Bila Ular Datang Menyusur
Kasihan sang ular. Reptilia karnivor tu dikaitkan manusia dengan pelbagai perkara tidak baik. Negatif.
Cukup sering kita dengar kata-kata ‘jangan percaya dia. Dia tu ular’. Kita dengar juga ‘dia tu mengular, hati-hati’. Kita tahu apa maknanya kata-kata itu. Tak perlu saya huraikan. Hakikatnya orang tidak suka malah marah jika dilempar tuduhan ‘kau ular’.
Namun, kita kerap bersua, bergaul, berinteraksi secara langsung atau tidak dengan ‘ular’. Sang ular yang dimaksudkan ialah manusia yang gemar dan pakar menipu. Membelit cakap dengan lidah bercabang dan tentunya juga menggigit dan mematuk.
Manusia demikian datang dalam pelbagai rupa. Ada orang biasa. Mungkin kawan lama, jiran mungkin, juga kawan lama. Ada peniaga. Ada orang agama. Tentu ada politikus, dan ada orang agama jadi politikus dan ada politikus jadi orang agama. Semua bangsa semua agama ada.
Maka terdedahlah kita dengan scam demi scam. Melalui telefon melalui internet. Tujuannya untuk mendapatkan duit kita. Dihidangkan juga ‘fake news’ untuk ‘syiok’ sendiri, untuk memecah-belah keharmonian, untuk memomok- momok bertujuan untuk antara lain keuntungan politik.
Kalau bercakap mengenai keuntungan politik semakin hari semakin ramai dan semakin kerap kita berdepan manusia jenis ular. Ular besar bersama anak-anak ular. Politikus dan ‘operative’ mereka.
Dulu, ular seperti ini muncul dengan banyak apabila pilihan raya menjelang tiba. Sekarang mereka menyusur, menghidu mencari peluang untuk mematuk mangsa walaupun lama lagi pilihan raya akan diadakan. Apatah lagi pernah terbukti di negara ini tanpa pilihan raya pun politikus boleh dapat kuasa untuk memerintah.
Kata orang sulfur adalah antara penghalang atau penghalau ular. Yakni ular haiwan. Nampaknya kita harus mencari sulfur untuk menghalang dan menghalau manusia mengular (baca politikus kaki belit).
Mujur ada orang biasa, kawan lama, kawan baharu, jiran dan saudara-mara yang bukan ular. Ada juga peniaga, agamawan dan politikus yang bukan ular. Harap bukan ular lebih ramai daripada ular.
Untuk berlaku adil kepada ular sebenar, yakni si reptilia karnivor perlu dinyatakan rata-rata ular menurut pakar, hidupan liar adalah haiwan pemalu yang cuba mengelakkan manusia.
Ular mematuk apabila mencari binatang untuk dimakan. Ia menyerang dan mematuk manusia apabila dicengkam ketakutan atau berasa ia dalam bahaya. Ular aktif sepanjang tahun dalam iklim tropika. Ia ‘melawat’ kawasan manusia apabila ‘kediamannya’ diganggu, diancam dan dimusnahkan oleh manusia sendiri. Namun, sang ular ada membantu manusia. Ular sawa misalnya membantu mengawal bilangan tikus yang membebankan manusia (diakui binatang ternakan dan manusia sendiri ada ditelan ular sawa).
Tetapi, seperti dikatakan tadi manusia menggunakan istilah ‘ular’ untuk menggambarkan unsur penipuan, putar belit, bahaya serta segala macam elemen negatif.
Dalam kitaran 12 haiwan zodiak kalender Cina, sang ular ialah haiwan yang keenam. Masyarakat Cina percaya orang yang lahir pada tahun ular mempunyai nilai bijaksana, berfikiran secara mendalam, berkarisma, lembut dan penyayang.
Pasti ramai berharap dalam kalangan kita ada ramai golongan yang mempunyai ciri-ciri disebut di perenggan sebelum ini.
Jujur saya takut ular. Si reptilia mahupun manusia perangai ular. Dua-dua menakutkan saya. Tidak tahu yang mana lebih menakutkan. Mana yang lebih bahaya? Mana yang lebih berbisa?
Esok masyarakat Cina akan menyambut tahun ular. Ayuh kita laung dalam dialek Hokkien ‘Heng Ong Huat’ yang membawa erti kesihatan baik, kekayaan, kesenangan dan nasib baik. Selamat Tahun Baharu Cina. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/01/bila-ular-datang-menyusur.html