pihak KPM telah menyerahkannya kepada media terutamanya dalam bentuk jawapan-jawapan oleh Ketua Setiausaha Utama (KSU) KPM pada Ketika itu. Apa yang pasti, kita tahu walaupun di zaman pemerintahan Pakatan harapan (PH) media jauh lebih bebas berbanding di zaman BN apatah lagi di zaman PN, namun tidak semua ketua editor bebas dari pengaruh politik dan kepentingan.
Projek Mega 1Bestarinet
Kontrak mega perkhidmatan 1Bestarinet KPM yang bermula pada tahun 2011 telah diinisiatifkan oleh Menteri pelajaran Ketika itu. Beliau juga merupakan presiden parti Bersatu sewaktu saya menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Kontrak mega jangkamasa Panjang ini mempunyai 3 fasa (fasa satu, fasa satu interim dan fasa dua):
Fasa 1, bermula dari 13 Dis 2011 sehingga 12 Jun 2014, yang melibatkan kontrak bernilai RM 1.1 bilion;
Fasa 1 interim, bermula dari 13 Jun 2014 sehingga 30 Jun 2016, dan ia melibatkan kontrak bernilai RM 468 juta,
Fasa 2, bermula dari 1 Jul 2016 sehingga 30 Jun 2019 yang melibatkan RM 1.55 bilion.
Kontrak mega jangkamasa Panjang untuk membekalkan internet ke sekolah-sekolah di bawah KPM ini telah menjadi tajuk penuh kontrovesi sewaktu pemerintahan Barisan Nasional. Berkali-kali isu ini telah dibawa ke parlimen oleh pihak pembangkang. Di kalangan guru-guru pula, ianya sering dikritik kerana bekalan internet yang dimonopoli oleh sebuah syarikat ini lembap, tidak memuaskan dan membebankan para guru.
Kontrak mega jangkamasa Panjang ini melibatkan tiga komponen utama:
1) Pelantar Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment berjenama Frog);
2) Talian internet ke sekolah-sekolah melalui syarikat telekomunikasi YES; dan
3) Struktur 1BRIS yang melibatkan menara telekomunikasi yang dibina untuk menyokong 4G oleh syarikat telekomunikasi YES untuk tujuan komersil.
Bilangan Sekolah yang terlibat dengan kontrak 1BestariNet pula ialah 10,182 buah sekolah, di mana 8,271 sekolahdibekalkan dengan internet dengan kelajuan 6Mbps-30 Mbps, manakala 1,997 sekolah pula dibekalkan dengan internet berkelajuan 2Mbps melalui teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) & Asymmetric digital subscriber line (ADSL).
Bagi kontak Struktur 1BRIS pula, sebanyak 2,746 menara dibina di atas tapak 2,746 sekolah di seluruh negara. Di mana, 1,142 tapak ditempatkan di tanah di bawah hak milik Pesuruhjaya tanah Persekutuan, dan 1,604 tapak Menara pula dibina di atas tanah Bukan hak milik Kerajaan seperti waqaf, Lembaga Pengelola sek dan sebagainya.
Setelah Fasa 2 projek mega 1Bestarinet tamat pada 30 Jun 2019, KPM terpaksa membuat keputusan untuk samada meneruskannya dengan kontrak yang baru, atau tidak meneruskannya. Untuk tujuan tersebut, oleh kerana ianya melibatkan kepentingan awam dan juga masa depan anak-anak watan, KPM telah membuat Langkah yang telus, professional dan juga begitu berakautabiliti berbanding proses-proses sebelum ini.
Keputusan yang dibuat oleh KPM adalah berpandukan kepada beberapa hasil kajian terperinci oleh pihak yang tidak berkepentingan, professional dan berautoriti, antaranya:
1) Kajian Impak dan Hala Tuju Pendidikan Digital Negara 2018 (yang telah diusahakan oleh kumpulan penyelidik dari pelbagai Universiti Awam);
2) Siasatan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dianggotai oleh pihak profesional dari luar KPM.
3) Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 khusus berkaitan kontrak mega 1Bestarinet.
4) Laporan Public Accounts Committee Parlimen ke-13 bagi tahun 2015.
