Buat Perniagaan Berasaskan Perkhidmatan


Apabila kita merancang untuk memulakan bisnes sendiri, lazimnya ada dua jenis bisnes yang boleh kita pilih.
Jenis bisnes tersebut adalah menjual produk fizikal ataupun bisnes yang berasaskan menjual perkhidmatan.
 
Perniagaan berasaskan perkhidmatan adalah merujuk kepada satu cabang perniagaan dimana sesebuah syarikat itu menjual dan menyediakan perkhidmatan tertentu kepada pelanggan, dan bukannya menjual produk dalam bentuk fizikal.
 
Bisnes perkhidmatan atau memberikan servis ini boleh dijalankan oleh orang perseorangan, ataupun dijalankan secara berkumpulan melalui penubuhan sebuah syarikat.

Prospek pelanggan yang bakal mendapatkan khidmat ini juga sebenarnya agak besar. Ia boleh jadi terdiri daripada orang perseorangan (business to consumer), pemilik perniagaan (business to business) dan termasuk juga pihak kerajaan (business to government).
 
Diluar sana, terdapat banyak jenis perkhidmatan yang anda boleh jadikan pilihan untuk memulakan bisnes berasaskan perkhidmatan.
 
Tapi sebelum kita terus membuka atau memulakan perniagaan kita sendiri, ada baiknya kita luangkan sedikit masa untuk lihat terlebih dahulu beberapa perkara, seperti kelebihan dan juga kelemahan memulakan bisnes perkhidmatan.
 
Memulakan bisnes jenis perkhidmatan juga mempunyai kekurangan dan cabarannya yang tersendiri. Kelemahan yang terdapat pada bisnes berasaskan perkhidmatan yang bakal kita bincangkan nanti mungkin tak ada pada bisnes jenis menjual produk. Apa pun, kajian yang mendalam perlulah dilakukan sebelum terus memulakan sebarang bentuk perniagaan.

 
Apa kelebihan memulakan perniagaan berasaskan perkhidmatan? Bisnes berasaskan perkhidmatan memiliki potensi yang besar dalam memberi pulangan yang lumayan.
 
Namun, selain faktor untung, ada beberapa lagi kelebihan yang perlu kita tahu mengenai memulakan bisnes perkhidmatan. Tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita lihat apa lagi manfaat dari perniagaan berasaskan perkhidmatan ini.
 
(1) Modal permulaan yang secara relatif lebih rendah
Kalau kita buat perbandingan antara memulakan bisnes menjual produk dengan bisnes yang berasaskan perkhidmatan, kita boleh katakan yang bisnes dalam bidang perkhidmatan ini adalah lebih murah berbanding menjual produk fizikal.
 
Mungkin ada yang tak setuju seratus peratus dengan kenyataan ini. Saya faham, tapi sila dengar dulu pendapat yang saya nak kongsikan ini.
 
Untuk mengatakan bisnes berasaskan perkhidmatan ini lebih rendah modalnya, kita perlu lihat juga apakah jenis perkhidmatan yang kita bakal tawarkan.
 
Sudah tentu, apabila kita ingin memulakan bisnes jenis perkhidmatan, kita akan pilih bisnes yang kita sudahpun mempunyai segala persiapan dan kepakaran yang diperlukan.
 
Saya beri contoh, kita ingin menawarkan khidmat urutan.
Kita andaikan, mereka yang memilih bisnes ini sudah mempunyai kemahiran dan kepakaran yang diperlukan.
 
Modal yang diperlukan adalah dalam bentuk
i. Kemahiran mengurut
ii. Kepakaran dalam bidang urutan
iii. Minyak untuk kegunaan sesi urut
 
Kalau dari segi tempat untuk sesi urut, boleh dijalankan dirumah pelanggan.
 
Tapi kalau kita bandingkan dengan menjual produk atau barangan tertentu, kita perlukan modal yang lebih besar untuk tujuan
i. Menghasilkan produk
ii. Pembungkusan
iii. Penyimpanan produk
iv. Membeli stok
v. Kos penghantaran produk
 
Diluar sana mungkin ada bisnes dalam bidang servis yang kos permulaannya lebih tinggi berbanding kos memulakan bisnes menjual produk. Saya tak menolak kebarangkalian itu, namun secara relatif menjalankan bisnes berasaskan perkhidmatan adalah lebih rendah modalnya.
 
(2) Kos menjalankan perniagaan juga lebih rendah
Selain daripada persoalan tentang modal untuk memulakan bisnes berasaskan perkhidmatan yang rendah, kita juga dapat lihat bahawa kos operasi untuk menjalankan bisnes jenis ini juga tidak terlalu tinggi.
 
Sekali lagi, saya bawakan contoh perkhidmatan urut.
 
Apakah kos yang terlibat dalam menjalankan perniagaan ini?
Kos semasa proses mendapatkan pelanggan
i. Kos pengiklanan
 
Proses semasa memberi perkhidmatan
i. Kos pengangkutan untuk ke tempat pelanggan
ii. Kos penggunaan minyak urut
iii. Kos penggunaan tempat untuk sesi urutan
 
Perniagaan boleh dijalankan walaupun tanpa premis perniagaan mahupun pejabat
Biasa pada peringkat permulaan, anda boleh mula menjalankan perniagaan jenis servis walaupun anda tak mempunyai premis perniagaan ataupun pejabat.
 
Bagi urusan pendaftaran alamat perniagaan, anda boleh gunakan alamat kediaman (untuk sementara) atau menyewa alamat pejabat (virtual office). Selebihnya, dalam urusan mendapatkan pesanan (close deal) dengan bakal pelanggan, semua ini boleh dilakukan melalui media sosial atau whatsapp.
 
