Cara Jadi Affiliate Marketer Yang Hebat
Apa faktor yang menjadikan seseorang Affiliate Marketer itu Hebat?
Pada pandangan saya, bidang affiliate marketing ini adalah antara bidang yang banyak orang salah anggap.
Ada orang menyangkakan bidang ini adalah satu bidang yang mudah untuk dilakukan.
Apa tidaknya, kita hanya perlu kongsikan link affiliate dan selepas itu, kita tunggu sahaja komisen jualan akan masuk.
Cara dia kongsikan link affiliate itu pula sekali imbas, saling tak tumpah dengan gaya seorang spammer.
Asalkan ada peluang untuk kongsi link, dia pasti akan tinggalkan link.
Dia akan letak link affiliate dekat wall FB, dekat group whatsapp, dekat group Facebook, dekat blog orang lain dan banyak lagi tempat.

Pada dia, lagi banyak tempat dia boleh letak link, lagi cerah peluang dia untuk hasilkan komisen.
Betul ke macam tu?
Hakikatnya, ramai yang gagal menjana pendapatan dalam bidang ini.
Boleh jadi sebabnya mereka belum betul-betul memahami seni sebenar membuat jualan secara halus, tanpa kelihatan seperti seorang jurujual.
Justeru, apakah sebenarnya yang membezakan antara seorang ejen affiliate yang biasa-biasa dengan ejen yang merupakan top performer yang mampu hasilkan komisen yang besar?
Perkongsian kali ini, kita akan cuba merungkai persoalan dan misteri tersebut.
Kita nak tahu, adakah terdapat satu rahsia, bagaimana untuk berjaya dalam bidang affiliate marketing, yang mungkin hanya diketahui oleh super ejen atau top performer.
Rahsia ini mungkin begitu sulit dan ianya tidak pernah didedahkan kepada orang lain.
Untuk membincangkan topik ini, ada beberapa aspek yang akan kita fokuskan, iaitu
(1) Kemahiran yang kita perlu ada
(2) Personaliti peribadi kita
(3) Strategi berkesan untuk mencipta jualan
(4) Etika dalam melakukan pemasaran
Kesemua ini jika diadun dengan baik, In Shaa Allah akan membantu kita menjadi seorang ejen affiliate yang betul-betul berjaya.
Saya harap anda dapat luangkan sedikit masa, untuk cuba fahamkan apa yang cuba disampaikan.
Bila dah faham, terus praktikkan.
Saya harap anda juga akan dapat pulangan yang lebih baik selepas ini.

Tanpa membuang lebih banyak masa, kita teruskan dengan topik utama yang kita ingin bincangkan.
(1) Kemahiran yang perlu dikuasai
Ramai yang beranggapan bahawa sebagai seorang affiliate marketer, kita perlu menguasai kemahiran menjual.
Tapi sebenarnya, ianya tak begitu tepat.
Walaupun kemahiran menjual itu penting dan ianya akan membantu anda dalam membina kerjaya dalam bidang jualan, tapi sebenarnya yang lebih utama adalah memahami psikologi manusia.
Boleh jadi ramai yang terlepas pandang, bahawa peranan kita sebagai seorang ejen affiliate adalah membawa pelawat, prospek ataupun trafik untuk masuk ke halaman jualan.
Bukannya buat jualan.
Tugas untuk membuat jualan adalah tanggungjawab pemilik produk.
Kita sebagai ejen affiliate perlu jadi lebih kreatif dalam mengajak bakal pelanggan untuk masuk ke halaman jualan.
Sama ada mereka akan beli ataupun tidak, itu perkara kedua.
Apa yang lebih penting adalah untuk timbulkan minat dan rasa ingin tahu mereka untuk melayari laman jualan, dan pastikan mereka layari laman jualan dengan menekan klik pada link affiliate anda.
Cuba bayangkan begini.
Kalau dari awal lagi anda gunakan pendekatan untuk menjual, bermakna kalau dari awal mereka tak minat dengan apa yang anda cerita, maka sampai bila-bila mereka tak akan klik link affiliate anda.
