Bila Pegawai Bekas Pm Yang Gagal Cuba Tunjuk Pandai
Ada seorang pegawai kepada bekas Perdana Menteri yang gagal cuba memberi nasihat kepada Perdana Menteri semasa agar benar-benar menjadi Perdana Menteri yang sebenar.
Katanya, tindakan Perdana Menteri semasa sebagai Perdana Menteri di peringkat awal ini dengan mendedahkan kesalahan kerajaan terdahulu memperlihatkan beliau masih terbawa-bawa dengan perwatakan sebagai Ketua Pembangkang.
Seterusnya, beliau menggariskan beberapa nasihat yang patut dilakukan oleh Perdana Menteri semasa bermula minggu depan.
Aduhhh…terlihat ada sedikit ‘sakit’ pegawai ini nampaknya dan cuba tunjuk pandai seolah-olah beliau pegawai yang ada rekod cemerlang selama ini.
Kalau beliau pernah berkhidmat dengan Perdana Menteri yang berjaya dan cemerlang, barangkali boleh jugalah diterima pakai semua nasihatnya itu.
Ini tidak, bekas Perdana Menteri yang beliau pernah berkhidmat itu sendiri adalah Perdana Menteri yang gagal segagal-gagalnya sepanjang 17 bulan kuasa berada dalam tangannya.
Apakah beliau tidak memberi nasihat yang betul kepada bossnya ketika itu?
Kalau beliau benar-benar pandai memberi nasihat, kenapa bossnya hanya mampu bertahan 17 bulan saja?
Kemudian dalam pergelutan merebut kuasa selepas PRU15 baru-baru ini, walaupun parti bossnya sekadar berada di tempat kedua, pegawai berkenaan juga dilihat turut memainkan peranan penting untuk memastikan bossnya itu dapat kembali sebagai Perdana Menteri semula.
Dalam beberapa catatan di media sosialnya sambil memetik peranan yang dimainkan oleh Speaker Parlimen dalam usahanya itu, bermakna tidak tersembunyi lagi peranannya itu.
Malangnya, sebagaimana ketika beliau berkhidmat dengan bossnya yang gagal selama 17 bulan sebelum ini, sekali lagi usaha beliau untuk membawa kembali bossnya berkuasa semula turut gagal.
Dua kali gagal beb…lepas tu ada hati pula nak memberi nasihat kepada Perdana Menteri semasa yang hanya dalam tempoh lima hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, tidak kurang 50 ketua negara asing memberi ucapan tahniah serta penghargaan.
Bermakna, keberadaan Perdana Menteri semasa memimpin Malaysia pada ketika ini adalah diiktiraf dan mendapat penghormatan tinggi daripada seluruh dunia.
Semasa bekas bossnya mengangkat sumpah sebelum ini, cuba beliau periksa semula fail lama, ada berapa ketua negara memberi ucapan tahniah ketika itu?
Dalam kesempatan yang sama, selain memberi nasihat kepada Perdana Menteri semasa berkenaan apa yang perlu dilakukan selepas ini, pegawai bekas Perdana Menteri yang gagal itu juga sempat memberitahu tentang penglibatannya seawal bermulanya gerakan reformasi sebelum ini.
Katanya, beliau merupakan penyokong Perdana Menteri semasa pada ketika itu dan turut berarak di Dataran Merdeka bersama kawan-kawannya.
Ehhh…ini seperti suatu promosi diri yang semacam mahu minta kerja dengan jawatan lamanya dengan Perdana Menteri semasa? – ShahbudinHusin 08/12/2022.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/12/bila-pegawai-bekas-pm-yang-gagal-cuba.html