Zaman sekarang ini anda sudah tak perlu bergantung kepadap pelanggan yang lalu lalang dihadapan premis perniagaan anda, untuk mendapatkan jualan.
Ada kategori pelanggan yang lebih suka kalau anda boleh datang ke tempat pelanggan tersebut tinggal, berbanding pelanggan tersebut perlu keluar rumah.
 
(3) Boleh dimulakan cepat
Bisnes jenis perkhidmatan ini anda boleh mula segera sebaik sahaja anda bersedia untuk memberikan perkhidmatan tersebut. Ini sangat berbeza dengan bisnes yang berasaskan barangan atau produk.
 
Kalau bisnes menjual produk, anda perlu bersedia dari segi premis perniagaan, memastikan susun atur berada dalam keadaan terbaik dan sebagainya.
 
Sebaliknya, kalau bisnes jenis perkhidmatan, anda boleh terus mula asalkan tools untuk kerja pemasaran telahpun siap. Tools yang saya maksudkan adalah seperti
i. Poster perniagaan anda
ii. Laman web atau blog perniagaan
iii. Akaun media sosial untuk bisnes anda
 
Kesemua tools ini boleh disediakan dalam masa yang lebih pantas, berbanding kelengkapan untuk menjalankan bisnes menjual barangan.
 
(4) Potensi untuk dapat pelanggan ulangan
Kita bercerita tentang repeat customer pula.
 
Pelanggan yang sudah berpuas hati dengan khidmat yang diperolehi, biasanya akan bertukar menjadi pelanggan setia. Dia tidak akan tukar penyedia perkhidmatan lain, apabila telah puas hati dengan perkhidmatan yang diterima.
 
(5) Potensi pendapatan yang tinggi
Saya katakan, potensi pendapatan yang bakal diperolehi adalah tinggi, kerana saya mengambil kira faktor seperti kos untuk menjalankan bisnes yang agak rendah. Point ini ada saya bincangkan sebelum ini.
 
Andaikata penjual meletakkan harga RM100 untuk upah perkhidmatan, dan kos untuk menjalankan bisnes hanyalah RM15, maka selebihnya itu adalah keuntungan.
 
(6) Potensi untuk membina kepakaran
Akhir sekali, saya kira satu cara untuk membina kepakaran dalam sesuatu bidang adalah apabila kita mengulang-ulang melakukan perkara yang sama.
 
Setiap pelanggan yang diperolehi, adalah peluang untuk anda menggunakan dan menajamkan lagi kemahiran dan kepakaran anda. Apabila anda sentiasa lakukan perkara yang sama, lama kelamaan anda pasti akan jadi pakar dalam bidang tersebut.
 
Cabaran menjalankan bisnes dalam bidang servis Ada banyak kelebihan yang dapat kita perolehi apabila menjalankan bisnes dalam bidang perkhidmatan. Kelebihan tersebut mungkin ada antaranya yang tak terdapat pada bisnes berasaskan produk.
 
Tapi ini tak bermakna memulakan dan membina perniagaan berasaskan perkhidmatan itu mudah. Ia tetap mempunyai cabaran yang tersendiri.
 
Sebagai usahawan, anda perlu melakukan kajian pasaran, mengenalpasti keperluan, menganalisa tahap persaingan, mengenalpasti potensi keuntungan dan sebagainya.
 
Apabila anda ingin melancarkan perniagaan anda yang berasaskan kepada perkhidmatan, ada beberapa perkara yang akan memberikan anda cabaran, misalnya dari segi
 
(1) Mendapatkan pelanggan baru
Proses untuk mendapatkan pelanggan baru boleh jadi satu proses yang amat sukar, terutama sekali jika anda merupakan pemain baru dalam industri.
 
Lebih-lebih lagi kalau ditempat anda sudah mempunyai pesaing lain yang lebih berpengalaman berbanding anda.
Dalam bidang perkhidmatan, kalau pelanggan sudah berpuas hati dengan penyedia perkhidmatan (service provider) tertentu, biasanya mereka agak sukar untuk bertukar kepada penyedia lain.

Sebab apa?
Sebab tiada jaminan yang penyedia perkhidmatan yang baru ini nanti dapat berikan khidmat yang setara atau lebih baik berbanding penyedia perkhidmatan sedia ada.
 
Pelanggan ini sudah biasa dengan penyedia perkhidmatan sedia ada, sudah tahu apa kelebihan, kalau ada kekurangan sekalipun, mereka sudah tahu bagaimana untuk berdepan dengan kekurangan tersebut.
 
Kalau nak tukar dengan penyedia perkhidmatan baru, pelanggan ini tak ada apa-apa maklumat tentang pemain baru ini.
Mereka juga bimbang, kalau-kalau servis yang baru ini nanti, lebih teruk berbanding sebelum ini.
 
Kalau lebih bagus, lebih murah dan lebih mudah… itu bonus.
Bagaimana kalau lebih teruk?
Tak pasal-pasal dia perlu bertukar semula kepada penyedia perkhidmatan yang asal.
 
(2) Menetapkan harga perkhidmatan
Menetapkan kadar harga yang berpatutan untuk perkhidmatan yang bakal diberikan adalah satu tugasan yang agak rumit.
 
Ada banyak perkara yang perlu diberikan pertimbangan, antaranya
i. Berapakah kos untuk kita memberikan perkhidmatan tersebut
ii. Berapakan harga yang ditetapkan oleh orang lain yang memberi khidmat yang sama
iii. Patutkah letak harga yang sama, kalau perkhidmatan kita lebih baik berbanding orang lain?
iv. Wajarkan letak harga lebih murah kalau kita yakin kepakaran kita adalah lebih tinggi berbanding orang lain?
 