Sebaliknya, kalau anda mulakan dengan bercerita dan mengajak prospek anda untuk tekan klik pada link affiliate, sekiranya mereka minat nak tahu dengan lebih lanjut, dalam situasi ini, anda ada peluang lebih cerah untuk buat jualan.
Kadang-kadang kandungan yang dimuatkan dilaman jualan berkali ganda lebih disukai oleh prospek kita, berbanding ayat-ayat marketing yang kita sendiri hasilkan.
Justeru, kita perlu beri keutamaan untuk pastikan bakal pelanggan klik dulu pada link affiliate kita.
i. Memanfaatkan kecenderungan kognitif
Kita nak cerita dari sudut psikologi.
Manusia sebenarnya membuat keputusan berdasarkan kepada bias kognitif.
Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tak biasa dengan istilah “bias kognitif” memandangkan ini adalah istilah yang kerap digunakan dalam buku-buku bertemakan psikologi.
[Boleh baca buku The Psychology of Selling disini]

Bias Kognitif ini kita boleh simpulkan sebagai suatu cara, kecenderungan atau pendekatan yang digunakan oleh seseorang itu untuk memahami dan membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara berdasarkan kepada pengalaman lalu, walaupun kadang-kadang keputusan yang bakal dibuat itu sebenarnya tidak tepat.
Setiap orang ada bias (kecenderungan) dia yang tersendiri.
Mereka merumuskan atau membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara berdasarkan kepada kognisi, atau proses mental sedia ada, yang mereka biasa gunakan untuk memahami dan mentafsir sesuatu perkara.
Contohnya begini.
Katakanlah anda ingin membeli smartphone yang baru.
Seorang kawan yang anda paling rapat dan paling percaya cakap jenama X sangat bagus.
Mendengar kata-kata tersebut, anda terus percaya dan beli tanpa semak review atau spesifikasi.
Padahal, ada jenama lain yang lebih baik untuk keperluan anda.
Bias yang berlaku disini adalah, anda lebih percayakan kata-kata kawan rapat anda berbanding kata-kata orang lain yang lebih pakar.
Manakala proses mental yang berlaku untuk memahami situasi ini adalah merujuk kepada tindakan anda terus terima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh kawan anda itu tadi.
Boleh jadi anda beranggapan seperti ini,
“Takkanlah kawan baik aku sendiri ini nak tipu aku kot… Aku kenal dia ni dah lama, orangnya baik, selalu pergi surau, suka tolong orang kampung…”
Walhal, kualiti peribadi kawan anda dan kebaikkannya tidak begitu relevan dengan situasi.
Pada masa yang sama, anda juga mungkin ada sedikit ragu dengan individu yang kononnya lebih pakar.
Terutama sekali apabila anda merasakan mereka ini hanya berminat dengan duit anda sahaja. Pada anggapan anda, kalau anda percaya cakap mereka ini, sudah tentu mereka akan cuba jualkan model smartphone yang paling mahal kepada anda.
Apa sebenarnya kepentingan bias kognitif ini?
Sekali lalu, nampak macam bias ini tak ada manfaat buat kita.
Lebih-lebih lagi kalau akhirnya, ia hanya membuatkan kita membuat keputusan yang tidak tepat.
Tapi sebenarnya, ia ada kepentingan dia yang tersendiri.
Bias kognitif ini sebenarnya membantu kita untuk buat keputusan dengan lebih pantas.
Kalau seseorang tak mempunyai bias kognitif, mereka mungkin memerlukan masa yang sangat lama untuk buat keputusan.
Walaupun kadang-kadang perkara tersebut adalah perkara yang mudah dan remeh.
Dia perlukan semua maklumat, fakta, dan sejarah berkaitan dengan isu didepan mata.
Dia perlukan masa yang lebih lama untuk berfikir.
Lagi lama dia perlu fikir, lagi banyak tenaga diperlukan.
Ini secara tak langsung akan membuatkan dia jadi penat dan kehabisan tenaga.
Sebaliknya, dengan adanya bias kognitif, dalam masa beberapa saat sahaja dia boleh buat keputusan.
Isunya dekat sini bukannya untuk membuang bias kognitif tersebut.
