Bn Perwakilan Mca Diminta Bertenang
KUALA LUMPUR: Perwakilan MCA pada perhimpunan agung parti itu hari ini diminta supaya bertenang sebelum memutuskan sama ada untuk kekal atau memilih keluar daripada Barisan Nasional (BN)
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata parti itu tidak boleh membuat keputusan secara tergesa-gesa dalam suasana politik yang tidak menentu, justeru perwakilan perlu tenang dan membincangkan perkara itu dengan rasional.
“Sekiranya kita memilih untuk meninggalkan BN, apa yang perlu kita lakukan seterusnya? Parti manakah yang harus kita buat perikatan? Selepas berpisah dengan rakan-rakan kita beberapa dekad, dengan siapa kita harus bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang?
“Itu semua adalah soalan-soalan yang perlu direnungkan sebelum membuat keputusan penting kerana masa depan parti ada di tangan kita, jadi sebagai perwakilan, anda semua dapat mengutarakan pendapat hari ini.
“Kami tidak akan menetapkan had atau mempertahankan sesuatu, apa sahaja hasil mesyuarat hari ini, kita perlu kekal bersatu untuk memberi kepercayaan kepada jawatankuasa pusat melaksanakannya ” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung MCA 2018 di Wisma MCA, hari ini.
Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Ka Siong berkata kekalahan teruk BN pada pilihan raya lalu disebabkan oleh parti itu tidak bekerja keras sepenuhnya selain pemimpin pakatan yang miliki kuasa kurang integriti dan sombong.
Selain itu, Ka Siong berkata MCA juga memiliki banyak kelemahan dan terdapat ketidakseimbangan kuasa antara parti dalam BN.
Katanya, BN turut dilihat gagal mendengar rentak nadi rakyat dan ia menyebabkan mereka kehilangan ‘sentuhan’ dengan masyarakat China khususnya generasi muda.
“Pengundi sudah memberitahu kesilapan kita menerusi pilihan raya lalu dan kita perlu menerima keputusan berkenaan. Kita harus mendengar dan merenung kembali kesilapan kita selama ini.
“Sekarang kita bermula dari kosong dan ia adalah peluang yang sempurna untuk meneliti semula MCA dan bertanyakan diri sendiri apa jenis MCA yang kita mahu,” katanya.
The post BN: Perwakilan MCA Diminta Bertenang appeared first on MySuara.Net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mysuara.net/berita/bn-perwakilan-mca-diminta-bertenang/