Cara Ambil Wudhu Dengan Sempurna
Ini adalah panduan cara ambil wudhu yang betul & sempurna.
Dalam artikel ini, anda akan dibimbing secara langkah demi langkah dan lengkap.
Apa yang menarik:
Setiap langkah wudhu akan disertakan dengan gambar untuk rujukan anda.
Isi Kandungan Panduan Ini:
Pengertian Wudhu
Syarat Sah Wudhu
Rukun Wudhu
Perkara Sunat ketika Wudhu
Cara Wudhu yang Sempurna
Doa Selepas Wudhu
Perkara Yang Membatalkan Wudhu
Perkara Makruh Ketika Berwudhu
Pengertian Wudhu
Dari sudut bahasa, wuduk bererti kebaikan dan kebersihan.
Manakala dari sudut istilahnya, wudhu ialah penggunaan air yang suci pada anggota tertentu (iaitu membasuh muka, dua belah tangan hingga ke siku, menyapu kepada dan membasuh kedua-dua belah kaki) dengan dimulai dengan niat.
Setiap individu yang mahu berwuduk, wajib mengetahui cara berwuduk iaitu tahu basuhan yang wajib dan sunat.
Begitu juga wajib untuknya mengetahui dan memenuhi syarat-syarat sah wuduk supaya wuduknya sah dan solatnya diterima Allah SWT.
Syarat-Syarat Sah Wudhu
Terdapat beberapa syarat yang menjadikan wudhu itu sah.
Antaranya adalah:
Islam
Mumaiyiz iaitu kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.
Suci daripada haid dan nifas
Menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.
Tidak berubah sifat air wudhu akibat benda asing yang melekat pada anggota wudhu. Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wuduk itu yang mengubah rasa, rupa atau bau air wuduk itu.
Sekiranya ada benda asing yang melekat pada tubuh, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit.
Rukun Wudhu
Rukun wudhu adalah perkara-perkara yang wajib dilakukan ketika berwuduk supaya wudhu menjadi sempurna.
Ia mengandungi enam rukun iaitu niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu kepala, membasuh kaki hingga ke buku lali dan tertib.
Sekiranya tertinggal salah satu, maka wudhu itu tidak sah.
Cara ambil wudhu adalah seperti di bawah:
1. Niat
Lafaz niat:
Nawaitu rafaal hadasi as-ghori lillahi taala
Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala
Lafaz niat dalam bahasa arab yang diucapkan secara lisan hukumnya sunat.
Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.
Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wudhu untuk memudahkan berniat dalam hati.
2. Membasuh Muka
Bahagian muka yang wajib dibasuh dengan mengalirkan air meliputi bahagian anak rambut di dahi sehingga ke bawah tulang dagu dan melebar dari anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri termasuk rambut yang tumbuh di antaranya.
Sebaiknya, dimulakan basuhan di bahagian atas muka membawa ke bahagian bawah.
3. Membasuh Dua Tangan Hingga ke Siku
Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.
Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.
4. Menyapu Sebahagian Kepala
Memadai menyapu air pada ubun-ubun, walaupun sekadar membasahkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut asalkan rambut yang dibasahkan itu berada dalam had kepala.
Tidak sah menyapu air pada rambut yang melepasi had kepala seperti rambut pada bahagian bahu atau hujung rambut yang berikat.
Adalah lebih baik menyapu keseluruhan kepala sebagaimana amalan Rasulullah SAW.
5. Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali
Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.
Sekiranya sebahagian kaki yang wajib dibasuh kudung, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada.
Info
Apabila seseorang itu terlupa membasuh kaki selepas beredar dari tempat wudhu, dia hanya perlu membasuh kaki selagi basuhan wudhu pada kepalanya belum kering.
Tidak perlu mengulang basuhan dari awal
6. Tertib
Setiap rukun wudhu mesti dilakukan mengikut turutan sebagaimana kata Nu’aim bin Abdullah al-Mujmir:
Aku lihat Abu Hurairah r.a berwuduk, maka dibasuhnya muka dan dilebihkan sedikit daripada had muka. Kemudian dibasuh dua tangannya kanan dan kiri masing-masing sampai ke ke siku. Kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh dua kakinya kanan dan kiri masing-masing sampai ke betis. Kemudian berkata Abu Hurairah r.a: “Begini aku lihat Rasulullah SAW berwuduk”
– Riwayat Muslim
Perkara Sunat Ketika Berwudhu
Mengadap kiblat
Membaca basmallah بسم الله الرحمن الرحيم (Bismillahirrahmanirrahim) sewaktu hendak membasuh tapak tangan
Membaca taawuz
Membasuh tangan hingga ke pergelangan tangan.