Sebaliknya, kita nak cuba supaya kita mempunyai bias kognitif atau proses berfikir yang tepat, supaya sebarang keputusan yang perlu kita buat, dapat dilakukan dengan betul.
Saya tahu, konsep ini mungkin agak memeningkan kepala, terutama sekali kalau anda tak biasa dengar istilah-istilah dalam bidang psikologi.
Tapi percayalah, kalau anda kaji dengan lebih mendalam, ia sebenarnya sangat menarik untuk difahami.
Sebabnya kita boleh menggunakan skil ini untuk mendapatkan lebih banyak jualan.
Baiklah, kita kembali kepada topik asal.
Sebagai seorang affiliate marketer yang bijak, kita akan cuba selami bagaimana sebenarnya cara prospek kita berfikir dan kita akan menggunakan kefahaman tersebut secara strategik.
ii. The Endowment Effect
Lazimnya, manusia akan lebih menghargai sesuatu yang mereka rasa sudah menjadi milik mereka, tanpa mengambil kira sama ada barangan tersebut mahal ataupun murah harganya.
Asalkan kita boleh buatkan seseorang itu mempunyai ikatan dengan barangan tersebut, rasa sayang untuk melepaskan barang tersebut akan tercipta.
Kalau kita nak gunakan kaedah ini dalam kerja pemasaran, kita akan cuba mengajak pembeli untuk membayangkan dirinya telah menjadi pengguna atau sedang menggunakan barangan tersebut.
Hanya selepas mereka berjaya membayangkan situasi tersebut, barulah akan timbul rasa keinginan yang kuat untuk membelinya.
Kalau menjual secara berdepan, kita boleh mempelawa bakal pembeli untuk cuba gunakan barangan yang kita nak jual tersebut.
Mereka boleh pegang, boleh belek-belek dan menggunakan produk tersebut.
Tapi kalau dalam situasi affiliate marketing, kita perlu gantikan pengalaman mencuba sendiri, dengan meminta mereka untuk membayangkan diri mereka seolah-olah sedang menggunakan barangan tersebut.
Kadang kita pun macam tu.
Kita jalan-jalan dekat mall yang jual baju.
Ada banyak baju yang digantung diruang pameran.
Walaupun ada banyak baju yang cantik, biasanya kita hanya akan tertarik untuk beli baju yang kita dapat bayangkan, betapa cantiknya baju tersebut kalau kita sendiri yang pakai.
Baju-baju lain bukannya tak cantik.
Tapi kita tak boleh nak bayangkan, yang kita akan pakai baju tersebut.
Benda yang kita tak boleh nak bayangkan ni, selalunya memang agak mustahil untuk kita beli.
Atas sebab itulah, sebagai jurujual kita akan cuba bermain dengan imaginasi bakal pembeli dan cuba untuk mengajak mereka membayangkan diri mereka menggunakan produk yang kita ingin jual.
Tak kiralah sama ada produk yang kita nak jual tu adalah jam tangan G-Shock ke, polisi takaful, pakaian dan sebagainya.
iii. Social Proof
Teknik ini akan mengemukakan bukti kepada bakal pelanggan kita, bahawa selain mereka, dah ada ramai lagi orang yang dah pernah gunakan produk tersebut dan mereka sangat puas hati dengan keputusan yang dilakukan.
Dalam situasi ini, kita akan tunjukkan diluar sana sudah terdapat banyak orang yang menggunakan produk tersebut.
Jadi, bakal pelanggan tak perlu takut untuk mencubanya.
Kalau dalam teknik ini, biasanya kita akan tunjukkan maklumat seperti
a. Testimoni dari pelanggan terdahulu
b. Gambar sebelum dan selepas (jika ada)
c. Jumlah unit yang telah terjual
iv. Fear of Missing Out
Atau dalam istilah yang lebih popularnya iaitu teknik FOMO.
Dalam teknik ini, kita sebenarnya akan cuba wujudkan satu perasaan takut, bimbang akan merasa kerugian yang teramat sangat, sebabnya mereka telah terlepas untuk mendapatkan produk tersebut.
Boleh jadi stok produk itu tadi adalah terhad.