Perkhidmatan ini adalah sesuatu yang kita tak nampak.
Untuk menentukan tahap kualiti, bagus atau sebaliknya, kita kena lalui sendiri perkhidmatan tersebut.
 
Pada masa yang sama, kualiti perkhidmatan ini dinilai bergantung kepada tahap expectation individu tersebut. Kalau dia pernah menerima perkhidmatan yang sangat baik sebelum ini, dia akan merasakan sebarang perkhidmatan yang kurang daripada pengalaman tersebut, adalah kurang baik.
 
(3) Bersaing dalam pasaran
Oleh kerana memulakan bisnes jenis perkhidmatan ini mempunyai kelebihan seperti modal permulaan yang rendah, kos operasi yang rendah dan sebagainya, anda mungkin akan dapati persaingan dalam pasaran juga agak sengit.
 
Ada banyak penyedia perkhidmatan, sama ada yang baru nak masuk dalam pasaran atau sedia ada memberi anda tekanan dan persaingan yang sengit.
 
(4) Pengurusan masa
Masa memberikan impak yang amat besar dalam bisnes jenis perkhidmatan. Ada ketikanya, anda hanya mampu berurusan dengan satu orang pelanggan dalam satu masa.
 
Jika anda menerima tempahan yang banyak dalam satu-satu masa, akan ada pelanggan yang terpaksa menunggu giliran. Jika terlalu lama, pelanggan ini mungkin akan cari penyedia perkhidmatan lain.
 
Melainkan anda memberikan kualiti perkhidmatan yang sangat hebat, hinggakan pelanggan lain sanggup menunggu walaupun lama.
 
(5) Memberi perkhidmatan di tahap kualiti terbaik
Memastikan tahap kualiti berada ditahap yang paling tinggi boleh menjadi satu cabaran. Terutama sekali apabila anda menerima tempahan yang terlalu banyak.
 
Faktor keletihan, kekurangan tenaga kerja, tak cukup masa dan banyak lagi perkara boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan sedikit terjejas.
 
(6) Sangat bergantung kepada skil individu
Dalam bisnes perkhidmatan, anda boleh wujudkan pelbagai standard operating procedure (SOP) namun ada banyak perkara yang tak boleh diselesaikan oleh SOP.
 
Ada pelanggan yang hanya akan berurusan dengan individu tertentu.
Jika perniagaan anda terlalu bergantung kepada individu tertentu, ia akan mula memberi masalah jika individu tersebut berhenti kerja.
 
Cuba kita bayangkan, kalau individu tersebut adalah merupakan boss atau tauke bagi perniagaan tersebut. Ini akan menyukarkan bisnes untuk berkembang, kalau pelanggan hanya akan berurusan dengan boss sahaja. Kalau boss tak ada, pelanggan yang datang sanggup balik dengan tangan kosong.
 
(7) Ada had satu pelanggan dalam satu masa
Ini juga merupakan satu perkara yang anda perlu berikan perhatian. Dalam satu-satu masa, anda hanya boleh berurusan dengan satu pelanggan sahaja.
 
Kalau bisnes yang menjual produk fizikal, anda boleh jual banyak produk kepada banyak pelanggan dalam masa yang sama. Sebaliknya, dalam bisnes servis, satu masa hanya boleh layan satu pelanggan.
 
Sekarang, cuba bayangkan satu situasi kalau anda sudahpun menetapkan pada sekian masa, anda akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan tertentu. Kemudian, pada saat-saat akhir, pelanggan tersebut membatalkan tempahan.
 
Anda akan ada kesukaran untuk menjual slot tersebut kepada pelanggan lain.
Disebabkan seorang pelanggan yang membatalkan tempahan disaat akhir, anda alami kerugian yang besar.
 
Apakah contoh perniagaan berasaskan perkhidmatan yang boleh dilakukan? Setelah kita berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan bisnes jenis perkhidmatan, apa kata kita lihat beberapa contoh bisnes yang ada diluar sana.
 
Manalah tahu, anda ada perancangan untuk menjalankan bisnes jenis perkhidmatan, tapi masih belum jumpa yang sesuai untuk dilakukan?
Apa kata saya kongsikan beberapa idea untuk anda.
 
(1) Perkhidmatan pemasaran dan pengiklanan Syarikat dan juga pemilik perniagaan perlu menjalankan kerja-kerja pemasaran dan pengiklanan secara berterusan, bagi tujuan mendapatkan pelanggan baru dan juga mengekalkan pelanggan sedia ada.
 
Namun demikian, oleh kerana kesibukan dan masa yang terlalu suntuk, ada pemilik bisnes yang tak ada masa untuk membuat kerja-kerja pemasaran secara berterusan.
 
Jika anda mempunyai kepakaran dalam bidang pemasaran dan mampu menghasilkan iklan yang boleh convert kepada jualan, maka peranan dan kepakaran anda sangatlah berharga.
 
(2) Perkhidmatan membersihkan rumah kediaman dan pejabat Terdapat juga individu dan pemilik bisnes yang bersedia untuk membayar sejumlah wang untuk mendapatkan khidmat pembersihan profesional. Kerja pembersihan ini, walaupun boleh dilakukan sendiri, namun ia agak memakan masa.
 
Justeru, bagi tujuan menjimatkan masa dan mendapatkan persekitaran yang bersih dan teratur, adalah lebih baik mendapatkan khidmat dan kepakaran dari luar.
 
