Bila Siti Mustika Bertemu Newton
Karya Faizal Musa merupakan penulis Malaysia kelima yang diterbitkan oleh Granta, dan yang pertama menulis dalam bahasa Melayu.
Oleh Siow KS
Baru-baru ini, kita menyaksikan detik bersejarah apabila Ravigadevi Sambanthamurthi menjadi rakyat Malaysia pertama yang diterima sebagai fellow di The Royal Society, United Kingdom — akademi sains tertua dan paling berprestij di dunia. Nama Ravigadevi kini sebaris dengan tokoh-tokoh saintis lain seperti Isaac Newton, Charles Darwin, Stephen Hawking dan Albert Einstein.
Sebagai seorang penyelidik dalam bidang semikonduktor, saya amat terinspirasi dengan pencapaian ini. Ia membuktikan bahawa saintis dari Malaysia juga mampu menembusi pentas global melalui idea bernas, dedikasi, dan kolaborasi sejagat.
Namun, saya juga ingin menarik perhatian kepada satu lagi pencapaian yang mungkin terlepas daripada radar masyarakat: penyertaan Mohd Faizal Musa, atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, dalam majalah sastera dunia — Granta. Karya Faizal merupakan penulis Malaysia kelima yang diterbitkan oleh Granta, dan yang pertama menulis dalam bahasa Melayu. Cerpen beliau, Miss Siti Mustika, diterbitkan dalam talian pada 21 Mei 2025 dan diterjemahkan oleh Sasterawan Negara Muhammad Salleh. Faizal seorang felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sebagai sebuah majalah sastera yang sudah wujud sejak 1889 dan menerbitkan nama-nama besar seperti Gabriel Garcia Marquez dan Jeanette Winterson, Granta bukanlah platform biasa. Ia bukan jurnal Q1, tiada faktor impak, tiada indeks Scopus — tetapi dari segi impak budaya dan kesusasteraan global, Granta berada dalam liga tersendiri, satu pentas permulaan sebelum persada lebih berprestj. Granta menerbitkan karya daripada tiga puluh satu penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, termasuk tokoh terkenal seperti Kazuo Ishiguro, Alice Munro, dan Marquez. Pencapaian ini membuktikan peranan penting Granta dalam mengetengahkan suara sastera muda yang berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, saya percaya, setiap kecemerlangan dalam semua bidang harus diraikan. Dalam universiti yang kadang-kala terlalu tertumpu pada bilangan penerbitan berindeks dan H-index, kita mungkin lupa bahawa nilai ilmu tidak semata-mata boleh diukur dengan angka. Jika kita menilai seekor monyet berdasarkan kemampuannya berenang, sudah tentu ia akan kelihatan gagal — tetapi itu bukan ukurannya. Kita perlu sedar bahawa kecemerlangan itu pelbagai, dan semua orang harus diberi tempat — sama ada mereka penyair, saintis, penulis drama atau jurutera.
Sumbangan Faizal ke Granta membawa mesej penting bahwa budaya Melayu mampu berdiri megah di persada antarabangsa, sama seperti saintis Malaysia yang diiktiraf di Royal Society. Kedua-duanya menunjukkan kecemerlangan rakyat Malaysia, walaupun melalui jalur yang berbeza. Dalam dunia yang semakin rumit dan berpecah pasca Donald Trump, kita perlukan lebih banyak jambatan — bukan tembok.
Antara jambatan itu ialah sastera dan sains yang saling melengkapi, bagai tebing dengan aur. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/05/bila-siti-mustika-bertemu-newton.html