Ataupun, hadiah eksklusif yang ditawarkan bersamanya adalah terhad.
v. Seni bercerita
Seorang affiliate marketer yang bagus, bukan sekadar “menjual”, tetapi mereka akan membawa audiens dalam suatu perjalanan emosi.
Cara biasa yang akan digunakan oleh mereka yang belum mahir teknik bercerita adalah seperti ini.
Kita andaikan produk yang dijual itu adalah sebuah buku.
Biasanya mereka akan tulis ayat seperti ini.
“Buku ini akan membantu anda menghasilkan posting di media sosial dengan lebih baik.”
Tapi sebenarnya ada cara yang lebih berkesan untuk kita gunakan.
“Bayangkan anda bangun setiap pagi tanpa tekanan hutang.
Akaun bank anda semakin bertambah, dan anda tidak lagi risau tentang gaji cukup atau tidak.
Setiap hari anda rasa ceria dan bersemangat. Apa tidaknya, idea untuk bercerita sentiasa ada ibarat air terjun yang turun mencurah-curah.
Setiap cerita ada nilainya.
Setiap cerita mampu menghasilkan jualan yang luar biasa.
Buku ini akan tunjukkan bagaimana.”
Nah… saya pasti, ayat yang kedua walaupun sedikit panjang, ianya berjaya menarik perhatian dan minat anda untuk pelajari cara untuk menghasilkan suatu cerita yang boleh hasilkan jualan, betul tak?
Itulah dia, teknik yang kita namakan sebagai teknik Storytelling.
Kita membuat jualan, hanya dengan bercerita.
Baca tentang teknik Story Telling ini disini.
Apabila cerita anda sedap dibaca, maka income yang anda bakal hasilkan juga sedap lah nanti.
Begitulah sebenarnya sikap semulajadi manusia.
Mereka lazimnya akan membeli berdasarkan kepada emosi, dan selepas itu barulah akan membuat justifikasi berdasarkan kepada logik.
Seni jualan yang sebenarnya adalah seni menyentuh emosi bakal pembeli.
2. Ciri Personaliti Perlu Ada
Kalau dalam bidang jualan, seorang jurujual itu sering dikaitkan dengan karekter seperti seorang yang peramah dan pandai bercakap.
Individu tersebut mestilah seorang yang tak kekok untuk menegur dan memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenali.
Kualiti sedemikian mungkin amat diperlukan jika kita bercakap mengenai kerjaya seorang jurujual.
Tapi tahukah anda yang sebenarnya, dalam bidang affiliate marketing ini, seorang yang kurang bercakap atau introvert ada peluang yang lebih baik untuk jadi lebih cemerlang dalam bidang ini.
i. Lebih banyak mendengar
Orang yang kurang bercakap ni, mereka lebih banyak mendengar dan lebih peka terhadap keperluan audiens mereka.
Disebabkan itu juga, mereka lebih teliti dalam menyusun dan merangka strategi untuk menghasilkan konten.
Bagi golongan yang extrovert, mereka mungkin pantas untuk segera mengikut trend semasa yang sedang popular.
Walaupun pada hakikatnya trend yang popular belum tentu relevan dan bakal menyumbang kepada jualan.
Tapi itu tak penting.
Apa yang penting bagi extrovert, dia perlu jadi yang terawal untuk ikut trend.
Orang introvert akan membina kepercayaan secara perlahan-lahan dan bukannya cuba memaksa audiens untuk membuat pembelian dengan serta merta.
Apakah strategi yang sesuai dengan golongan yang introvert?
Pada pandangan saya, ada beberapa pendekatan yang cukup sesuai.
a. Menjual melalui kandungan
Atau dalam bahasa yang lebih popular adalah, menggunakan kaedah content marketing.
Baca juga: Apa itu content marketing?
Berbanding menggunakan kaedah membuat jualan secara langsung (direct selling atau hard selling) seorang yang introvert boleh mencipta kandungan yang berkualiti tinggi yang dapat menarik audiens untuk membuat pembelian.