Bersugi atau berkumur-kumur untuk membuang kotoran dan bau mulut.
Istinsyaq iaitu menyedut air ke dalam hidung.
Membaca lafaz niat sebelum menghadirkan niat di dalam hati.
Membasuh setiap anggota wuduk sebanyak tiga kali.
Mendahulukan membasuh anggota yang kanan daripada kiri.
Menyapu telinga dengan air
Menyelat janggut dengan air. Sunat menyelat janggut yang tebal dan lebat sekiranya tidak nampak kulit di bawahnya. Selat janggut itu dengan jari tangan yang menampung air wudhu. Untuk janggut yang nipis wajib dibasahkan keseluruhan janggut dan bahagian dagu dengan air.
Menyapu seluruh kepala.
Menyelati jari-jari tangan dan kaki. Gunakan tangan kiri untuk menyelati jari kaki kanan dan kiri. Dengan cara ini daki dan kotoran yang terdapat di celah-celah jari dapat dibersihkan untuk menyampaikan air ke situ.
Melebihkan basuhan melebihi had yang wajib. Contohnya, membasuh muka hingga sampai ke pangkal leher.
Berturut-turut (muwalat) iaitu tidak lama selang masa antara membasuh satu anggota dengan anggota berikutnya, sekira-kira belum kering air basuhan pada anggota sebelumnya.
Membaca doa selepas wudhu.
Cara Ambil Wudhu Yang Sempurna
Berikut adalah cara ambil wudhu yang sempurna dan digalakkan:
1. Mengadap Kiblat
2. Membaca Basmallah
3. Membasuh kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari sambil berdoa.
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebahagiaan dan keberkatan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sebarang kemalangan dan kebinasaan.
4. Berkumur-kumur sebanyak tiga kali sambil berdoa di dalam hati.
Ya Allah, bantulah aku dalam usaha membaca kitab-Mu dan banyak berzikir mengingati-Mu. Kukuhkanlah aku dengan kata-kata yang kukuh di dunia dan di akhirat.
5. Istinsyaq iaitu membersihkan lubang hidung dengan cara menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya.
Perbuatan ini dilakukan sebanyak tiga kali sambil berdoa:
Ya Allah, ciumkanlah aku dengan bauan syurga dan Engkau redha kepadaku.
Ketika mengeluarkan air berdoa pula dengan doa ini:
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada menghidu bauan neraka dan seburuk-buruk tempat tinggal.
6. Membasuh muka sebanyak tiga kali dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.
Basuhan dimulakan pada bahagian dahi dan turun perlahan-lahan ke anak telinga, hidung dan dagu.
Lafaz niat sebelum air mengenai muka:
Sahaja aku mengambil wuduk fardu atasku kerana Allah Taala.
Apabila air mengenai muka, mulakan berniat dalam hati dan membaca doa:
Ya Allah, putihkan mukaku dengan nurMu pada hari putihnya muka para waliMu dan jangan hitamkan mukaku sepertimana Engkau gelapkan muka musuh-musuhMu.
7. Membasuh kedua-dua tangan hingga melebihi had siku sebanyak tiga kali.
Mulakan dengan tangan kanan, dari jari hingga ke siku sambil berdoa:
Ya Allah, berilah catatan amalan dari sebelah kananku dan hisablah aku dengan mudah.
Perkara yang sama dilakukan pada tangan kiri sambil berdoa.
Ya Allah aku berlindung kepadaMu supaya janganlah Engkau berikan catatan amalanku dari sebelah kiriku atau dari sebelah belakangku.
8. Mengapu sebahagian ubun-ubun atau keseluruhan kepala sambil berdoa:
Ya Allah lindungi daku dengan rahmatMu dan limpahi daku keberkatanMu. Dan masukkan daku di bawah naungan ArasyMu pada hari tiada perlindungan kecuali perlindunganMu sahaja. Ya Allah, haramkan rambutku dan kulitku daripada api neraka.
9. Membasuh kedua-dua telinga luar dan dalam sebanyak tiga kali.
Cara membasuh dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga dan ibu jari diletakkan di belakang telinga, kemudian ditolak ke atas.