(3) Perkhidmatan berkaitan bidang pendidikan Personal tutor ataupun kelas tusyen adalah antara perkhidmatan yang diperlukan bagi golongan pelajar yang ingin mendapatkan keputusan dan gred yang cemerlang dalam peperiksaan.
 
Dalam segmen pelanggan dewasa, ada juga yang mempunyai tahap kesedaran yang baik yang ingin meningkatkan ilmu yang dimiliki. Mereka ini ada yang sanggup meluangkan masa untuk pelajari ilmu seperti
i. Ilmu mengaji Al-Quran
ii. Kelas dan pengajian agama
iii. Kelas untuk belajar trading saham, cryptocurrency, CPO, Forex, emas dan lain-lain lagi
 
(4) Perkhidmatan menjaga haiwan kesayangan Individu yang membela haiwan kesayangan juga sanggup untuk berbelanja besar untuk dapatkan perkhidmatan menjaga haiwan kesayangan mereka terutama sekali apabila mereka perlu travel dan tak boleh membawa haiwan.
 
(5) Perkhidmatan pet grooming Dalam segmen haiwan kesayangan, satu lagi perkhidmatan yang boleh ditawarkan adalah berkaitan dengan penjagaan dan dandanan (grooming) haiwan kesayangan.

Bukan semua pemilik haiwan kesayangan mempunyai kemahiran untuk memandikan ataupun memotong bulu haiwan peliharaan mereka. Haiwan secomel kucing sekalipun, ada yang akan bertukar menjadi ganas jika pemiliknya tak mempunyai kemahiran untuk memandikan haiwan tersebut.
 
(6) Perkhidmatan profesional Termasuk dalam perkhidmatan jenis ini adalah perkhidmatan berkaitan dengan nasihat perundangan, servis perakaunan, servis berkaitan percukaian, dan sebagainya.
 
Pelanggan yang akan mendapatkan khidmat seperti ini boleh jadi adalah golongan individu ataupun pemilik perniagaan.
 
(7) Servis membina laman web Perkhidmatan membina laman web ini diperlukan oleh pemilik perniagaan yang ingin membawa perniagaan mereka ke dunia digital tapi tidak mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan.
 
Memandangkan keperluan setiap orang adalah berbeza, maka akan ada pemilik perniagaan yang inginkan laman web dibina mengikut keperluan dan citarasa mereka. Keperluan yang berbeza ini membuka peluang kepada individu yang mampu untuk menghasilkan laman web jenis “custom made” kepada pelanggan mereka.
 
(8) Membina sistem jualan E-commerce Bagi pemilik bisnes yang menjual pelbagai jenis barangan, mereka memerlukan suatu sistem jualan yang dapat digunakan bagi tujuan menjual pelbagai jenis barangan.
 
Sebagai contoh, sistem web jualan e-commerce.
 
(9) Perkhidmatan Search Engine Optimization (SEO) dan Digital Marketing Servis ini sangat sesuai untuk pemilik bisnes yang inginkan laman web mereka mudah ditemui oleh bakal pelanggan yang menggunakan perkhidmatan enjin carian, sama ada Google, Yahoo, Bing dan sebagainya, bagi kata kunci tertentu.
 
Dalam konteks SEO service ini sebenarnya ada banyak, dan antara contohnya ialah seperti
1. Kajian kata kunci (keyword research) yang berpotensi
Ada pemilik bisnes yang kurang mahir dalam kerja-kerja keyword research. Ada juga yang tak pernah melanggan software SEO kerana mereka merasakan melanggan tools SEO ini sebagai satu perbelanjaan yang kurang penting.
 
Tapi, bagi pengguna teknik ini, sudah tentu kita akan melanggan servis ini. Pemilik bisnes yang jarang menggunakan kaedah SEO, tak perlu langgan perkhidmatan SEO yang mahal, sebaliknya boleh dapatkan khidmat ini dari kita dengan membayar kadar upah yang lebih rendah.
 
2. On-page optimization
Ini berkaitan dengan struktur laman web milik pelanggan. Kita boleh improve SEO dengan melakukan sedikit perubahan seperti
i. Menukar theme kepada yang mesra SEO
ii. Memasang plugin yang dapat melajukan website
iii. Menukar struktur permalink
 
3. Off-page SEO
Ini adalah lawan bagi on-page SEO.
 
Dalam konteks off-page SEO, kita akan fokus kepada pembinaan back-link, dan apa-apa aktiviti pemasaran diluar daripada eko-sistem laman web tersebut.
 
Biasanya kita akan buat pemasaran, supaya ada laman web luar yang menghantar trafik untuk masuk ke laman web milik klien.
 
4. Local SEO
Local SEO ini dilakukan bertujuan untuk memudahkan penduduk setempat atau mana-mana pengguna internet yang mencari maklumat berkenaan sesuatu bisnes dilokasi tertentu dapat menemui maklumat bisnes tersebut.
 
Ini berkaitan dengan salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh Google iaitu Google My Business.

Kalau ada pengguna yang taip kata kunci “homestay kota bharu” akan terus keluar maklumat atau profil berkaitan dengan homestay anda.
 
5. Penulisan artikel mesra SEO dan content writing
Mungkin ramai yang tak sedar, kempen pemasaran search engine optimization (SEO) ini juga sebenarnya perlu dilakukan secara berterusan dan konsisten.
 
Bagaimana caranya?
Pemilik bisnes perlu menghasilkan konten yang relevan dan berkaitan dengan perniagaan yang dilakukan. Dengan menghasilkan dan menyiarkan kandungan yang relevan secara berterusan, ini akan memberikan peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pelanggan yang berkualiti tinggi.
 