Sebagai seorang yang lebih suka berfikir secara mendalam, individu seperti ini sangat bagus dalam menerangkan sesuatu perkara secara terperinci dan membina kredibiliti.
Apabila dia dilihat sebagai seorang yang benar-benar berpengetahuan, ini akan meletakkan dirinya sebagai salah seorang yang memang betul-betul pakar dalam bidang yang dipilih.
Pada hari ini, kita mempunyai banyak pilihan platform, bagi tujuan menghasilkan kandungan.
i. Anda boleh menulis blog.
Dalam blog tersebut anda boleh hasilkan artikel yang membuat perbandingan produk dan juga niche tertentu.
ii. Anda boleh hasilkan konten dalam bentuk video dan siarkan diplatform Youtube.
Biasanya video untuk Youtube durasinya agak panjang, sekitar 10 minit hingga ke beberapa jam.
iii. Anda juga boleh hasilkan video yang lebih pendek untuk diterbitkan di platform Tiktok.
Video yang sama, anda boleh terbitkan juga di Youtube Shorts, FB Reels, Shopee dan sebagainya.
b. Gunakan Kuasa Search Engine Optimization (SEO)
Adakah kaedah SEO masih lagi berkesan?
Jawapannya adalah, sudah tentu berkesan.
Teknik search engine optimization (SEO) pada hari ini, sudah pasti agak berlainan berbanding tahun 2010.
Walaubagaimanapun, dari segi konsep, SEO ini masih lagi penting.
Kalau anda perhatikan, tak kiralah apa platform yang anda gunakan, sama ada ianya Youtube, Tiktok, atau media sosial sekalipun, disitu masih lagi terdapat elemen SEO digunakan.
Platform ini semua memerlukan satu sistem untuk menyusun kandungan yang paling relevan, terutama sekali apabila kita cuba untuk mencari kandungan yang pernah dihasilkan menggunakan kata kunci tertentu.
Inilah dia konsep SEO.
Kalau dulu, bila kita bercakap mengenai SEO, kita fokus kepada halaman enjin carian seperti Google, Yahoo, Bing dan sebagainya.
Tapi hari ini, konsep SEO itu juga digunakan pada platform seperti Youtube, Pinterest, Facebook, Tiktok dan sebagainya.
Platform seperti itu juga dilengkapi dengan sistem enjin carian.
Asalkan sesebuah platform itu mempunyai sistem enjin carian (search engine) maka kaedah Search Engine Optimization ini akan tetap berguna dan relevan.
c. Pemasaran Media Sosial
Platform media sosial adalah satu tempat yang cukup baik untuk kita lakukan kerja pemasaran.
Dalam konteks pemasaran di media sosial, kita akan lebih fokus kepada memberi nilai, bukannya membuat jualan.
Seorang yang introvert boleh memanfaatkan platform media sosial untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sebenar melalui penghasilan kandungan yang memberi manfaat.
Biasanya cara penyampaian di media sosial adalah lebih santai dan penggunaan bahasa seperti sedang berbual.
Sambil kita bersosial, kita juga menghasilkan banyak kandungan dalam bentuk perkongsian pengalaman dan juga pengetahuan.
Ini secara tak langsung dapat membantu kita untuk membina pengaruh untuk jangka masa panjang.
Jika anda menggunakan Facebook, bolehlah menulis artikel yang agak panjang namun sarat dengan perkongsian yang bermanfaat.
Jika anda menggunakan platform X (twitter) boleh menulis posting dalam bentuk thread.
Pada satu tahap, saya merasakan yang sebenarnya bidang affiliate marketing ini memang sangat padan dengan individu yang introvert.
Kalau mereka yang extrovert, mereka sesuai ceburi bidang jualan.
Bagi yang introvert, boleh join sebagai affiliate.
Apabila kedua-dua ini saling bergabung, ia dapat hasilkan pulangan yang cukup baik.
Apa yang penting sekali ialah, kita susun strategi secara bersistematik.
Tujuannya supaya setiap kandungan dan usaha pemasaran yang kita jalankan, dapat saling menguatkan antara satu sama lain.
Ini bermakna, kita bukannya bekerja keras tanpa hala tuju yang jelas.
