Cap Gesa Kuarantin Paksa Terhadap Jemaah Pulang Dari Perhimpunan Tabligh Indonesia
   FMT Reporters

CAP berkata jemaah tabligh yang pulang dari Indonesia mungkin menyebabkan penyebaran Covid-19. PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa  kuarantin secara paksa selama 14 hari terhadap rakyat Malaysia yang  pulang dari perhimpunan tabligh di Indonesia.
 Ia juga menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan Pulau Jerejak sebagai pusat kuarantin sementara bagi wilayah utara.
 Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader,  berkata kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengenakan perintah  berkurung sepenuhnya kerana perintah kawalan pergerakan (MCO) tidak  berkesan.
 Beliau berkata menurut Menteri Pertahanan Ismail Sabri  Yaakob, hanya 60% rakyat mematuhi sekatan 14 hari tersebut dan  “peratusan ini tidak impresif dalam keadaan seperti ini”.
Mohideen berkata kenyataan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein  bahawa rakyat Malaysia yang kembali dari Indonesia akan menjalani  pemeriksaan kesihatan yang ketat dan kuarantin diri seperti yang  dikehendaki di bawah MCO “tidak begitu meyakinkan”.
 “Ini kerana jika 83 peserta dapat memahami dan menghormati keperluan  untuk kuarantin diri, mereka tidak akan berkumpul dalam jumlah tersebut  sehingga melanggar setiap peraturan untuk mengurangkan risiko penularan.
 “CAP akan mencadangkan kuarantin paksa selama 14 hari selepas tiba di lapangan terbang.
 “Mereka mungkin menyebarkan penyakit itu tanpa memperlihatkan  sebarang gejala selama tempoh ini dan kami bimbang kemungkinan  penyebaran di lapangan terbang dan semasa penerbangan itu sendiri.
 “Mereka mungkin menyebarkan penyakit itu kepada ahli keluarga jika mereka dikuarantin di rumah,” katanya.
 Mengenai cadangan menggunakan Pulau Jerejak sebagai pusat  kuarantin sementara bagi wilayah utara, Mohideen berkata ia digunakan  sebagai pusat kuarantin kesihatan untuk pendatang asing pada 1875 dan ia  boleh dikunjungi hanya menaiki bot selama 5 minit dari Pulau Pinang.
“Ia mempunyai kawasan lapang, terpencil dan kira-kira 6km dari  Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dalam keadaan kecemasan,  pengangkutan dari Hospital Pulau Pinang dengan mudah dapat sampai ke  jeti Pulau Jerejak, berjarak 11km, menggunakan Lebuhraya Tun Dr Lim  Chong Eu dalam masa 20 minit. Ia juga boleh diakses melalui laut,”  katanya.
 Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai kelengkapan untuk menangani  pandemik Covid-19 atau kecemasan skala besar kerana pada November lalu,  hospital awam dan swasta di Malaysia hanya mempunyai katil hospital  dengan nisbah jumlah penduduk (BPR) sebanyak 1.98 katil setiap 1,000  penduduk.
 “Sasaran purata bagi negara maju adalah 2.5 katil bagi setiap 1,000  penduduk. Secara ringkas, kita tidak cukup katil untuk menampung  sejumlah besar kes yang memerlukan kemasukan hospital.
 “Ia membimbangkan kerana 1.9 katil bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia kekal sama sejak 2012,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/cap-gesa-kuarantin-paksa-terhadap.html