Premis utama bagi apapun keputusan yang dibuat ialah ianya mesti berteraskan tatakelola kerajaan yang baik (good governance) dan melatakkan kepantingan rakyat dan negara mendahului kepentingan mana-mana pihak.
Menurut dapatan yang telah dibentangkan kepada pihak KPM, dan seterusnya telah dikemukakan kepada PM pada tahun 2019, kesemua laporan dari pihak pelbagai itu menunjukkan:
1) 1BestariNet tidak mencapai objektif pelaburan Kerajaan.
Hal ini telah dinyatakan oleh Jawatankuasa Semakan KPM yang hanya memperakukan RM52.8 juta daripada RM62.6 pada Jun 2019 atas sebab YTL tidak mematuhi Perjanjian Tahap Perkhidmatan. Manakala Kajian Impak oleh Universiti Awam mendapati kualiti capaian internet tidak memuaskan berdasarkan aduan yang diterima dari majoriti pemegang taruh yang terlibat.
2) Program e-Pembelajaran yang berjumlah RM1.13 bilion tidak mencapai objektif yang ditetapkan:-
Perkhidmatan 1BestariNet tidak mencapai KPI penggunaan produk Frog VLE. Peratus guru yang membangunkan laman pembelajaran hanya 3,317 (0.8%) guru daripada 423,566 guru. Lebih malang lagi, laman Frog VLE yang boleh dikongsikan ke seluruh Malaysia hanya 46,152 selama 8 tahun iaitu 0.12 laman bagi setiap guru pada setiap tahun (di mana anggaran RM24 ribu untuk satu laman).
3) Bekaitan isu Penyewaan tanah bagi Struktur 1BRIS pula:
i- Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) Bil.1/2013 telah memberikan arahan bahawa struktur yang dibina di atas tanah PTP perlu melalui proses penyewaan dan caj penggunaan utiliti, dimana selama ini pihak syarikat tidak membayar sesen pun kepada PTP.
ii- Pihak YTLC enggan memuktamadkan perjanjian sewaan Fasa 2 kerana tidak bersetuju dengan terma kos elektrik, kesannya YTLC langsung tidak membayar caj elektrik bermula Fasa 2 yang menyebabkan Kos yang ditampung oleh Kerajaan melalui duit pembayar cukai sepanjang tempoh itu bernilai RM41.8 juta.
iii- Pihak YTLC juga menyatakan bahawa mereka berhak kepada kontrak selama 15 tahun walaupun terma ini tidak dinyatakan dalam kontrak antara pihak YTLC dengan KPM.
iv- Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) telah memutuskan untuk mengenakan caj nominal RM10 setapak sebulan dengan syarat menara 1BRIS adalah untuk kegunaan KPM sahaja.
v- Akan tetapi MCMC telah mengesahkan dalam Laporan JKSTUPKK bahawa menara 1BRIS bukan eksklusif untuk sekolah sahaja malah digunakan juga untuk tujuan komersil. Maka, sewajarnya YTLC membayar kadar sewa komersil semasa Fasa 2. Namun ini ditolak sekerasnya oleh pihak YTLC.
Keputusan KPM
Berdasarkan fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh empat pihak berbeza dengan hujah dan fakta yang lengkap, KPM melalui siri mesyuarat pihak tertinggi Bersama Menteri telah memutuskan:
1) Berhubung FROG VLE:-
Memandangkan segala kesulitan yang dihadapi oleh majoriti guru di seluruh negara yang telah diambil kira pandangan mereka, KPM mengambil keputusan untuk menghentikan pemaksaan penggunaannya ke atas para guru. Bagi mana-mana sekolah yang selesa menggunakannya, mereka diberikan kebebasan untuk terus menggunakannya. Bagi sekolah-sekolah selebihnya, KPM telah mencadangkan agar para guru menggunakan Google Classroom yang menyediakan perkhidmatan secara percuma untuk semua.