Sebaliknya kita akan bina sebuah sistem yang akan bekerja dengan sendirinya secara automatik tanpa memerlukan penglibatan kita secara aktif.
Cuba bayangkan, kita mempunyai
i. Sistem emel follow up yang bekerja secara automatik
Sebaik sahaja prospek mendaftar masuk, sistem akan menghantar emel follow up secara automatik kepada prospek kita. Prospek ini akan terus menerima emel mengikut sela masa yang kita tetapkan, sampailah mereka jadi pembeli atau unsubscribe sendiri.
ii. Sistem SEO yang menarik trafik dari halaman carian popular
Artikel atau posting yang kita pernah hasilkan sebelum ini akan terus menerus menyumbangkan trafik secara automatik. Anda hanya perlu tulis sekali sahaja, artikel yang bersifat evergreen dan lengkap, dan artikel yang sama akan terus menerus menyumbangkan trafik.
iii. Wall media sosial sentiasa bekerja menarik prospek baru
Selagi mana posting anda masih viral dan masih ada interaksi dalam kalangan pengguna, selagi itu ia akan terus menerus memberikan limpahan prospek kepada anda.
Sebab tu dekat sini saya nak highlight betapa pentingnya untuk kita susun strategi yang betul.
Kita mahukan setiap platform pemasaran yang kita gunakan, bekerja secara harmoni antara satu sama lain.
3. Strategi Pemasaran yang Berkesan?
Setiap kali saya gagal hasilkan sebarang jualan, saya akan bertanya pada diri saya sendiri.
Apa sebenarnya kesilapan yang telah saya lakukan?
Apa perkara yang sepatutnya saya buat, tapi saya tak buat?
Atau belum buat?
Adakah terdapat perkara tertentu yang saya sebenarnya belum tahu?
Ada atau tidak perkara yang saya memang dah tahu lama, tapi saya masih tak buat?
Jangan jual produk
Jangan jual produk sebaliknya kita jual perubahan diri yang akan dialami oleh pelanggan.
Perkara ini sebenarnya adalah perkara paling asas, tapi biasalah… bila sampai masa untuk kita hasilkan konten, kita terlupa.
Asyik fokus dengan produk.
Pelanggan tidak membeli buku kewangan sebab ianya adalah buku yang mengajar tentang topik pengurusan kewangan.
Bukan sebab itu.
Tapi mereka beli sebab mereka membayangkan dengan membaca buku itu, mereka akan dapat ilmu baru yang akan menjadikan diri mereka seorang yang celik kewangan.
Konsep dia sama macam kita baca buku pelaburan.
Kita sangguplah baca buku yang tebal tu, belajar tentang fundamental analysis dan juga technical analysis.

Bukannya sebab kita nak jadi pakar dalam bab analisis.
Tapi sebab kita bayangkan, bila kita mahir dengan teknik-teknik analisis, kita akan jadi seorang pelabur yang hebat.
Setiap kali melabur, atau entry, kita bayangkan yang kita akan boleh hasilkan profit at least 10% dari nilai pelaburan.
Wah… kaya pak cik.
Begitu juga situasinya dengan individu yang
i. Membayar untuk menyertai kursus kecergasan
ii. Bayar yuran keahlian untuk gymnasium
iii. Beli peralatan bersenam
Mereka buat semua tu sebab mereka nak jadi versi diri mereka yang lebih sihat dan menarik berbanding diri mereka yang sekarang.
4. Etika Kerja
Adakah perbincangan mengenai etika ini sesuatu yang penting?
Seingat saya, saya mula berhenti menyokong atau membeli dari mana-mana jurujual, atau ejen affiliate tertentu, apabila saya merasakan mereka ini mula melakukan sesuatu yang kurang beretika.
Saya perasan, ada sesetengah orang ni, bila dia baru bermula, dia sangat baik dan bersopan santun.
Tapi bila dah lama, dia mula mempunyai follower yang ramai, dan mungkin pendapatan yang dia hasilkan juga semakin besar, satu perubahan yang begitu ketara mula berlaku.
Dia mula menunjukkan ego dan mula jadi lebih angkuh.