6. Pemasaran di sosial media
Pada hari ini, pemasaran SEO juga mengambil kira data-data yang dijana oleh aktiviti yang berlaku di media sosial. Jika sesuatu artikel menerima kunjungan trafik yang besar dari media sosial, ia memberi maklumat bahawa artikel tersebut bagus dari segi SEO, dan layak mendapat kedudukan yang baik di halaman search engine result page (SERP)
 
Ya, saya faham bagi sesetengah pembaca, anda mungkin kurang faham tentang topik search engine optimization (SEO) ini.
Sebab itu saya lebih mengesyorkan anda dapatkan sahaja khidmat ini dari mereka yang berpengalaman, berbanding anda susah payah nak belajar dari awal.
 
(10) Perkhidmatan mengurus akaun media sosial Pemilik perniagaan, pengurus pasukan sukan, parti politik, NGO dan sebagainya, adakalanya tak ada masa untuk selalu mengemaskini akaun media sosial dan menghasilkan konten baru.
 
Kalau anda mampu untuk menguruskan akaun media sosial milik pelanggan, berkali ganda lebih baik berbanding kalau mereka urus sendiri, maka anda bolehlah cuba untuk tawarkan perkhidmatan ini.
 
(11) Perkhidmatan jurugambar profesional Perkhidmatan fotografi ini biasanya diperlukan dalam acara tertentu seperti majlis resepsi, parti, ataupun acara korporat.
 
Tapi sebenarnya, kalau kita selami dengan lebih mendalam, kita mungkin akan dapat lihat sebenarnya peranan jurugambar profesional ini adalah lebih luas lagi.
 
Antaranya
1. Mengambil gambar potret keluarga, bayi, haiwan kesayangan dan sebagainya.
2. Khidmat mengambil gambar bagi tujuan komersial seperti pengiklanan
3. Khidmat mengambil gambar profesional untuk hiasan dalam hotel, homestay, dan sebagainya.
4. Gambar makanan untuk perniagaan restoran
5. Gambar sempena perlawanan sukan tertentu
6. Gambar untuk acara seperti konsert
7. Gambar untuk mempromosikan aktiviti percutian

Setiap tujuan yang berbeza memerlukan kamera yang berbeza serta skil mengambil gambar yang berbeza juga. Sebagai contoh, dalam acara perlawanan bola sepak misalnya, untuk aksi pemain yang bergerak laju, jurugambar memerlukan kamera khas yang dapat merakamkan detik-detik bersejarah tersebut.
 
Memang betul dengan adanya teknologi smartphone pada hari ini, semua orang ada keupayaan untuk mengambil gambar yang menarik. Namun, bukan semua orang mampu untuk menjadi jurugambar profesional.
 
(12) Perkhidmatan pest control Perkhidmatan mengawal dan membunuh serangga perosak juga merupakan satu perkhidmatan yang diperlukan dan dicari terutama sekali apabila populasi serangga dan makhluk perosak sudah menjadi terlalu banyak dan tak terkawal.
 
Serangga dan makhluk perosak seperti kutu, anai-anai, tikus, lipas dan sebagainya boleh membawa penyakit berjangkit dan merosakkan harta benda didalam rumah.
 
Orang yang tak pernah alami sendiri masalah dengan makhluk perosak ini, mungkin tak nampak betapa pentingnya perkhidmatan ini. Tapi bagi mereka yang pernah ada masalah seperti ini, mereka akan tahu betapa perkhidmatan ini sangat diperlukan dan mereka perlukan khidmat profesional supaya masalah yang sama tak berulang dimasa terdekat.
 
(13) Perkhidmatan merancang percutian Perkhidmatan travel agent profesional diperlukan bagi merancang aktiviti dan memilih destinasi percutian terbaik.
 
Kita mempunyai masa yang agak terhad apabila pergi bercuti. Kalau itu merupakan pengalaman kali pertama kita sampai disesuatu tempat percutian, kita mungkin tak tahu apa aktiviti yang boleh dibuat, dekat mana tempat tarikan pelancong, dekat mana tempat makan yang sedap.
 
Sebaliknya, dengan bantuan travel agent, mereka boleh bantu mengatur dimana dan apa yang kita boleh lakukan.
Malahan peranan mereka bukan setakat memberi jadual, sebaliknya mereka boleh main peranan yang lebih besar, seperti menempah hotel yang bersesuaian, menjadi guide semasa bercuti dan sebagainya.
 
(14) Perkhidmatan pembantu peribadi Servis menjadi pembantu peribadi ini boleh diluaskan lagi kepada
1. Menjadi personal shopper
Tukang beli barang. Personal shopper akan beli barang mengikut arahan yang diberikan. Kadang-kadang orang yang terlalu sibuk ini tak ada masa untuk ke kedai, memeriksa kualiti barang, beratur untuk buat pembayaran dan sebagainya. Lebih mudah dapatkan khidmat personal shopper.
 
2. Menjadi peneman untuk sebarang urusan
Biasanya individu yang sudah berusia yang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik atau pusat rawatan akan memerlukan peneman yang boleh membantu memudahkan urusan.
 
3. Pemandu peribadi
Untuk memudahkan pergerakkan untuk ke mana-mana destinasi. Ada orang yang sudah tak mampu untuk memandu terlalu lama atau ke destinasi yang agak jauh. Justeru memerlukan khidmat pemandu peribadi.
 
