Bolehkah Bubar Parlimen Tanpa Diminta Pm
HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong  (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lebih  berkenan supaya Parlimen dibubarkan bagi PRU baharu dilangsungkan adalah  spekulasi yang sengaja ditiupkan.
Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan hal  tersebut dilakukan oleh pihak yang cuba mengubat hati sedang lara  mereka, sedangkan dakwaan tersebut boleh mencemarkan nama baik YDPA.
    “Mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, pembubaran  Parlimen hanya boleh berlaku jika Perdana Menteri yang tidak lagi  mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat meminta Parlimen  dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
    “Pembubaran Parlimen tidak berbangkit dalam keadaan Perdana Menteri  tidak berhadapan dengan masalah di dalam mendapat kepercayaan majoriti  ahli Dewan Rakyat.
    “Mengikut Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A) Perlembagaan  Persekutuan, pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan  Persekutuan atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong  hendaklah bertindak mengikut nasihat, dan, apabila dinasihati, hendaklah  menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.
    “Mengikut Perkara 43 (5) dan Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan  Persekutuan, pelantikan mana-mana Menteri boleh dibatalkan oleh Yang  di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan pelantikan mana-mana  Menteri lain boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat  Perdana Menteri,” petiknya.
    Tetapi menurut Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, negara masih  ada Perdana Menteri yang boleh menasihati YDPA di mana apabila  dinasihati, hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.
    Sementara itu menurut Pensyarah Pusat Polisi Perdana Universiti  Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Perkara 55  Perlembagaan memperuntukkan kuasa YDPA untuk membubarkan Parlimen.
    “Perkara 40 (1) pula menyebut bahawa pada menjalankan fungsinya di  bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, YDPA hendaklah  bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri  yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.
    “Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.  Berdasarkan Perkara 55 dan Perkara 40,  kita dapat simpulkan bahawa YDPA  hanya boleh membubarkan Parlimen setelah wujud permintaan dari Perdana  Menteri yang mewakili Jemaah Menteri.
    “Memang ada peruntukan budibicara YDPA dalam hal berkaitan pembubaran  Parlimen. Tapi kita perlu lihat apa perkataan yang digunakan,” jelasnya  merujuk Perkara 40(2) memperincikan budi bicara tersebut.
    Iaitu jelasnya terdapat dua yakni melantik seorang Perdana Menteri;  dan tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen di mana  berbeza dari difahami sebagai untuk membubarkan Parlimen.
    Oleh itu terangnya, Parlimen tidak boleh dibubarkan melainkan jika  ada permintaan dari Perdana Menteri, atau kerana tamat tempoh tempoh  Parlimen selama lima tahun. – HARAKAHDAILY
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/bolehkah-bubar-parlimen-tanpa-diminta-pm.html