Pada saya, bila perubahan yang begitu ketara mula kelihatan, maka dah sampai masa untuk berhenti menyokong sebarang usaha pemasaran mahupun perniagaan yang dia jalankan.
Perkara ini menjadi satu peringatan untuk diri saya sendiri.
Terus merendah diri, tak kira betapa besar kejayaan yang diraih suatu masa nanti.
Kejayaan itu sepatutnya menjadikan kita seorang yang semakin tunduk ke Bumi.
Kalau ada kisah-kisah ditulis mengenai diri kita, biarlah kisah tersebut berkisarkan tentang kerja kebajikan dan sumbangan yang kita berikan kepada masyarakat.
Bukannya tentang gosip mahupun skandal.
i. Jujur
Dalam bab etika ini juga, saya nak highlight tentang aspek kejujuran.
Kita lebih suka berurusan dengan seseorang yang bukan semata-mata mampu untuk sebut ayat seperti “produk ini sangat bagus…”
Tapi kita mahukan seseorang yang boleh terangkan “produk ini sebenarnya sesuai untuk orang yang bagaimana…”
Ataupun seseorang yang mampu untuk bercerita dari sudut pandang “produk ini sebenarnya sangat sesuai untuk menyelesaikan masalah apa…”
Jujur semata-mata sebenarnya tak cukup.
Seorang yang terlalu jujur, mungkin akan cerita semua sekali secara terperinci mengenai produk atau perkhidmatan.
Hinggakan perkara yang kita tak perlu tahu pun dia nak cerita.
Terlalu banyak maklumat, adakalanya membuatkan kita jadi semakin susah nak buat keputusan.
Sebaik-baiknya, kita jadi seseorang yang pandai menyusun maklumat, hinggakan maklumat tersebut cukup untuk membantu bakal pelanggan untuk membuat keputusan, sama ada nak buat pembelian ataupun tidak.
ii. Jangan buat janji palsu
Jangan over-claim.
Jangan buat sebarang janji, kalau kita sendiri pun tak pasti bahawa produk tersebut mampu untuk berfungsi seperti yang kita sebutkan.
iii. Fokus kepada beri manfaat
Kita tanyakan pada diri, apakah nilai yang saya cuba berikan kepada audiens saya melalui konten yang dihasilkan?
Adakah audiens saya ini akan mendapat manfaat?
Atau semata-mata mereka ini akan dihujani dengan mesej jualan dari saya?
Kita cubalah jadi seorang ejen affiliate yang berusaha untuk membantu audiens kita membuat keputusan yang lebih baik.
Bukannya semata-mata untuk kaut komisen sahaja.
Kalau dulu, kita mungkin fokus dengan matlamat nak buat jualan sahaja.
Kali ini, kita cuba buat perubahan dan ubah pendekatan.
Kita fokus nak beri manfaat kepada audiens kita.
Kesimpulan
Nak jadi seorang affiliate marketer yang hebat?
Boleh je.
Saya rasa asalkan ada kemahuan disitu pasti ada jalannya.
Untuk menjadi seorang Affiliate Marketer yang hebat, kita perlu bersedia untuk menerokai pelbagai kaedah dan pendekatan.
Bidang Affiliate marketing ini bukan sekadar tentang menjual.
Sebaliknya ia juga perlu dilihat dari sudut pandang untuk memahami bagaimana manusia berfikir, bertindak, dan membuat keputusan.
Affiliate marketer terbaik bukan yang paling bising atau yang paling banyak buat posting menjual.
Tetapi yang paling memahami psikologi audiens mereka.
Mereka tidak cuba menjual secara paksa, tetapi membimbing audiens untuk sampai kepada keputusan pembelian dengan sendirinya.
Jadi, jika anda mahu menjadi seorang affiliate marketer yang luar biasa, berhenti fikir tentang “menjual” dan mula fikir tentang bagaimana untuk mempengaruhi minda dan meyakinkan mereka dengan cara yang beretika dan berkesan.


The post Cara Jadi Affiliate Marketer yang HEBAT appeared first on Blog Sabree Hussin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sabreehussin.com/jadi-affiliate-marketer-hebat/