4. Menjadi wakil
Menjadi wakil untuk urusan rasmi.
 
(15) Event planner Merancang sesuatu acara yang besar seperti majlis perkahwinan, acara syarikat korporat, majlis makan malam hinggalah ke kejutan sambutan majlis harijadi.
 
Event planner mampu untuk lakukan yang terbaik, jika kena dengan bayarannya.
 
(16) Penasihat makanan, diet dan nutrisi Nasihat berkenaan dengan diet diperlukan bagi golongan tertentu, misalnya
i. Individu yang mempunyai masalah kesihatan
Mereka yang menghidapi penyakit seperti diabetic perlu menjaga pemakanan supaya sakit tersebut tidak semakin melarat.
 
ii. Individu yang ingin mengekalkan tahap kesihatan yang baik
Bagi mereka yang memang peka dengan kesihatan dan ingin mengelakkan dari terkena penyakit, maka dia perlu tahu apakah jenis diet yang patut diamalkan.
 
iii. Mereka ingin mengurangkan berat badan
Individu yang ingin menurunkan berat badan dan ingin mendapatkan bentuk badan yang ideal juga perlu tahu memilih jenis diet yang tepat dengan matlamat tersebut.
 
iv. Mereka yang ingin menjaga penampilan
Sesuai untuk individu yang ingin nampak sihat, bertenaga dan menjaga kesihatan kulit supaya sentiasa glowing. Makanan yang dimakan juga akan memainkan peranan yang penting untuk mencapai tujuan tersebut.
 
v. Ahli sukan yang ingin mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan yang baik
Seorang ahli sukan sudah tentu perlu menjaga diet makanan supaya prestasi berada ditahap terbaik.
 
(17) Personal coach berkaitan bidang kecergasan Personal coach ini merupakan seorang yang profesional dalam bidangnya. Peranannya dapat membantu seseorang itu mencapai matlamat yang ingin dicapai.
 
Sebagai contoh, kalau dalam bidang bina badan, personal coach dapat memberi nasihat seperti rutin excercise apa yang perlu dilakukan, diet apa yang perlu diamalkan, supplement apa yang perlu dimakan, dan sebagainya.
 
Bekerja bersama dengan personal coach lazimnya dapat membantu seseorang itu mencapai matlamat yang dimahukan lebih cepat dan lebih efisien berbanding bekerja sendiri tanpa sebarang panduan.
 
(18) Penjagaan kesihatan dari rumah Golongan yang telah berusia dan menghidapi penyakit tertentu memerlukan khidmat penjagaan kesihatan seseorang yang boleh datang ke rumah untuk memberikan khidmat ini.
 
Mereka mungkin perlu menjalankan sesi terapi atau menukar balutan pada luka. Jika mereka tak mendapatkan khidmat dari pembantu yang boleh datang kerumah, mereka terpaksa berulang-alik ke klinik berhampiran.
 
(19) Merancangan pengurusan kewangan dan nasihat pelaburan Individu yang ingin merancang kewangan yang kukuh untuk persaraan atau yang ingin memaksimumkan pulangan yang diperolehi melalui pelaburan memerlukan perkhidmatan ini.
 
Seorang perunding kewangan profesional boleh memberikan nasihat kewangan yang tak bias pada mana-mana syarikat atau produk kewangan tertentu.
 
Peranan mereka lebih besar berbanding peranan ejen jualan, seperti ejen takaful, ejen unit trust, ejen emas dan sebagainya yang hanya memberikan nasihat bergantung kepada jenis produk yang mereka jual.
 
(20) Baikpulih dan penyelenggaraan rumah kediaman Servis baikpulih melibatkan kerja-kerja perpaipan dan peralatan elektrik juga mempunyai permintaannya yang tersendiri.
 
Lebih bagus kalau anda boleh datang kerumah pelanggan untuk membuat pemeriksaan, berbanding mengharapkan pelanggan datang ke tempat anda.
 
Jika proses baik pulih perlu dilakukan ditempat anda, anda boleh bawa balik peralatan elektrik tersebut ke tempat anda, dan apabila siap dibaikpulih, anda boleh hantar semula ke kediaman pelanggan.
 
Biasanya peralatan yang besar, seperti peti sejuk, mesin basuh, penyaman udara.
Sudah tentu, jika perkhidmatan anda termasuk servis mengambil dan menghantar, anda perlu masukkan kos pengangkutan dalam bil.
 
(21) Baikpulih dan penyelenggaraan kenderaan Pemilik kenderaan yang sentiasa bergantung kepada kenderaan mereka atas urusan kerja, akan memerlukan khidmat ini bagi memastikan kenderaan tersebut beroperasi dalam kondisi yang terbaik.
 
Jika mereka tak ada masa untuk ke bengkel, mereka pasti gembira kalau ada perkhidmatan yang mana mekanik pakar boleh datang ke tempat mereka untuk lakukan pemeriksaan.
 
(22) Khidmat dekorasi rumah kediaman / pejabat Ada beberapa golongan yang mungkin memerlukan khidmat profesional seperti ini. Antaranya
i. Pemilik perniagaan yang baru membuka pejabat
ii. Ejen hartanah yang ingin membawa prospek ke rumah contoh
iii. Pemilik bisnes homestay

Pemilik bisnes homestay yang menjalankan perniagaan dikawasan yang mempunyai banyak persaingan perlu bijak memilih dekorasi yang disukai oleh bakal tetamu yang akan datang bercuti.
 
Cuba bayangkan, kalau anda menjalankan bisnes homestay. Pesaing anda semua menawarkan rumah penginapan yang sangat cantik, tapi homestay anda pula dekorasi sangat biasa. Anda rasa, siapa yang akan dijadikan pilihan utama oleh bakal pelanggan?
 
