Bukit Kepong Saya Lihat Sendiri Polis Dan Keluarga Mereka Dibunuh Dibakar
Syahril A. Kadir                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Temubual  eksklusif bersama bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri Datuk Seri J.  J Raj Jr. di kediamanya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. foto  AFFAN FAUZI,             TANGGAL 22 Februari 1950.
Ketua Polis Pagoh, Inspektor J.J Raj bersama 10 anggotanya yang lain  menuju ke Balai Polis Bukit Kepong untuk membuat lawatan dan pemeriksaan  ke atas balai tersebut. Ketibaan mereka disambut ketuanya, Sarjan Jamil  Mohd. Shah dan penghulu kampung, Penghulu Ali.
Raj dan Jamil ketika itu masih muda, masing-masing baru berumur 27 dan 28 tahun
Selepas menikmati makan tengah hari, kesemua mereka menaiki basikal membuat rondaan di sekitar pekan Bukit Kepong.
Pekan itu kecil sahaja, hanya ada kira-kira 30 buah kedai orang Cina  tetapi di sekitar kampung-kampung berhampiran ada lebih kurang 1,300  penduduk yang terdiri daripada orang-orang Melayu.
Sebenarnya selain daripada rondaan biasa, kedatangan Raj membawa  maksud yang lebih penting. Beliau bimbang kerana mendapat laporan awal  dari Cawangan Khas yang mengatakan kemungkinan komunis akan cuba  melakukan serangan ke atas balai-balai polis yang berada di bawah  seliaannya.
Untuk rekod, selaku Ketua Polis Pagoh, Raj bertanggungjawab menyelia  dan menjaga 20 pondok serta 20 buah balai polis termasuk Balai Polis  Bukit Kepong.

Sebelum beredar dari Bukit Kepong kira-kira pukul 7 malam, Raj sempat  berpesan kepada Jamil agar berhati-hati. Beliau juga menyerahkan  beberapa buah senjata dan peluru tambahan kepada Jamil sebagai  persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Jangan bimbang Tuan OCPD, biar putih tulang, jangan putih mata,” kata Jamil.
Ketika itu Raj tidak begitu faham apa yang cuba disampaikan oleh  Jamil. Selepas bersalaman, beliau pun bertolak pulang ke Pagoh untuk  menjalankan tugasnya seperti biasa.
Rupa-rupanya sepanjang sehari suntuk bersama Jamil, Penghulu Ali dan  orang-orang kampung, ada kira-kira 180 orang pengganas komunis sedang  memerhatikan pergerakan mereka dari jauh.
Mereka sudah pun mengepung kawasan di belakang balai polis tersebut  namun ia tidak disedari oleh Raj, Jamil dan yang lain-lain kerana  kawasan berkenaan dikelilingi semak samun dan hutan yang tebal.
SERANGAN SUBUH
Tepat kira-kira pukul 4.30 pagi hari berikutnya, pengganas meniup  trumpet buat kali pertama sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu ke  arah Balai Polis Bukit Kepong.
Sebaik sahaja menyedari perkara tersebut, Jamil dan 20 orang  anggotanya mengambil tempat masing-masing sebelum membalas tembakan  menggila daripada ratusan pengganas komunis itu.
Jamil dan anggotanya berlindung daripada peluru yang bersimpang-siur dari dalam kubu yang terletak di balai berkenaan.
Mereka bertempur hampir dua jam lamanya tanpa henti.
Walaupun kekuatan musuh hampir tujuh kali ganda daripada mereka,  Jamil dan anak-anak buahnya tidak menghiraukan situasi tersebut.
Dengan senjata dan peluru yang terhad, mereka tetap cuba bertahan agar balai berkenaan tidak jatuh ke tangan musuh.
Kira-kira pukul 6.30, pengganas komunis meniup trumpet untuk kali kedua meminta anggota-anggota polis di situ menyerah diri.
Biarpun menyedari ramai anggotanya telah terbunuh dan cedera parah,  Jamil tetap enggan menyerah sebaliknya terus menjerit kata-kata yang  pernah dia lafazkan pada Raj beberapa jam sebelumnya – biar putih  tulang, jangan putih mata!
Berang dengan pekikan keramat Jamil, pengganas komunis meniup trumpet mereka untuk kali ketiga.
Rupanya tiupan itu adalah ‘signal’ untuk memberitahu rakan-rakan  mereka agar mempergiatkan serangan. Kali ni pengganas komunis semakin  mara ke hadapan. Pun begitu mereka masih gagal untuk masuk ke dalam  kawasan balai disebabkan tindak balas agresif Jamil dan anak-anak  buahnya.
Berang dengan situasi tersebut, mereka mula melemparkan ‘molotov  cocktail’ hingga menyebabkan Balai Polis Bukit Kepong habis terbakar.
BERGEGAS KE LOKASI
Jam pukul 6 pagi.
Raj yang masih lagi kepenatan setelah mengharung perjalanan panjang  dari Bukit Kepong ke Pagoh, tiba-tiba dikejutkan dengan berita serangan  ke atas Balai Polis Bukit Kepong daripada anggota di Balai Polis Lenga.
Laporan itu diterima daripada penduduk Kampung Durian Chondong yang terletak tidak jauh dari Bukit Kepong.