2) Berkait Dasar KPM dari segi connectivity:-
i- Selari dengan National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP). KPM juga sedang ke arah penggunaan teknologi fiber menjelang tahun 2022. Tambahan lagi Value Management Lab 1BestariNet Fasa 2 dan surat-surat daripada Kementerian Kewangan telah mencadangkan penggunaan fibre optics. Oleh itu, Menara 1BRIS tidak menjadi keutamaan untuk kegunaan sekolah.
ii- Namun, sebagai usaha interim, KPM telah mencadangkan agar kontrak pembekalan internet ke sekolah-sekolah dibukakan untuk syarikat-syarikat Telekomunikasi yang lain juga dan tidak dimonopoli oleh hanya seuah syarakiat sahaja.
3) Berkaitan perjanjian sewaan tapak baharu bersama YTLC. Selaras dengan saranan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) KPM telah mengemukakan syarat-syarat berikut:-
i- YTLC tetap boleh mengekalkan menara 1BRIS, tetapi mestilah membayar Sewaan tapak bagi 1,142 tapak hak milik PTP mengikut kadar komersil (RM3,000 Bandar; RM2,000 Luar Bandar), dan
ii- membayar Caj elektrik bagi kesemua 2,746 tapak mengikut kadar komersil kerana ianya melibatkan penggunaan mereka unutk tujuan komersil.
iii- Jika ini dipersetujui, KPM sedia menyambung kontrak dengan mereka untuk tempoh 3 tahun dengan sekali pelanjutan (iaitu 3+3 tahun) .
iv- YTLC juga harus menandatangani perjanjian sewaan tapak Fasa 2 sebelum perjanjian sewaan tapak baharu.
v- Sewaan tapak bagi baki 1,604 tapak yang bukan hak milik PTP tidak dapat dikutip buat masa ini.
4) KPM juga mengambil keputusan untuk meneroka cara baharu untuk menjana pendapatan melalui penyewaan tapak secara tender terbuka selari dengan amalan kerajaan PH pada ketika itu. Manakala hasil sewaan pula dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Sekolah (SUWA) setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Ini berteraskan prinsip meletakkan kepantingan sekolah dan rakyat sebagai keutamaan dan bukannya kepentingan pihak pemodal semata-mata.
Malangnya, keputusan ini telah ditolak oleh YTLC, walaupun siri pertemuan pihak pengurusan tertinggi KPM dengan mereka. Manakala di pihak PM pula, sepertimana yang telah disebutkan, saya telah dipanggil sebanyak lima kali untuk berbincang mengenai isu ini. Di setiap pertemuan itu jugalah beliau mengatakan bahawa mantan Menteri pelajaran yang mengusahakan kontrak mega tersebut, dan juga presiden parti Bersatu mendesak beliau untuk meminta saya menyambung kontrak tersebut berdasarkan kehendak YTLC dan tidak membuat keputusan sendiri.
Sebagai seorang yang menggalas amanah berdasarkan sumpah setia yang telah diucapkan di hadapan YDPA Ketika perlantikan sebagai anggota cabinet, saya tekad untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara mendahului kepentingan mana-mana pihak mahupun individu. Keputusan KPM adalah keputusan professional berteraskan fakta, hujah dan perundangan. Saya yakin dengan bayaran yang terlalu mahal yang akan saya hadapi dengan prinsip dan keputusan ini. Ianya adalah tribulasi kecil di atas pengorbanan saya semenjak hari pertama lagi saya membuat keputusan untuk terlibat dengan politik.
Apakah keputusan ini yang menyebabkan saya diminta meninggalkan kedudukan saya di Kementerian Pendidikan Malaysia?
Wallahua’lam.
Artikel ini adalah salah satu bab dalam buku Dr Maszlee, “Memori Bukan Memoir”. Untuk membaca lebih banyak isu-isu sensasi pendidikan yang tidak diceritakan oleh media, boleh dapatkan dari pautan ini:
https://www.kedaidrmaszlee.com/products/memori-bukan-memoir
Dalam Bahasa Inggeris: https://www.kedaidrmaszlee.com/products/memories-not-memoir
Dalam Bahasa Mandarin:
https://www.kedaidrmaszlee.com/products/回忆不是回忆录
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/09/cerita-panjang-1bestarinet-dan-kpm-apa.html