(23) Perkhidmatan virtual assistant Perkhidmatan pembantu maya atau virtual assistant ini juga antara perkhidmatan yang diperlukan oleh pemilik bisnes untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan pengurusan akaun media sosia, kerja-kerja data entry, pengurusan email dan banyak lagi.
 
Dibawah ini adalah contoh kerja virtual assistant yang boleh didapati di laman web fiverr.

Ada pemilik bisnes yang memilih untuk mengupah virtual assistant berbanding mendapatkan pekerja tetap (sepenuh masa) atau pekerja separuh masa (part timer). Antara sebab kenapa memilih virtual assistant adalah seperti berikut
i. Jimat kos
Kos untuk mendapatkan khidmat pekerja maya ini berbeza-beza, bergantung kepada platform dan juga pekerja yang menawarkan pekerjaan tersebut. Ada pekerja maya yang sanggup bekerja dengan kadar upah serendah RM20 untuk satu tugasan.
 
ii. Jimat masa
Mendapatkan pekerja juga sangat mudah. Pemilik bisnes boleh dapatkan pekerja menerusi laman web seperti fiverr.com
 
iii. Mendapatkan tenaga kerja mahir
Berbanding buat sendiri kerja-kerja remeh, atau mengambil pekerja sepenuh masa untuk menyiapkan kerja, adalah lebih baik mengupah virtual assistant. Mereka ini juga sebenarnya adalah individu yang memang mahir dengan kerja tersebut.
 
(24) Perkhidmatan penterjemahan dan jurubahasa Pada hari ini, kerja-kerja penterjemahan boleh dilakukan menggunakan software tertentu ataupun artificial intelligence (AI).
 
Namun demikian, masih tiada yang dapat menandingi hasil kerja yang dapat dilakukan oleh manusia. Ini kerana manusia memiliki emosi dan perasaan yang boleh menterjemahkan sesuatu perkataan atau frasa mengikut kepada kesesuaian situasi ia dituturkan.
 
(25) Penulisan resume dan nasihat kerjaya Apa benda resume ini?
Resume ini merupakan suatu dokumen yang akan mewakili diri anda dan penting dalam urusan mencari kerja. Sebuah resume mengandungi ringkasan mengenai diri anda, tahap pendidikan, kemahiran, kepakaran, pengalaman kerja terdahulu, pencapaian dan sebagainya.
 
Bakal majikan akan membuat penilaian awal sama ada akan memanggil calon tersebut ke sesi temuduga atau sebaliknya, berdasarkan kepada maklumat yang dibekalkan melalui resume tersebut.
 
Satu kesilapan yang selalu dilakukan oleh calon adalah menggunakan template resume yang sama untuk semua kerja yang ingin dipohon.
 
Resume yang bagus adalah yang disesuaikan dengan jenis kerja dan industri yang ingin dipohon. Maklumat yang perlu dimasukkan adalah yang paling relevan dan berkaitan dengan bidang kerja tersebut. Apalah gunanya meletakkan pencapaian yang berjela-jela banyaknya, sedangkan tiada satu pun yang relevan dengan kerja.
 
Lazimnya individu atau syarikat yang menawarkan khidmat menulis resume, biasanya akan turut menawarkan lain-lain perkhidmatan yang berkaitan dengan bidang kerja.
 
Mereka turut memberi khidmat konsultan yang memberi nasihat cara untuk memohon kerja dengan kerajaan, kerja swasta, latihan temuduga dan banyak lagi yang berkaitan.
 
Kesimpulan Menawarkan sesuatu perkhidmatan dan menjadikan ia sebagai satu bentuk perniagaan sememangnya berpotensi untuk memberikan pulangan yang lumayan.
 
Apabila kita mengambil kira kelebihan yang bakal diperolehi apabila menjalankan bisnes ini, seperti
i. Modal permulaan yang rendah
ii. Kos operasi yang rendah
iii. Bisnes lebih fleksibel dan mudah untuk dilakukan
 
Ia sudah tentu membuatkan seseorang usahawan itu merasa lebih tertarik untuk memulakan bisnes ini berbanding menjalankan bisnes menjual produk tertentu.
 
Namun demikian, perniagaan yang dibina berasaskan penawaran perkhidmatan, tidaklah semudah yang disangkakan. Ia juga didatangkan bersamanya dengan cabaran-cabaran tertentu, dan akhirnya hanya yang terbaik dapat bertahan dalam suasana dan persekitaran yang serba mencabar.
 
Akhirnya, sebelum anda ingin membina sebuah perniagaan yang fokus kepada suatu perkhidmatan yang spesifik, adalah lebih baik untuk anda ambil tahu perkara-perkara yang dapat membantu anda untuk membina perniagaan yang berjaya.
 
Perkara-perkara seperti berikut sangat penting untuk dilakukan bagi memastikan anda tak tersilap langkah. Saya merujuk kepada
i. Menjalankan kajian pasaran untuk menentukan wujudnya permintaan
ii. Menganalisa sejauh mana tahap persaingan
iii. Membina pelan perniagaan atau kertas rancangan perniagaan
iv. Membina pasukan yang saling menguatkan antara satu sama lain
v. Membina jenama perniagaan anda
 
Apapun, setelah anda benar-benar yakin dengan pilihan anda, lancarkanlah bisnes perkhidmatan anda.
Siapa tahu, mungkin diluar sana ada banyak orang yang ternanti-nanti perkhidmatan bertaraf dunia yang anda mampu berikan.
 