Temubual  eksklusif bersama bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri Datuk Seri J.  J Raj Jr. di kediamanya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. foto  AFFAN FAUZI,“Sebenarnya sewaktu serangan, penduduk kampung di situ  ‘terkeliru’…mereka menyangka ia adalah letupan bunga api dan mercun  kerana kebetulan hari itu adalah sambutan tahun baru Cina.
“Akhirnya setelah mengenalpasti ia adalah bunyi tembakan, penghulu  kampung tersebut mengarahkan dua orang anak buahnya menaiki sampan pergi  ke Balai Polis Lenga, dari situlah berita itu dipanjangkan kepada saya  di Pagoh,” kata Raj dalam eksklusif dengan Malaysia Gazette di  kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Sebaik sahaja mendapat khabar mengejutkan itu, Raj bersama 10 orang  anggotanya segera mengambil keputusan untuk kembali semula ke Bukit  Kepong.
Namun untuk kembali semula ke balai polis itu bukanlah satu perkara yang mudah.
Ini kerana mereka perlu menempuh perjalanan melalui darat dan sungai  disamping perlu berwaspada daripada ancaman serangan hendap oleh  pengganas komunis yang bersembunyi dalam kawasan hutan di situ.
Hanya kira-kira tiga jam kemudian, barulah mereka tiba di balai malang tersebut.
“Bila saya sampai, saya nampak balai polis itu telah terbakar, hati  saya luluh, saya hampir tidak mengenali anggota-anggota polis ini kerana  kebanyakannya telah rentung, setelah ditembak, komunis membakar pula  mayat mereka.
“Paling menyedihkan, mereka juga menembak hingga mati isteri dan  anak-anak anggota ini, mayat mereka juga turut dibakar!,” kata Raj.

Temubual  eksklusif bersama bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri Datuk Seri J.  J Raj Jr. di kediamanya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. foto  AFFAN FAUZI, Menurutnya, antara perkara pertama yang mereka lakukan ketika sampai  di balai polis itu adalah mengumpulkan anggota polis yang cedera untuk  dihantar ke hospital dengan menaiki bot.
Disebabkan terlalu sedih melihat keadaan yang menimpa rakan-rakan  mereka, anggota-anggota polis yang datang bersamanya tadi menjadi  terlalu marah dan nekad untuk membalas dendam.
Namun beliau meminta mereka supaya bersabar dan memantau keadaan di  situ terlebih dahulu agar tidak ‘tersalah langkah’ dalam mermbuat  tindakan susulan.
“Mereka akhirnya akur dan diam sahaja…sebenarnya saya bimbang, kalau  saya tak keluarkan arahan sebegitu, mereka akan tembak semua orang Cina  di sana kerana ‘panas hati’.
“Saya kata jangan, sabar dulu,” kata Raj.

Temubual  eksklusif bersama bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri Datuk Seri J.  J Raj Jr. di kediamanya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. foto  AFFAN FAUZI, SEMANGAT MELAYU
Menyentuh mengenai semangat juang anggota-anggota polis di balai  tersebut, Raj mengakui, keberanian dan semangat yang mereka miliki  ternyata luar biasa.
“Mereka tidak faham (mengerti) apa erti menyerah kalah, Sarjan Jamil  dan para anggotanya sebagai contoh, mereka boleh saja ambil jalan senang  (mudah) dengan menyerah diri apatah lagi bila mengenangkan ada anak dan  isteri mereka (di balai itu), namun mereka nekad untuk tidak mahu  berbuat demikian.
“Saya perhatikan ada dua perkara yang membuatkan semangat dan  kemarahan orang Melayu akan memuncak, pertama jika agama mereka digugat  dan kedua jika keluarga mereka diganggu…inilah yang komunis buat pada  mereka di Balai Polis Bukit Kepong sebab itu tidak hairan mengapa mereka  begitu bersemangat melawan dan langsung tidak gentar.

Temubual  eksklusif bersama bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri Datuk Seri J.  J Raj Jr. di kediamanya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. foto  AFFAN FAUZI, “Sampaikan anggota polis marin yang menjaga bot di sungai pun  langsung tidak ‘cabut lari’…malah mereka sanggup tunggu dan melawan  walaupun akhirnya mereka juga terkorban,” kata Raj.
Untuk rekod, dalam serangan berdarah itu, seramai 27 orang telah  terkorban iaitu 14 orang daripadanya adalah anggota polis, polis bantuan  (5), isteri polis (4) dan anak-anak mereka (4). Empat anggota polis  juga mengalami kecederaan parah.

Dalam pada itu, Raj yang kini usianya telah mencecah 99 tahun  berharap, generasi sekarang tidak akan melupakan sejarah dan pengorbanan  mereka yang berjuang bermati-matian dalam usaha untuk melihat negara  ini mencapai keamanan seperti mana yang dinikmati ketika ini.

Temubual  eksklusif bersama bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Tan Sri Datuk Seri J.  J Raj Jr. di kediamanya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. foto  AFFAN FAUZI,Namun corak perjuangan sekarang, menurut Raj, mungkin sudah berubah  di mana ia memerlukan mereka menggunakan lebih banyak pemikiran  berbanding kudrat.
“Mereka perlu berkata pada diri mereka…ibu bapa saya telah banyak  berkorban…jadi saya perlu memastikan telah membuat persiapan dan segala  keperluan bagi menghadapi sebarang keadaan dan situasi yang mendatang,”  katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Raj yang kini bergelar Tan Sri bersara daripada pasukan Polis Diraja  Malaysia (PDRM) dengan pangkat Komisioner Polis. Jawatan terakhirnya  adalah Pengarah Pengurusan PDRM sebelum meninggalkan Bukit Aman. –  Malaysia Gazette
https://www.youtube.com/watch?v=ox4-0IMlJRU
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/bukit-kepong-saya-lihat-sendiri-polis.html