Busana Pro Lgbt Fathul Bari Persoal Gedung Fesyen H M
MALAYSIAKINI      
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Fathul Bari Mat Jahya  mempersoalkan hubungan antara jenama fesyen H&M di United Kingdom  dan gedungnya di Malaysia dalam kaitan dengan kempen Pertubuhan  Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual  dan transgender (LGBT)
Pemimpin Umno itu membuat hantaran di  Twitter mengulas satu lagi ciapan yang menggesa boikot terhadap jenama  itu kerana koleksi pakaian "Love for all" memaparkan rangkaian rekaan berilhamkan pelangi dan pesanan mempromosikan cinta.
"Adakah  H&M Malaysia turut terlibat dalam kempen LGBT seperti yang tertera  di instagram H&M induk United Nation Free Equal iG?
"Iaitu hasil jualan 10 peratus akan diberikan kepada gerakan UN Free Equal untuk mendokong perjuangan LGBT?" soal Fathul Bari.
Malaysiakini sedang menghubungi H&M Malaysia bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.
Ciapan  Fathul Bari di Twitter itu mendapat maklum balas dengan ada yang  mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mengulas tuntuan boikot  berkenaan, manakala ada juga yang mempertikaikan kenapa hanya H&M  saja yang menjadi sasaran sedangkan jenama lain juga banyak yang  menyokong agenda LGBT.
Pengkritik Fathul Bari di Twitter juga berkata 10 peratus hasil jualan yang akan disumbangkan itu cuma untuk koleksi pakaian "Love for all" dan bukan pakaian lain jenama itu.
Pengarah  Pemasaran dan Komunikasi Global H&M Sara Spännar dalam satu  kenyataan berkata koleksi pakaian itu boleh didapati di gedung terpilih  di seluruh dunia sepanjang bulan ini dan 10 peratus daripada hasil  jualan akan didermakan untuk kempen PBB yang memperjuangkan hak dan  layanan saksama dan adil terhadap golongan lesbian, gay, biseksual,  transgender dan interseks di seluruh dunia.
Pejabat Pesuruhjaya  Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) melancarkan kempen global UN Free  & Equal pada Julai 2014 untuk mempromosikan kesedaran mengenai hak  dan perlakuan adil bagi orang LGBTI.
LIHAT TWITTER DI SINI
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/busana-pro-lgbt-fathul-bari-persoal.html