 
 
The post Buat perniagaan berasaskan perkhidmatan appeared first on Blog Sabree Hussin.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

https://www.sabreehussin.com/bisnes-perkhidmatan/

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
China Gantung Perkhidmatan Visa Korea Selatan

China Gantung Perkhidmatan Visa Korea Selatan

papar berkaitan - pada 10/1/2023 - jumlah : 143 hits
CHINA pada Selasa mengumumkan penggantungan perkhidmatan visa jangka pendek untuk rakyat Korea Selatan sebagai tindak balas terhadap peraturan kemasukan COVID 19 Seoul lapor Yonhap Kedutaan China di Seoul mengumumkan keputusan itu dalam cat...
Platinum Charters Perkhidmatan Sewa Kapal Layar Mewah Di Port Dickson

Platinum Charters Perkhidmatan Sewa Kapal Layar Mewah Di Port Dickson

papar berkaitan - pada 13/1/2023 - jumlah : 245 hits
PLATINUM CHARTERS PERKHIDMATAN SEWA KAPAL LAYAR MEWAH DI PORT DICKSONAssalamualaikum semua Jumpa lagi dalam catatan blog Dunia Zumal ini Kali ini Zumal review tentang Perkhidmatan Sewa Kapal Layar Mewah di Port Dickson oleh PLATINUM CHARTER...
Permohonan Tuntutan Perjalanan Bagi Tujuan Rawatan Perubatan Di Hospital Bagi Pesara Perkhidmatan Awam

Permohonan Tuntutan Perjalanan Bagi Tujuan Rawatan Perubatan Di Hospital Bagi Pesara Perkhidmatan Awam

papar berkaitan - pada 10/1/2023 - jumlah : 245 hits
BERITA PENTING UNTUK PESARAPermohonan Tuntutan Perjalanan Bagi Tujuan Rawatan Perubatan Di Hospital Bagi Pesara2 Perkhidmatan AwamRujuk Borang JPA BP UBAT B04 Kemudahan bagi pesara yang membuat rawatan di Hospital Dukumen2 berikut hendaklah...
Ktmb Sedia Perkhidmatan Ets Tambahan Sempena Tahun Baru Cina

Ktmb Sedia Perkhidmatan Ets Tambahan Sempena Tahun Baru Cina

papar berkaitan - pada 8/1/2023 - jumlah : 244 hits
KERETAPI Tanah Melayu Berhad akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiket t
Kelebihan Perkhidmatan Kereta Sewa Online Di Kuala Lumpur

Kelebihan Perkhidmatan Kereta Sewa Online Di Kuala Lumpur

papar berkaitan - pada 29/12/2022 - jumlah : 197 hits
Kuala Lumpur adalah salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia Ia mempunyai banyak tarikan dan tempat menarik untuk dikunjungi seperti taman hiburan bersejarah bangunan bersejarah gunung ganang yang indah dan banyak la...
Pejabat Tanah Dan Galian Selangor Senarai Perkhidmatan Alamat

Pejabat Tanah Dan Galian Selangor Senarai Perkhidmatan Alamat

papar berkaitan - pada 5/1/2023 - jumlah : 260 hits
Pejabat Tanah dan Galian Selangor komited dalam mentadbir urus tanah negeri Selangor selaras dengan Dasar Dasar Kerajaan melalui perkhidmatan yang cekap dan inovatif kepada pelanggan Ikuti perkongsian kami untuk ketahui maklumat lanjut sert...
Mogok Pekerja Jejaskan Perkhidmatan Kereta Api Uk

Mogok Pekerja Jejaskan Perkhidmatan Kereta Api Uk

papar berkaitan - pada 7/1/2023 - jumlah : 162 hits
PENUMPANG kereta api di Britain berdepan gangguan perkhidmatan masuk hari keempat berturut turut nbsp susulan mogok pekerja yang menuntut penyelesaian segera isu gaji dan nbsp suasana pekerjaan Mogok oleh anggota kesatuan Rel Maritim dan Pe...
Ahli Perniagaan Malaysia Dihukum Penjara 36 Tahun Di Singapura

Ahli Perniagaan Malaysia Dihukum Penjara 36 Tahun Di Singapura

papar berkaitan - pada 28/12/2022 - jumlah : 161 hits
AHLI perniagaan Malaysia John Soh Chee Wen dijatuhi hukuman penjara 36 tahun di Singapura kerana terlibat dalam kes manipulasi pasaran saham terbesar republik itu sehingga mengakibatkan kerugian S 8 bilion pada 2013 Media tempatan melapork
How To Plan A Stress Free Family Vacation

Rajab Keutamaan Amalan Tanggal Berapa 2025

Bendung Elemen Politik Perkauman Elak Permusuhan Keganasan

Masya Allah Ribuan Tentera As Masuk Islam Ini Kunci Hamas

Tutup Pintu Belakang Buang Pintu Depan

Resepi Ayam Cili Padi Bersantan Pedas Lemak Padu Gila

Djakarta Warehouse Project Festival Musik Elektronik Terbesar Di Asia Tenggara

Silent Night All Is Calm But A Genocide Is Taking Place Now


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Wanita Milik Kaiden Slot Akasia TV3

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Curang Tanpa Niat Slot Megadrama Astro Ria

5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11


Unlocking Financial Knowledge With Coach Saif At Belajarsaham Com My

Merry Christmas And Happy New Year

Retreat Hujung Tahun Di Kampung Cheq Homestay

Cara Tukar Ringtone Iphone Menggunakan Itunes

Makan Tengah Hari Di Jeti Nelayan Kesang

Addressing Flaws In Mrt3 S Strategy