Buli Siber Menjadi Aktiviti Jenayah Tanpa Sempadan
Buli siber satu fenomina dalam kepesatan dunia siber atau alam maya. Tidak ramai pengguna maya berasa dia telah menjadi mangsa buli. Begitu juga pembuli siber tidak sedar dia telah menjadi pembuli. Buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik dan internet. Antara jenis buli siber ialah mesej yang mengganggu dan mengancam, menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain. Perbuatan lain termasuk perbuatan buli siber ialah memanjangkan e-mel, foto atau video kepada orang lain, memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh, sexting (tindakan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual menggunakan telefon bimbit atau laman sosial) dan memulaukan individu tertentu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja. Buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri. Buli siber adalah salah di sisi undang-undang. Jauhi diri anda daripada menjadi mangsa buli siber dengan cara mengamalkan keselamatan internet. Jangan dedahkan atau kongsi kata laluan atau kunci. Jika kita tidak senang dibuli, begitu juga orang lain. Jadi, jangan mulakan atau amal perbuatan membuli. Wujudkan suasana selamat dan aman di media sosial. Sememangnya sifat semula jadi manusia menggemari sesuatu yang mengujakan, melucukan ataupun menyentuh emosi. Sifat ini biasanya disusuli dengan tolakan yang kuat untuk menyebar dan menghebahkannya akibat teruja untuk berkongsi perasaan yang sama. Mungkin di sini bermulanya kebanyakan video, gambar dan cerita yang tular dalam masyarakat hari ini. Kewujudan alam tanpa sempadan atas nama internet, media sosial dan seangkatan dengannya pula menjadi pemangkin bagi fenomena ini. Tidak kira siapa yang merakam atau menyebarkannya, apa yang kita tahu ialah ia tular ke segenap kumpulan media sosial dan laman web seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Ia disambut dengan senyuman, tawa dan akhirnya kembali ditularkan. Namun, pada sisi lain fenomena ini yang sering kita terlepas pandang ialah akibat dan kesannya kepada mangsa yang dirakam. Perbuatan merakam dan menyebar tanpa izin bukan sahaja menyalahi sempadan peribadi individu, malah lebih teruk, memberi kesan secara langsung kepada subjek yang dirakam. Dimalukan, menjadi bahan tawa dan diejek adalah komplikasi yang lumrah hasil tangan manusia itu sendiri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2023/01/hhh.html