Doa yang elok dibaca ketika ini:
Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang yang mendengar peringatan lalu mengikutinya. Ya Allah dengarkanlah kepadaku seruan syurga bersama-sama orang yang baik.
10. Membasuh kaki hingga ke buku lali atau lebih, sebanyak tiga kali.
Basuhan dimulakan dengan kaki kanan sambil menyelati jari-jari kaki.
Ketika membasuh kaki kanan bacalah doa:
Ya Allah, tetaplah dua kakiku di atas Titian Mustaqim pada hari tergelincir kaki-kaki lalu jatuh ke dalam Neraka.
Lakukan pula pada kaki kiri dan baca doa:
Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada tergelincir kakiku di atas Titian Mustaqim ke dalam neraka pada hari tergelincir kaki orang munafik.
11. Membaca doa selepas wudhu.
Doa Selepas Wudhu
Selepas selesai mengambil wudhu, disunatkan untuk membaca doa berikut:
Asy-hadu alla ilaha illallahu wahdahu lasyarikalah,
wa-asy-hadu anna muhammadan ‘abduhu warasuluh.
Allahummaj’aini minat tauwabin
waj’aini minal mutatahhirin
waj’alni min ‘ibadikas-solihin.
Maksudnya:
Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tidak ada sekutu untukNya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya. Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepadaMu. Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih. Dan jadikan aku daripada golongan hambaMu yang soleh.
Sekiranya tidak membaca doa di atas, wudhu tetap sah.
Doa ini terdapat dalam kitab Hidayatus Salikin.
Perkara yang Membatalkan Wudhu
Wudhu boleh terbatal dengan beberapa perkara ini:
Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur meliputi benda yang cair, keras, kering, basah dan angin, sama ada ada sedikit atau sebanyak.
Tidur tidak tetap kedudukan dua papan punggung.
Hilang akal kerana mabuk, pengsan, gila, tidur, pitam dan lain-lain.
Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah (ajnabi / bukan mahram) tanpa berlapik.
Menyentuh kemaluan hadapan atau belakang dengan perut tapak tangan atau perut anak jari dengan tidak belapik. Kemaluan itu sama ada kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang telah mati.
Perkara Makruh Ketika Berwuduk
Terdapat beberapa perkara makruk ketika berwuduk. Perkara tersebut adalah:
Menggunakan air yang telalu sejuk atau terlalu panas
Menggunakan air yang terjemur di dalam bekas yang mudah berkarat atau bekas yang sudah berkarat kerana dibimbangi menyebabkan penyakit sopak
Berlebih-lebihan menggunakan air seperti membasuh anggota wudhu lebih daripada tiga kali.
Menggelap anggota wuduk tanpa sebarang keuzuran. Tidak makruh sekiranya ada keuzuran seperti dalam keadaan terlalu sejuk.
Berwudhu di dalam tandas.
Meminta pertolongan daripada orang lain untuk menjirus air ke anggota wudhu tanpa sebarang keuzuran kerana hal ini dikhuatiri membawa kepada sifat sombong.
Mendahulukan anggota kiri daripada anggota kanan.
Berlebih-lebihan berkumur ketika berpuasa kerana dibimbangi air akan masuk ke dalam kerongkong dan membatalkan puasa.
Menepuk air ke muka atau mengambil wudhu secara tergopoh-gapah.
Berbual-bual ketika berwuduk.
Penutup
Firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”
— Surah al-Ma’idah, ayat 6
Wuduk dalam bahasa Arab berasal daripada al-wada’ah yang membawa makna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan).
Daripada istilah ‘kebaikan’ dan ‘kebersihan’ ini dapat difahami bahawa pensyariatan wuduk membawa satu mesej penting dalam kehidupan kita sebagai Muslim yang perlu sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga kebersihan zahir mahupun batin.
Ayuh kita perbaiki cara berwuduk dan pertingkatkan kualitinya.
Kita amalkan wuduk yang sempurna agar pada hari kiamat nanti kita tergolong dalam kalangan umat yang anggotanya bercahaya disebabkan kesan wuduk sempurna.
The post Cara Ambil Wudhu Dengan Sempurna (Panduan Lengkap) appeared first on AKU ISLAM.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://akuislam.com/blog/ibadah/cara-ambil-wudhu/