Buka Semula Sekolah Bukti Kerajaan Prihatin Pelajar Luar Bandar Kata Radzi
   Bernama

Menteri  Pendidikan Radzi Jidin berkata, kerajaan sedar mengenai kekangan  
dihadapi pelajar di luar bandar dari segi akses internet dan gajet  seperti komputer
 riba yang boleh digunakan untuk mengikuti pembelajaran  secara dalam talian. 
(Gambar Bernama)SANDAKAN: Pembukaan semula sesi persekolahan dalam tempoh perintah  kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) mencerminkan keprihatinan kerajaan  terhadap kebajikan pelajar, khususnya di luar bandar yang berdepan  masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam  talian, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Beliau berkata, walaupun kementerian berusaha mencari jalan untuk  menangani masalah itu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sesi  persekolahan secara beperingkat dengan mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.
“Kami sedar mengenai kekangan dihadapi pelajar di luar bandar. Selain  (akses) internet, kebanyakan pelajar tidak mempunyai gajet seperti  komputer riba yang boleh mereka gunakan untuk mengikuti pembelajaran  secara dalam talian.
“Jadi, kami (kerajaan) memutuskan membuka semula sesi persekolahan  kerana tahu banyak pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, tidak  dapat berkomunikasi dengan guru atau menerima bahan pembelajaran  walaupun pelbagai usaha diambil untuk memastikan pelajar tidak  ketinggalan dalam pelajaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas  melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di sini, hari ini.
Dalam rangka lawatan 2 hari beliau ke Sandakan, Radzi berkata, beliau  melawat beberapa sekolah di daerah itu dan berpuas hati mereka mematuhi  SOP sepanjang 3 fasa pertama pembukaan sekolah, termasuk pengendalian  asrama.
Pembukaan semula sesi persekolahan bermula dengan pelajar Tingkatan 5  dan 6 atas pada 24 Jun, diikuti prasekolah pada 1 Julai serta Tingkatan  1 hingga 4 dan Tingkatan 6 rendah dan murid Tahun 5 dan 6 pada 15  Julai, manakala murid Ttahun 1 hingga 4 dijadual kembali ke sekolah pada  22 Julai.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/buka-semula-sekolah-bukti-kerajaan.html